Azman Salleh, 52, tidak dapat menggambarkan keresahan hatinya apabila doktor menjelaskan kaki kanannya yang hancur tidak dapat diselamatkan dan mencadangkan ia dipotong.
Fikirannya terbayang masa depan yang kelam dengan hanya mempunyai sebelah kaki. Bolehkah dia bekerja seperti biasa dan jika tidak, siapa yang akan menanggung keluarganya nanti?
Keadaan kakinya begitu berpunca selepas Azman mengalami kemalangan ngeri pada Julai 2021. Ketika itu, beliau sedang melakukan kerja di luar rumahnya yang terletak di tingkat tiga, di Woodlands, Singapura.
Namun, nasibnya kurang baik apabila dia tiba-tiba tergelincir dan terjatuh ke bawah. Berpantang maut sebelum ajal, Azman hanya mengalami keretakan penuh pada tumit kanannya.
“Selepas terjatuh, saya masih sedar dan tidak rasa apa-apa. Bagaimanapun, saya tidak boleh bangun dan berjalan kerana terasa sangat sakit pada bahagian kaki kanan. Rupa-rupanya kaki kanan saya sudah hancur. Ketika itu, ada seorang pejalan kaki nampak dan dia telefon ambulan.
“Saya dibawa ke hospital Khoo Teck Puat. Sebaik sahaja tiba, saya terus dibawa ke bilik pembedahan. Apabila isteri dan anak-anak datang, doktor memberitahu mereka terpaksa memotong kaki saya kerana tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, isteri dan keluarganya reda dengan apa sahaja kemungkinan yang bakal dilalui dan menyerahkan kepada pakar untuk membuat keputusan. Mereka hanya memikirkan mengenai kesihatan Azman buat masa itu yang terlantar lebih sebulan di hospital.
Bagaimanapun, tuah masih menyebelahi Azman apabila pakar yang merawatnya memberi cadangan untuk menggunakan teknologi cetakan tulang tiga dimensi (3D) dan kejuruteraan tisu untuk menggantikan tulangnya yang hancur.
Doktor dari Hospital Khoo Teck Puat dengan kerjasama Osteopore International meletakkan sumsum tulang dan memindahkan sebahagian daripada ilium ke dalam perancah berliang.
Perancah itu kemudiannya ditanam ke dalam kaki Azman, membolehkan sumsum tulang secara beransur-ansur membentuk tulang. Pembedahan itu menyelamatkannya kakinya daripada dipotong.
Azman yang bekerja sebagai polis bantuan adalah pesakit tempatan (Singapura) pertama yang melalui rawatan membentuk semula calcaneus dengan menggabungkan teknik cetakan 3D dan penjanaan tisu.
“Sekarang, saya sedang menjalani rawatan fisioterapi untuk berjalan tanpa memakai but hospital. Saya amat bersyukur dan menghargai jasa doktor yang sudah bertungkus-lumus mencari jalan untuk menyelamatkan kaki saya supaya dapat kembali kepada keadaan sebelum ini,” katanya.
Cetakan Bio 3D implan unik direka khas
Sesetengah pesakit mungkin mengalami kehilangan tulang disebabkan kemalangan atau penyakit. Dalam situasi ini, ia mungkin susah untuk tulang tersebut pulih dengan semula jadi.
Bagi membantu mengatasi masalah ini, teknologi penjanaan tisu boleh dijadikan katalis penjanaan semula tulang dengan memanfaatkan struktur tiga dimensi untuk mempermudahkan pertumbuhan tisu dan pembuluh darah. Justeru, ia membantu pemulihan tulang dengan sendirinya.
Ini merangkumi penjanaan semula tulang pada bahagian tempurung kepala yang diakibatkan oleh pembedahan gerudi tempurung kepala (burr hole atau kraniotomi) dan tulang pendukung bebola mata yang tipis dan mudah patah.
Penjanaan tisu sudah dibincangkan sejak tiga dekad lalu. Sememangnya, menumbuhkan semula sebahagian daripada anggota tubuh adalah isu yang sangat mengujakan!
Bagaimanapun, banyak cabaran perlu dilalui dalam usaha ini, termasuk penolakan badan ke atas tisu yang ditanam, pada masa sama kos yang perlu dibayar juga amat tinggi.
Pakar Bedah Mulut Maksilofasial dan Estetik, Hospital Gleneagles, Dr. GK. Ananda berkata, cetakan 3D yang juga dikenali sebagai cetakan bio kini adalah rawatan alternatif yang semakin popular. Ia lebih selamat dan menjimatkan masa serta kos.
“Kaedah ini akan memberikan peluang kepada pesakit untuk menerima implan unik yang direka khas. Tambahan pula, cetakan 3D dalam tisu dan penjanaan tulang semakin diterima dan banyak digunakan dalam kaedah rawatan hari ini.
“Teknologi ini berupaya menjana semula tisu bermula dengan penjanaan semula tulang kecil di pelbagai bahagian tubuh sehingga mampu membina struktur tulang penting seperti tempurung kepala selepas pembedahan kranioplasti bagi membuka tempurung kepala pesakit,” katanya.
Dengan teknologi ini juga, pesakit yang mengalami keretakan tulang mata akibat kemalangan dapat dipulihkan. Kedudukan bola mata pesakit berkenaan sudah beranjak dari kedudukan asal dan menyebabkan pesakitt berada dalam keadaan bahaya. Malah, beliau tidak dapat melihat dengan jelas.
Bagi membantu pesakit, teknologi ini berupaya menjana semula tulang matanya dengan tepat bagi menyokong bola mata yang hanya berukuran 1 milimeter.Bantuan daripada teknologi penjanaan tisu ini juga berjaya menyelamatkan penglihatan pesakit dan beliau sembuh sepenuhnya daripada kecederaan itu.
Proses secara semula jadi
Dr. GK Ananda berkata, penjanaan semula tisu adalah proses di mana tisu baru tumbuh atau pulih semula secara semula jadi untuk menggantikan kerosakan tisu akibat penyakit. Teknologi ini boleh dilakukan secara in-vitro (memasukkan tisu yang direka ke bahagian yang terjejas) atau in-situ yang dirangsang (memanfaatkan kebolehan regeneratif badan untuk membina semula tisu yang cedera atau lenyap).
“Gabungan cetakan 3D bersama bioresorbable polycaprolactone (PCL) mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk menumbuhkan sel-sel tulang dan pembuluh darah. PCL akan diuraikan dan diserap oleh badan dalam tempoh 18 hingga24 bulan.
“Ini membolehkan penjanaan semula tisu secara semula jadi, sekali gus tulang semula jadi pesakit akan terbentuk.
“Bahan implan kami akan melalui proses metabolisme untuk menjadi air dan karbon dioksida, meninggalkan tulang yang semula jadi dan sihat,” katanya.
Implan ini amat sesuai untuk pembedahan kecederaan wajah, tulang dan otot serta pergigian.










