‘Pentas’ baharu Tiara Jacquelina - Utusan Malaysia

‘Pentas’ baharu Tiara Jacquelina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOSOK ini seperti tidak akan pernah berhenti memperjuangkan cinta terhadap seni yang sebati dalam diri. Apa sahaja dilakukan, ada nilai dan jiwa memartabatkan budaya serta patriotik yang dibawa bersama.

Bagi Puan Sri Tiara Jacquelina, perjalanannya sebagai anak seni bukan sesuatu yang harus dikesali. Dia menghargai dan mensyukuri setiap peluang serta pengalaman yang menjadikan dia berdiri seperti sekarang.

Lantas, tidak canggung jika ada yang mengangkat dirinya sebagai penanda aras, khususnya kepada generasi muda. Dia adalah pencetus kepada beberapa kebanggaan dalam sejarah seni tanah air.

“Saya anggap diri sebagai penerus budaya. Saya mahu generasi muda, rakyat negara ini tahu sejarah serta kisah-kisah legenda yang ada. Mestilah bangga kalau saya dianggap sebagai penanda aras, tetapi saya lihat dari sisi berbeza.

“Mungkin ketika ini saya masih bertenaga, masih berdaya untuk memperjuangkan semua ini, tetapi sampai bila? Pencen atau bersara, itu cuma satu impian. Perjuangan tetap diteruskan.

“Cuma, kita memerlukan anak muda, generasi baharu untuk ambil alih. Lakarlah kejayaan dengan cara sendiri untuk memartabatkan seni dan budaya kita. Itu matlamat sebenar kita,” ujarnya.

Ditanya, adakah dia berhasrat untuk menghasilkan filem atau teater seperti mahakaryanya, Puteri Gunung Ledang, wanita besi berusia 55 tahun ini menjawab;

“Sudah tentu. Kalau ikut minat dan cinta saya, lebih banyak kisah legenda yang boleh diangkat ke layar perak mahupun teater. Setiap penerbit ada minat masing-masing, saya pula lebih suka dengan budaya.

“Cuma, kini saya lebih fokus kepada ‘pentas’ berbeza. Pentas semula jadi yang membawa objektif sama. Niat saya mahu melihat generasi muda tahu sejarah negara, selain memperkayakan seni budaya kita,” ujarnya.

DREAM FOREST

Teruja tatkala gelanggang soalan tentang Dream Forest Langkawi dibuka, kongsi Tiara, impiannya empat tahun lalu bersama rakan kongsi akhirnya menjadi realiti. Sebuah destinasi percutian yang menjadi ‘pentas’ baharunya.

Jelas Tiara, Dream Forest merupakan destinasi percutian berasaskan teknologi Realiti Terimbuh (AR) membawa pengunjung menelusuri hutan dan disajikan dengan penceritaan kisah legenda Langkawi menggunakan projection mapping.

“Ini adalah evolusi perjalanan saya. Asal usul saya yang bermula sebagai penari, kemudian menubuhkan Tiara Cultural Group bersama rakan artis antaranya Datin Maria Farida, Nasha Aziz dan ramai lagi.

“Saya seterusnya melibatkan diri dalam industri seni. Berlakon dan akhirnya, menerbitkan filem serta pementasan teater seperti Ola Bola dan Mud: The Story Of KL. Selepas itu, saya buka resort Tiarasa Escape.

“Jadi, Dream Forest adalah kesinambungan evolusi saya. Menggabungkan elemen semula jadi dan penceritaan kisah legenda secara digital. Pengalaman berbeza tetapi jiwanya sama,” katanya.

Dream Forest menelan belanja RM20 juta itu dibangunkan di kawasan hutan Kampung Buku bakal membawa pengunjung menelusuri pemandangan malam rimba dengan ditemani penceritaan kisah legenda Langkawi.

Diaju soalan, adakah Dream Forest akan dibuka di lokasi berbeza selepas ini, Tiara tidak menolak cadangan itu.

“Setiap negeri atau lokasi ada cerita dan kisah legenda tersendiri. Kami terbuka sekiranya ada lokasi yang menarik untuk dibangunkan tanpa mengubah struktur rimba,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×