Dana sepadan untuk usahawan wanita

Dana sepadan untuk usahawan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Matching fund atau dana sepadan perlu diwujudkan semula bagi membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita), Datin Norli @ Norlaili Alias berkata, menerusi dana berkenaan, ia dapat menggalakkan lebih ramai usahawan wanita menjalankan bisnes yang tinggi potensinya dalam membantu KDNK.

Belanjawan 2023 dilihat tidak menyasarkan usahawan wanita yang merupakan export player.

“Sedangkan sekitar 2014 dan 2015, ketika saya masih bertugas di agensi kerajaan, dana sepadan ini diwujudkan dengan pemberian sama ada 30 peratus geran dan 70 peratus pinjaman atau 60 peratus pinjaman dan selebihnya geran kepada usahawan-usahawan.

“Ini adalah dana kerajaan untuk usahawan terpilih menjalankan bisnes yang tinggi potensinya kerana membantu dalam KDNK,” katanya kepada Utusan Malaysia.


Usahawan di Wawasanita katanya, antara pemain industri yang mengeksport barangan wanita dan produk rare ke luar negara.

“Saya wanita bumiputera tunggal mengimport Pakistan Rock Phosphate (PRP) dari Pakistan ke Malaysia untuk digunakan sebagai salah satu raw material daripada beberapa komponen lain bagi menghasilkan baja berkualiti tinggi untuk kegunaan domestik. Ini yang menyebabkan kami mempunyai kekangan dalam mendapatkan sumber dana. Alhamdulillah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) banyak membantu.

“Namun kami tidak melihat eksklusif bajet ini membantu usahawan wanita secara keseluruhan. Jika bercakap mengenai mikro ia sangat kecil dan sudah ada entiti-entiti seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang lebih fokus.

“Saya sangat berharap belanjawan boleh dipanjangkan kepada pemain industri seperti kami dan memohon agar kerajaan melihat secara keseluruhan,” katanya mewakili persatuan yang sudah 26 tahun dalam industri keusahawanan negara.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2023 lalu mengumumkan ‘habuan’ untuk wanita antaranya bantuan RM500 kepada ibu tunggal, pengecualian cukai pendapatan yang diterima pada 2023 sehingga 2028 bagi menggalakkan wanita kembali bekerja setelah career break serta geran RM1,000 diberikan kepada perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS) berdaftar dan pemandu teksi berdaftar yang layak.

Norli turut memohon kerajaan supaya memberi perhatian kepada pemain industri high end dan berharap dapat memanggil persatuan seperti Wawasanita dalam merangka strategi baharu.

“Dengan adanya High Order Thinking Skills (HOTS) atau Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) kita dapat menjana dan memastikan kemampanan industri seperti yang ada dalam dalam kalangan usahawan wanita ini.

“Lihat semula secara keseluruhan ekosistem agar usahawan wanita diberi perhatian dan bimbingan sepenuhnya,” katanya.


SALUR bantuan B40 MELALUI NGO AKTIF

Belanjawan 2023 diharapkan ‘sampai’ terus kepada penerima khususnya golongan B40 dan ibu tunggal yang terkesan.

Presiden Persatuan Kebajikan Wanita dan Ibu Tunggal (Witus), Shiella Tukimin berkata, pemberian bajet ini harus diberi secara telus tanpa ada perantaraan atau orang tengah.

“Belanjawan kali ini agak jauh beza dengan bajet sebelum ini. Walaupun banyak manfaat diberikan kepada golongan sasaran khususnya B40, namun kami mengharapkan supaya saluran diberikan terus kepada B40 melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif.

“Jangan tersalah dalam pemberian bajet yang tidak seberapa banyak ini. Bajet perlu diberikan terus kepada badan-badan komuniti atau NGO untuk dimanfaatkan kepada golongan sasar tanpa ada perantara. Jika melalui perantaraan, peruntukan biasanya menjadi ‘kosong’ untuk golongan B40 dan NGO kecil seperti kami,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu memantau NGO yang aktif mengadakan setiap aktiviti.

“Contoh kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ini sebenarnya wajib diutamakan kepada golongan B40. Kursus ini sangat membantu dalam menjana pendapatan.

“Jadi, peruntukan perlu disalurkan terus ke NGO yang aktif melakukan aktiviti, maka bolehlah mereka mengadakan program disasarkan kerajaan seperti kursus TVET dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.