Setakat mana ibu hamil dibenarkan berpuasa? - Utusan Malaysia

Setakat mana ibu hamil dibenarkan berpuasa?

PEMANTUAN glukos dan tekanan darah akan diubah bagi menyesuaikan dengan waktu berpuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan ibu hamil keliru adakah mereka patut berpuasa atau sebaliknya kerana bimbang tumbesaran anak dalam kandungan akan terjejas.

Amnya, ibu hamil yang sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan, dibolehkan berpuasa kerana tiada kesan sampingan.

Malah, kajian menunjukkan tiada risiko signifikan sekiranya ibu hamil menjalankan ibadah ini berdepan masalah seperti kelahiran pramatang atau masalah lain seperti keguguran atau berat badan bayi menurun.

Pakar dan Pensyarah Perubatan Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nurul Iftida Basri berkata, bagaimanapun, ibu dengan penyakit kronik perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa.

“Ibu hamil dengan masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan kekurangan darah atau anaemia, dinasihatkan berjumpa doktor sebelum berpuasa, bagi membolehkan doktor menilai sebarang risiko yang boleh menimpa ibu hamil berkenaan sekiranya berpuasa. Sekiranya penyakit mereka terkawal, biasanya tiada masalah untuk berpuasa,” katanya.

Ibu dengan masalah kesihatan seperti diabetes, pemantauan yang lebih kerap perlu dibuat bagi memastikan tiada kesan buruk pada kesihatan atau kawalan glukos atau gula dalam darah mereka.

Bagi mereka yang mengambil ubat untuk masalah kesihatan diabetes dan darah tinggi, doktor akan mengubah dos dan waktu pengambilan ubat bagi menyesuaikannya dengan waktu berpuasa.

Pemantauan glukos dan tekanan darah juga akan diubah waktunya bagi menyesuaikan dengan waktu berpuasa.

Usia kandungan selamat berpuasa

Usia kandungan berperanan penting dalam amalan berpuasa.

Dr. Nurul Iftida berkata, trimester kedua dan ketiga adalah jangkamasa kandungan dikira selamat berpuasa, berbanding trimester pertama (tiga bulan pertama) kandungan.

“Biasanya pada trimester pertama ini, wanita mengalamai muntah, pening, kurang selera makan yang lebih ketara. Gejala-gejala ini boleh mengakibatkan dehidrasi sekiranya mereka berpuasa.

“Ia juga boleh mengakibatkan masalah lain lebih serius seperti mengalami darah beku di paru-paru atau ulser perut sekiranya ibu masih terus berpuasa walaupun dalam keadaan yang kurang sihat,” katanya.

Menurut Dr. Nurul Iftida, tiada kesan negatif apabila berpuasa khusus ke atas bayi yang dilaporkan dari kajian yang dijalankan. Malah kajian menujukkan tiada juga kesan negatif terhadap bayi yang ibunya berpuasa, di mana pembesaran bayi dalam kandungan dan selepas kelahiran adalah tidak berlaku.

MAKAN MAKANAN SEIMBANG

Begitupun, bagi ibu hamil yang berpuasa, mereka harus memastikan pengambilan makanan pada sukatan dan jenis makanan yang sihat dan seimbang, dalam memastikan mereka mendapat kalori yang cukup.

Katanya yang turut menasihatkan wanita supaya mengelakkan daripada melakukan aktiviti berat atau lasak semasa tempoh berpuasa.

SAHUR – makanan yang digalakkan dimakan adalah makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat, protein dan serat (seperti buah dan sayuran) selain minum air yang banyak.

» Makanan ketika bersahur perlu mengandungi karbohidrat, protein dan serat.

» Minum air mencukupi supaya badan tidak kekeringan air atau mengalami dehidrasi.

BERBUKA – kurma digalakkan dimakan ketika berbuka kerana ia akan meningkatkan kadar glukos dalam darah dengan cepat dan membantu mengurangkan rasa kelesuaan semasa berpuasa.

» Minum air secukupnya iaitu lapan hingga 10 gelas sehari termasuk sepanjang waktu malam.

» Elakkan makan terlalu banyak pada satu-satu masa. Adalah lebih baik untuk makan dalam jumlah sedikit, tetapi kerap sepanjang malam.

» Elakkan makanan pedas atau berminyak kerana ia boleh menyebabkan pedih hulu hati.

Peka pergerakan bayi

IBU hamil yang mempunyai simptom glukos rendah dalam darah seperti pening, berdebar-debar, berpeluh-peluh dan lapar keterlaluan perlu berbuka puasa dengan segera.
Sekiranya berasa lesu atau keletihan, mengalami sakit perut seperti pedih hulu hati, ibu juga digalakkan berbuka.

Dr. Nurul Iftida berkata, wanita hamil juga perlu peka terhadap pergerakan bayi dalam kandungan.

“Kurang pergerakan bayi adalah salah satu sebab ibu perlu berbuka dengan segera. Ini bagi memastikan tenaga dan air yang cukup dapat dibekalkan kepada ibu dan bayi sepanjang hari tempoh berpuasa,” katanya.

Mengulas mengenai pengambilan makanan tambahan, Dr. Nurul Iftida berkata, tiada makanan tambahan khusus diperlukan ketika ibu hamil berpuasa tetapi bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti kurang darah dalam badan (anaemia), dinasihatkan mengambil supplemen zat besi dan makanan mengandungi zat besi yang tinggi.

“Ini bagi memastikan kandungan darah dalam badan berada dalam tahap normal. Bagi ibu trimester pertama yang berpuasa, asid folik harus diteruskan pengambilannya bagi mengurangkan risiko masalah saraf pada bayi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya