Wujudkan galeri Sudirman - Utusan Malaysia

Wujudkan galeri Sudirman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 22 Februari lalu genap 31 tahun seniman legenda, Allahyarham Sudirman Haji Arshad kembali kepada Maha Pencipta.
Namun, jasa-jasanya tetap ‘hidup’ di hati peminatnya. Khazanah seni yang ditinggalkan tetap bersinar dan dikenang ke akhir zaman.
Berasaskan itu, peminat mahukan jasa Sudirman dinilai kerajaan sebesar sumbangan beliau dalam seni suara dan duta perpaduan rakyat di negara majmuk seperti Malaysia.
Peminat masih tertanya-tanya apakah bentuk pengiktirafan yang diberi oleh Kerajaan Pahang kepada Sudirman yang juga anak kelahiran Temerloh.
Di sudut hati peminat, mereka mahu Galeri Tokoh Sudirman diwujudkan, memartabatkan pusara Sudirman di Kampung Chengal, Temerloh dengan meletakkan tanda arah dan monumen Sudirman di tapak kediaman Sudirman di kampung tersebut.
Nasib Sudirman seolah-olah menepati seni kata lagu nyanyiannya Di Dalam Sepi Itu. Sumbangan Sudirman yang pernah mewarnai dunia seni bertaraf dunia seperti tidak dihargai setanding jasa dan pengorbanannya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ‘pusara’ arwah di tanah perkuburan itu kelihatan daif tidak seperti martabatnya sebagai penyanyi rakyat.
Seorang peminat setia dari Kampung Lubuk Kawah, Abd. Razak Abdul Rahman 57, menyokong pembinaan sebuah galeri khas dan monumen Sudirman didirikan di Temerloh.
Dia yang begitu meminati Sudirman berasa sedikit terkilan kerana arwah sebagai tokoh yang berjasa tidak diberi pengiktirafan setimpal jasanya.
Walaupun wujud Galeri Tokoh yang turut menyimpan artifak dan dokumentasi berkaitan Sudirman, namun katanya ruangan itu agak sempit.
“Galeri Sudirman yang lebih luas dan bersesuaian perlu diwujudkan bagi mempamerkan khazanah seniman serta barangan keluarganya,” katanya.
Sementara itu, Tokoh Budaya dan Warisan Negara, Prof. Datuk Dr. Aripin Said menyifatkan Sudirman sebagai tokoh seni yang berjiwa Melayu.
“Bakat luar biasa Sudirman merupakan anugerah Allah kepada rakyat Pahang khususnya di Temerloh dan pusaranya perlu dinaik taraf sehebat jasanya.
“Pusara Sudirman di Kampung Chengal, Temerloh boleh diangkat sebagai produk pelancongan agama,” katanya.
Sudirman pernah merakamkan 15 album dan 52 album kompilasi dengan puluhan lagu hits. Hingga kini, Allahyarham terus dikenang sebagai Penghibur Rakyat, Penghibur Nasional.
Walaupun sudah 31 tahun Sudirman meninggal dunia, namun lagu-lagu pelbagai variasi termasuk patriotik tetap ‘malar segar’ di hati peminat generasi baharu.
Sudirman seorang penyanyi yang serba boleh dan melengkapi bakat anugerah Allah.
Selain berbakat dalam nyanyian, sosok itu juga adalah pencipta lagu, penulis lirik, wartawan, kartunis, pelukis, pelawak, pelakon dan ahli perniagaan berjaya. – Utusan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya