Video masakan popularkan pensyarah UiTM Terengganu - Utusan Malaysia

Video masakan popularkan pensyarah UiTM Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN memuat naik video masakan, seorang pensyarah bukan sahaja dapat mempromosikan sajian Melayu, tetapi turut menarik minat ramai terhadap bidang kulinari.

Hingga kini, lebih 50 resipi sudah dikongsikan dengan hampir 18,000 pengikutnya di laman Instagram.

Malah, setiap satu video yang dihasilkan pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu, Arma Mohd. Faizal Abu Bakar, 37, itu berjaya meraih sehingga 350,000 tontonan.

Arma Mohd. Faizal berkata, idea untuk menggunakan Instagram sebagai medium pengajaran bagi kuliah amali tercetus semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac 2020, ketika Covid-19 melanda negara.

Katanya, langkah itu tepat kerana yakin kalangan pelajar pasti memiliki media sosial.

“Sejak itu, saya mula memuat naik video tutorial masakan bagi rujukan pelajar dalam talian, namun tidak sangka perkongsian itu juga dimanfaatkan oleh orang awam.

“Konsep masakan saya ialah mudah disediakan dan bercita rasa Melayu. Menu yang menjadi pilihan ialah makanan harian dengan lauk-pauk yang senang dimasak di samping bahan yang tidak terlalu tinggi kosnya,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Terengganu berkata, selain video masakan dan resipi, perkongsian turut melibatkan cara pengendalian kelas di samping tips berkaitan asas masakan.

Katanya, kandungan itu sekali gus menarik minat pengikut di media sosial untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan bidang kulinari, terutama yang ditawarkan di UiTM.

Ujarnya, mereka sangat teruja apabila mengetahui bidang berkenaan sebenarnya mempunyai pendidikan formal di universiti sehingga ke peringkat tertinggi iaitu ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Bahkan, ada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka mengambil program seni kulinari di universiti kelak. Pendapat itu dinyatakan melalui komen dan hantaran mesej di Instagram.

“Tidak kurang juga ada yang beranggapan, bidang masakan ini cukup sekadar memiliki pengalaman atau pengetahuan asas untuk menjadi tukang masak,” katanya.

Minat sejak kecil

Latar belakang keluarga yang mengusahakan perniagaan makanan menjadi pendorong kuat anak jati Kuala Lumpur itu untuk menceburi bidang sama.

Arma Mohd. Faizal berkata, sejak kecil dia sudah bergelumang dengan dunia masakan hingga timbul minat untuk mempelajarinya secara mendalam di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Saya sering memerhatikan bagaimana emak dan ayah mengendalikan perniagaan makanan. Daripada situ, saya cuba belajar sedikit demi sedikit.

“Pada masa itu, pendedahan tentang kulinari tidak banyak, yang ada hanya rancangan masakan di televisyen,” katanya.

Arma Mohd. Faizal berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mengikuti Diploma Seni Kulinari di UiTM Terengganu.

Katanya, semasa pengajian, pelbagai pencapaian membanggakan diraih antaranya muncul johan Pertandingan Kemahiran Malaysia kategori masakan (Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2004).

Di samping itu, dia turut dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan UiTM Kampus Dungun, selain pelajar terbaik program, pelajar terbaik bahagian dan mendapat anugerah dekan.

“Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar pensyarah di UiTM ialah mengadakan pameran produk pastri hasil projek tahun akhir pelajar dengan menjemput pakar masakan negara termasuk cef selebriti, Datuk Chef Wan.

“Malah, saya juga terlibat dalam mencipta pelbagai rekod baharu di kampus, sekali gus tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR),” katanya.
Kulinari, antara program diminati ramai di UiTM

Bidang kulinari makin popular di Malaysia, justeru tidak hairan apabila program pengajian ini menjadi pilihan ramai di UiTM kerana faktor kebolehpasaran graduan.

Arma Mohd. Faizal berkata, selain menjadi tukang masak di premis hospitaliti, lulusan program itu juga boleh bergelar usahawan dalam perniagaan katering, pastri atau pembuatan kek.

Katanya, kerjaya lain yang boleh diceburi ialah sebagai pengkritik makanan, cef selebriti, cef eksekutif, cef penyelidikan dan pembangunan (R&D) di samping penata makanan.

“Graduan kulinari juga boleh mengembangkan pengetahuan dan kerjaya dalam bidang pakar pemakanan dengan memberikan khidmat nasihat sains pemakanan kepada pesakit di hospital,” katanya.

Menurut Arma Mohd. Faizal, program seni kulinari UiTM mula diperkenalkan pada 1975 bagi melahirkan cef yang mahir dan berpendidikan dalam industri perhotelan.

Katanya, sepanjang kursus peringkat diploma, pelajar didedahkan dengan aspek pengeluaran makanan, keselamatan, kemahiran keusahawanan serta organisasi dan pengurusan.

Menurutnya, pelajar turut dikehendaki menjalani latihan industri selama setahun atau dua semester dengan organisasi hospitaliti sama ada dalam mahupun di luar negara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×