Ahli politik, sila kawal fiil anda - Utusan Malaysia

Ahli politik, sila kawal fiil anda

KERAJAAN perlu bijak menyediakan solusi dan polisi memajukan negara, manakala pembangkang pula perlu bijak menegur. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Minda sese­tengah ahli politik Malaysia perlu dipaku masuk dengan semangat patriotisme dan jati diri sebenar seorang wakil rakyat, agar ratib – kuasa, kerusi dan jawatan mereka bertukar menjadi ratib amanah, tanggungjawab, dosa dan pahala.”

Memuatkan artikel berkaitan…

Lagak ngeri segelintir ahli politik Malaysia kadangkala meresahkan jiwa. Ketika rakyat terjerut hidup dengan berbagai kesusahan ekoran timbunan masalah nasional dan dunia seperti kesan pra pandemik Covid 19, kenaikan kadar OPR oleh Bank Negara, kenaikan harga barang dan sebagainya, sesetengah ahli politik seakan berada dalam dimensi alam yang lain.

Seolah-olah mereka bukan mewakili kebanyakan rakyat Malaysia tetapi hanya wujud selepas menang pilihanraya mewakili kelompok parti atau poket sendiri sahaja.

Terbaharu berita angin bertiup kencang mengenai dakwaan wujudnya akuan bersumpah (SD) yang cukup untuk menukar kerajaan sedia ada. Berita cemas ini mendorong teguran Sultan Johor beberapa hari lepas.

Mungkin segelintir ahli politik beranggapan desiran berita itu ‘hanya’ tamparan angin perang saraf politik bagi menunjukkan suasana politik Malaysia masih dinamik dan tidak kaku beku.

Namun bagi rakyat marhaen yang sudah sedia tercekik dengan berbagai kesukaran hidup, tamparan berita angin itu boleh menjadi ‘tumbukan padu’ ke perut mereka yang bakal memuntahkan berbagai keresahan, tekanan jiwa dan seribu macam penyakit sosial serta mental yang lain.

Jika benar rancangan menukar kerajaan benar-benar berlaku, berapa banyak pula agaknya dana awam akan habis untuk pembentukan kerajaan baharu yang akan memperkenalkan jenama masing-masing seperti lazim yang berlaku dalam sejarah Malaysia. Pastinya kerajaan baharu mahu acuannya tersendiri yang akan menumpahkan banyak lagi wang pembayar cukai.

Berapa banyak lagi masa dan tenaga akan terbuang melayan agenda balas dendam politik kerajaan baharu terhadap kerajaan lama?

Bimbang saya rasa muak dan mual rakyat jelata terhadap gelagat ahli politik semakin memuncak, lalu segelintir ahli politik akan dihukum keras dalam pilihan raya akan datang.

Setiap kali berita resah sebegini dicetuskan sesetengah ahli politik, saya teringat doa Nabi Musa a.s dalam al-Quran yang bermaksud: Dan Nabi Musa memilih 70 lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa (kerana perbuatan biadab dan bodoh mereka mahu melihat Allah secara fizikal), Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersamaku sebelum ini.

Adakah engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh oran yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaan-Mu.

Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun. (al-A’raf:155)
Gunung Thur dilanda gempa berikutan gelagat dan permintaan bodoh 70 pengikut Nabi Musa a.s mahu melihat Allah setelah mereka tahu Nabi Musa akan menerima kitab Taurat di sana.

ORIENTASI POLITIK

Oleh itu, orientasi fikir segelintir ahli politik Malaysia perlu diubah.

Yang memerintah perlu memikirkan cara terbaik memulihkan negara manakala yang memegang tugas pembangkang perlu mengimbangi tindakan kerajaan secara profesional.

Kebijaksanaan serta keikhlasan perlu dimiliki kedua pihak. Yang memerintah perlu bijak menyediakan solusi dan polisi memajukan negara, manakala pembangkang pula perlu bijak menegur.

Jika polisi kerajaan bagus untuk membantu rakyat pembangkang jangan pula tetap membangkang kerana bimbang kerajaan dilihat hero.

Jika pembangkang menegur dengan baik dan berfakta, kerajaan perlu fleksibel menilai kembali polisi yang diperkenalkan. Jika kerajaan dan pembangkang bersikap sebegini, semua akan meraih untung.

Ahli politik Malaysia juga perlu sedar kuasa yang mereka perjuang dan perolehi melalui pilihanraya adalah amanah bukan ghanimah (harta rampasan perang). Dalam perang pada zaman Nabi SAW tentera sukarelawan berhak ke atas ghanimah kerana usaha mereka yang setimpal.

Tambahan pula gaji khusus kepada tentera belum ada pada waktu itu. Ini berbeza dengan zaman sekarang kerana semuanya sudah ada peruntukan khas dari kerajaan termasuklah gaji para wakil rakyat atau ahli politik. Jangan pula dijustifikasikan usaha membolot kekayaan hasil kemenangan sebagai ‘rezeki terpijak’ setelah dipilih mewakili rakyat.

Geruni amaran Nabi dalam kisah amil zakat bernama Ibn al-Utbiyyah yang baginda utus kepada Bani Sulaym. Setelah pulang, amil mengatakan ada hadiah yang diberi oleh Bani Suaym kepadanya bersama kutipan zakat yang rasmi.

Baginda sangat marah lalu bersabda yang bermaksud: “Ada menugaskan seorang petugas untuk memungut zakat. Selesai mengutip zakat, dia pulang berkata, “Ini zakat untuk kamu, dan ini pemberian orang kepadaku. Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibu bapanya menunggu orang mengantarkan hadiah kepadanya? Demi Allah! tiada seorang pun antara kalian yang mengambil secara tidak sah sesuatu harta, melainkan akan memikul dosanya pada hari kiamat kelak. (Sahih Muslim, 3414).

Teguran berkias ‘duduk di rumah ibu bapamu’ oleh Nabi SAW dalam hadis di atas jelas menunjukkan tanpa jawatan lantikan, mustahil orang ramai sudi memberi ‘hadiah’ kepada seseorang. Prinsip ini terpakai untuk semua pemegang amanah termasuklah ahli politik.

Apabila ditawarkan jawatan politik kita perlu berasa cemas dan bimbang dek bebanan akhirat yang bakal dipikul dan bukannya tersenyum lebar meramal pelbagai manfaat duniawi yang datang melayang bersama jawatan yang disandang.

Hayati sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya ia (jawatan) adalah amanah yang akan menjadi penghinaan dan sesalan pada hari kiamat melainkan sesiapa yang dan menunaikan tanggungjawabnya dengan betul (Sahih Muslim,3404).

Pesan saya kepada segelintir ahli politik yang terlalu rakus mengira jumlah kerusi, tunjukkan kebijaksanaan kepada rakyat marhaen.
Jangan sampai kebodohan serta kerakusan anda menimpakan gempa kepada kehidupan kami pada waktu sukar ini, sebagaimana kebodohan 70 Bani Israel pernah menggempakan Gunung Thur dahulu.

—————

Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN