Tambah baik subjek pendidikan seks - Utusan Malaysia

Tambah baik subjek pendidikan seks

Pelaku mencari mangsa menerusi pelbagai aplikasi media sosial seperti WhatsApp, WeChat, Instagram, Facebook, MiChat, OMi, Lilmatch dan PUBG. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGAJARAN pendidikan seks di sekolah didakwa tidak berkesan dan perlu dirombak dengan memasukkan elemen terkini selaras perkembangan teknologi.

Langkah tersebut bertepatan usaha kerajaan untuk menangani jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun serta ke bawah yang melonjak saban tahun.

Ketika ini pendidikan itu diajar di peringkat prasekolah sehingga menengah dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, kanak-kanak perlu didedahkan kepada bahaya internet dan bagaimana platform itu digunakan untuk menjerat mereka.

Jelasnya, sudah sampai masanya satu silibus khas pendidikan seks dibentuk dan diajar oleh guru yang terlatih.

“Paling mustahak, subjek berkenaan perlu diajar mengikut peringkat umur yang bersesuaian.

“Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan dalam hal ini untuk memastikan kanak-kanak tidak terus dieksploitasi secara seksual dalam talian sekali gus dapat mendidik mereka daripada kecil untuk menjaga kehormatan diri,” katanya.

Tahun lalu, sebanyak 1,464 kes gangguan seksual dalam talian melibatkan kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun dan ke bawah direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding hanya 1,273 kes pada 2021.

Pelaku mencari mangsa menerusi pelbagai aplikasi media sosial seperti WhatsApp, WeChat, Instagram, Facebook, MiChat, OMi, Lilmatch dan PUBG.

Trend jenayah tersebut membimbangkan apabila dalam tempoh lima tahun iaitu 2018 hingga 2022 sebanyak 5,727 kes jenayah seksual yang berpunca daripada media sosial membabitkan mangsa bawah umur 18 tahun direkodkan PDRM.

Dalam perkembangan sama, Noor Aziah mendapati banyak sekolah tidak mengajar pendidikan seks atau pendidikan reproduktif dengan betul atau tidak diajar langsung di institusi berkenaan.

“Apabila kita mengadakan konsultasi dengan kanak-kanak, mereka menyatakan tidak tahu mengenai kewujudan kelas tersebut.

“Kanak-kanak yang tiada pendidikan awal mengenai isu-isu reproduktif ini akan mudah merasa ingin tahu dan akan mencuba sendiri,” ulasnya.

IBU BAPA KURANG MAKLUMAT

Sementara itu, Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh menyarankan ibu bapa diberikan kursus berterusan mengenai topik sensitif itu sebagai persediaan untuk mendidik anak masing-masing.

Pendekatan itu penting terutama dalam suasana yang serba mencabar kini apabila golongan sasar terdedah dengan telefon pintar dan media sosial.

Katanya kebanyakam ibu bapa masih kurang maklumat, malah ada yang terkejut apabila mengetahui anak hamil atau menjadi mangsa rogol.

“Zaman media sosial ini, ramai yang terdedah kepada kandungan lucah. Daripada 100 pelajar yang mengikuti sesi ceramah saya anjurkan, hampir 90 peratus pernah menonton pornografi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya