Guru garang kerana sayang murid

Guru garang kerana sayang murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Nurin Sofiya Shamsul Kamar, 26, pernah bekerja sebagai guru tadika. Biarpun kekok di permulaan tetapi lama-kelamaan gadis ini menemui titik keserasian dalam tugasan itu.

Faktor utama yang membawanya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak adalah kerana minat bergelar pendidik.

Daripada prasekolah, Nurin Sofiya kini melangkah menjadi guru Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Kesibukan sebagai pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Pendidikan Islam, tidak menghalangnya menggalas tanggungjawab baharu itu.

“Pada awalnya saya mengajar murid Tahun 4, tetapi bermula sesi persekolahan Mac lalu, saya ditempatkan di kelas Tahun 6 di samping dilantik sebagai guru disiplin,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.



GARANG BERTEMPAT

Guru sering dilabel garang oleh masyarakat susulan isu-isu yang tular di media sosial hingga menggugat profesionalisme perguruan.

Namun, persepsi negatif itu ditepis Nurin Sofiya kerana baginya garang atau tegas itu tandanya sayang.

“Adakalanya saya perlu bersikap sedemikian kerana mahu pelajar menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas.

“Selain itu, guru juga perlu garang dalam situasi tertentu yang boleh membahayakan dan mengancam keselamatan murid seperti memanjat, berlari atau bergaduh di kawasan sekolah.

“Tetapi, saya bukanlah guru yang marah murid tanpa sebab kukuh kerana faham kepentingan menjaga mental dan emosi mereka agar tidak mudah tertekan dan bosan untuk hadir ke sekolah.” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam) dari Universiti Malaya ini sentiasa berpesan kepada muridnya supaya kekal fokus dalam menuntut ilmu.

Katanya, pesanan itu sentiasa dititipkan kerana tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang diberikan ibu bapa kepada golongan pendidik.

“Saya bersyukur kerana dikelilingi ibu bapa yang prihatin, ambil cakna dan memahami tugasan guru.

“Tiada yang lebih menggembirakan cikgu selain melihat kejayaan murid, ibaratnya hilang segala penat lelah yang dicurahkan selama ini,” katanya.


GABUNG KAEDAH LAMA, MODEN
Bagi memantapkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), Nurin Sofiya tidak terkecuali menggunakan pendekatan moden di dalam kelas.

Anak jati Selangor itu berkata, kaedah berkenaan penting dalam suasana pendidikan yang makin berkembang, kini.

“Bukan bermakna perlu melupakan cara lama, bagi saya kedua-duanya harus diseimbangkan bergantung kepada situasi, masa dan persekitaran.

“Murid sangat tertarik kepada animasi dan sebagai guru kita perlu sentiasa berfikiran kreatif ketika menyampaikan ilmu,” katanya.

Antara yang dilakukannya termasuk menyediakan visual daripada media sosial di samping mengadakan sesi dalam kumpulan.

MAHU JADI PENSYARAH
Walaupun sibuk dengan kerjayanya, tetapi pelajar sarjana ini masih mampu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Terkini, Nurin Sofiya memperolehi keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94 .

“Bergelar guru, sedikit sebanyak memberi input dan idea untuk membuat pembentangan dalam pengajian, malah saya kerap berhubung dengan pensyarah mengenai pendekatan saya dengan murid di dalam kelas bagi penambahbaikan.

“Impian saya mahu menggulung ijazah doktor falsafah (PhD) dan menjadi pensyarah sebelum usia 30 tahun,” katanya.

IBU BAPA JADI PENDORONG
Menurut Nurin Sofiya, ibu bapa menjadi pendorong kuatnya untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan mencipta kejayaan dalam hidup.

Katanya, mereka tidak pernah memaksanya melakukan pekerjaan di luar bidang dan minatnya.

“Bidang pendidikan sudah sebati dalam diri saya. Dengan kepakaran ilmu dan pengalaman yang ada, saya mahu melahirkan generasi khaira ummah ( generasi terbaik) untuk masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya