Tonton wayang sambil bermain di PlayPark terbesar Malaysia

Tonton wayang sambil bermain di PlayPark terbesar Malaysia

PLAYPARK terbesar yang lengkap dengan kawasan bermain merealisasikan impian kanak-kanak. - UTUSAN/ FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN menonton wayang kini lebih menyeronokkan buat si cilik apabila berpeluang bermain dan berinteraksi di taman permainan dalam dewan terbesar di negara ini.

Dikenali sebagai PlayPark, kemudahan terbaharu itu buat julung kali diperkenalkan di Golden Screen Cinemas (GSC), IOI City Mall 2, Putrajaya.

Kanak-kanak bukan sahaja boleh berlari, bermain, malah melompat tanpa gangguan di pawagam mesra keluarga itu.

Antara yang menjadi tarikan ialah gelongsor terpanjang dinamakan Menara Popcorn di samping zon mendaki, pit bola, dinding permainan interaktif dan sudut bacaan menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, kelebihan itu sekali gus menjadikan GSC IOI City Mall 2 sebagai hab hiburan yang sesuai dan selesa untuk pengunjung berkeluarga.

Katanya, PlayPark yang boleh memuatkan seramai 118 orang itu turut dilengkapi bilik persalinan bayi, tandas mesra kanak-kanak dan bilik penyusuan dengan tiket berharga dari RM32 hingga RM122.

“Kita cuba merealisasikan impian kanak-kanak menerusi PlayPark terbesar yang lengkap dengan kawasan bermain untuk pelbagai peringkat usia,” katanya ketika perasmian di IOI City Mall 2, baru-baru ini.

Dalam majlis sama, GSC turut melancarkan cawangan pertama Happy Food Co. di Lembah Klang yang menawarkan susu kocak istimewa, makanan ringan lazat dan hidangan utama menyelerakan.

Sementara itu, menurut Mei Lee, pengunjung juga dapat menikmati pengalaman sinematik memukau di bawah satu bumbung menerusi penyediaan 26 skrin yang dilengkapi teknologi terkini dan semua format filem.

“GSC IOI City Mall 2 adalah satu-satunya destinasi yang menawarkan semua format filem di bawah satu bumbung, termasuk IMAX dengan teknologi Laser, 4DX, D-BOX, Dolby Atmos di samping ScreenX dan dewan Big di masa akan datang.

“Peminat filem aksi, animasi berwarna-warni atau konsert siaran langsung, pastinya terdapat sesuatu yang dapat memenuhi keinginan dan kepuasan setiap pengunjung,” katanya.

Ketika ini, GSC memiliki 55 pawagam di seluruh negara dan merancang meluaskan rangkaian kelapan di lokasi baharu pada 2026. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya