Pasang bodyguard bukan untuk gimik – Meerqeen - Utusan Malaysia

Pasang bodyguard bukan untuk gimik – Meerqeen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMPAK drama Melur Untuk Firdaus yang meraih 11 juta tontonan, sekelip mata melonjakkan populariti Meerqeen.

Meskipun masih bertatih untuk membuktikan kemampuan sebenarnya, populariti drama itu turut memacu langkah Meerqeen mencipta nama di Indonesia.

Penerimaan peminat di negara jiran itu terhadap pemilik nama sebenar, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam ini sangat luar biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemasyhuran dikecapi bagaimanapun, datang dengan harga tinggi. Kegilaan peminat terhadap peserta Hero Remaja 2019/2020 ini ada kalanya di luar jangkaan sehingga dia terpaksa menggunakan khidmat pengawal peribadi atas faktor keselamatan.

Berkongsi perkara itu, Meerqeen menjelaskan, dia membuat keputusan itu selepas insiden diserbu peminat sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, sedikit masa lalu.

“Saya tidak dapat lupakan pengalaman diserbu peminat sejurus tiba di lapangan terbang itu.

“Lebih 400 peminat datang menyambut ketibaan saya dan suasana bertukar cemas apabila ada peminat fanatik bertindak agresif seperti menarik tangan, memegang paha dan tengkuk.

“Saya tidak sangka peminat akan bertindak begitu dan situasi tersebut mengakibatkan saya mengalami anxiety,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya adakah dia serik dan khuatir untuk kembali ke Indonesia, Meerqeen menyifatkan, insiden dilaluinya itu adalah sebahagian laluan yang perlu ditempuh anak seni sepertinya.

Bagi Meerqeen, dia tetap menyayangi peminat di Indonesia dan menghargai sokongan yang diberikan mereka selama ini.

“Saya tidak pernah risau untuk kembali ke Indonesia kerana negara itu sudah seperti rumah kedua.

“Saya banyak belajar daripada insiden yang berlaku dan berusaha mengambil langkah sepatutnya supaya kejadian cemas seperti itu tidak berulang.

“Sama seperti negara sendiri, Jakarta juga istimewa di hati saya. Peminat di sana menerima saya dengan hati terbuka, mungkin disebabkan keikhlasan yang saya berikan terhadap kerja lakonan,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Meerqeen berkata, dia banyak menerima tawaran berlakon di Indonesia.

Namun, buat masa ini, terpaksa mendahulukan tawaran di negara sendiri.

“Memang banyak tawaran lakonan yang saya terima, termasuk filem dan drama yang sudah memulakan penggambaran.

“Tetapi, saya terpaksa tolak kerana sudah menerima beberapa tawaran di sini,” jelasnya.

Kata Meerqeen, dia bersyukur kerana apa yang pernah diangan-angankan dahulu menjadi kenyataan. Katanya, semua yang dikecapinya hari ini tidak datang bergolek, sebaliknya hadir selepas berusaha dan kerja keras.

“Setiap pelakon impikan kemunculan mereka membekas dan dihargai peminat.

“Saya sentiasa tetapkan matlamat dan kalau mahukan sesuatu, saya akan usaha sehingga dapat.

“Saya gembira dengan apa yang saya miliki hari ini dan paling penting, sentiasa bersyukur atas rezeki dan kurniaan Tuhan,” tambahnya.

Tak perlu gimik murahan

Disoal tentang gimik untuk melariskan drama atau filem, Meerqeen mempunyai pandangan tersendiri.

Kata pelakon berketinggian 178 sentimeter ini, drama atau filem berkualiti tidak perlu dicacatkan dengan gimik murahan. Sebolehnya, dia tidak mahu terlibat dengan publisiti seperti itu.

“Kalau penonton mahu, mereka akan tetap menonton naskhah tersebut tanpa perlu disajikan dengan gimik murahan.

“Contoh drama bersiri terbaharu saya, Nenek Bongkok Tiga. Umum tahu dan yakin drama itu akan mendapat sambutan dan dapat pergi lebih jauh. Tidak perlu gimik atau perkara merepek untuk tarik perhatian umum.

“Tindakan seperti itu hanya memberikan impak negatif. Saya lebih setuju dengan pendekatan yang bersahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini