SELEPAS KIL, Terbaik Dari Langit dan Rise: Ini Kalilah, sutradara prolifik, Nik Amir Mustapha kembali ke layar perak dengan naskhah terbaharu, Imaginur.
Filem terbaharunya ini menampilkan jalan cerita lebih segar dan menguji minda penonton dengan pelbagai persoalan dan teka-teki, sekali gus memiliki kekuatan tersendiri untuk memancing khalayak ke pawagam.
Imaginur diperhebat dengan barisan pelakon gred A antaranya Beto Kusyairy, Diana Danielle, Fatimah Abu Bakar, Datuk Rahim Razali, Datuk Afdlin Shauki, Meor Hashim Manap, Nadiya Nisaa dan ramai lagi.
Skrip filem ini dihasilkan dengan menggabungkan buah fikiran Nik dan pelakon serta penulis, Redza Minhat.
Tema yang diangkat iaitu hipnosis, kekeluargaan dan cinta menjadi antara pengisian yang menguatkan jalan cerita, sekali gus menjadi daya penarik utama Imaginur.
Ditemui pada malam gala filem tersebut, baru-baru ini, Nik berkata, pembikinan produksi itu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.
Naskhah terbaharunya itu katanya, dihasilkan berdasarkan minat dan rasa ingin tahu tentang minda manusia serta tahap keupayaannya.
“Saya dan Redza amat meminati topik berkenaan minda dan hipnosis (pukau) serta cara manusia berfikir. Kami sepakat memilih tema tersebut dalam filem ini.
“Tema itu dihidupkan dengan elemen cinta, kekeluargaan, garis masa dan banyak lagi. Ia adalah perjalanan yang penuh teka-teki.
“Banyak persoalan yang ditimbulkan dan hanya akan terjawab pada hujung filem ini. Saya harap penonton bersabar dan mengikuti perjalanan (cerita) dari awal sehingga penutup,” katanya.
Kata Nik, proses penghasilan Imaginur membentangkan cabaran tersendiri, termasuk proses penggambaran yang terpaksa ditangguhkan akibat pandemik.
“Proses penghasilan skrip bermula dari 2018 hingga kami sempat siapkan 10 draf sebelum mulakan penggambaran pada 2020.
“Bagaimanapun, selepas dua minggu, penggambaran ditangguh kerana pandemik Covid-19. Ia hanya disambung enam bulan selepas itu. Dalam tempoh itu, kami sempat tambah dan perbaiki lagi, menjadikan keseluruhan 11 draf skrip dihasilkan.
“Selepas proses suntingan dan tempoh permohonan Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), akhirnya Imaginur menjengah juga ke pawagam,” jelasnya mengenai filem yang menemui penonton bermula hari ini.
Berbicara lanjut, Nik mengakui, beruntung kerana berjaya mendapatkan pelakon hebat untuk beraksi dalam filem ini. Katanya, lakonan yang mantap antara faktor menarik penonton ke pawagam menyaksikan Imaginur.
“Ketika menulis skrip, saya dan Redza tidak membayangkan siapa pelakon untuk setiap watak dalam filem ini.
“Alhamdulillah, saya dapat barisan pelakon yang hebat. Mereka berjaya sampaikan apa yang penulis bayangkan dalam skrip.
“Pujian harus diberikan kepada pelakon atas kebijaksanaan, komitmen dan persembahan yang mereka berikan untuk filem ini. Sebagai pengarah, saya sangat bertuah,” tambahnya.
Antara filem Melayu terbaik – Afdlin
Membawa watak Doktor Ramli, Afdlin yang agak lama menyepi di layar perak, mengubat rindu peminat menerusi persembahannya dalam Imaginur.
Pelakon ini terpanggil untuk terlibat dalam filem tersebut kerana jalan ceritanya yang menarik dan diterjemahkan berdasarkan fakta tentang topik yang diketengahkan.
“Filem ini dibuat berdasarkan kajian dan fakta. Apa yang diceritakan di dalamnya, semua mengikut kajian yang dicantikkan dengan jalan cerita menarik.
“Bagi saya, ini antara filem Melayu terbaik. Tidak mengelirukan dan boleh diikuti dari mula sampai habis,” katanya.
Jelas Afdlin, dia telah lama bersedia untuk bekerjasama dengan Nik Amir yang pada matanya, pengarah yang bijak dan berbakat.
Kata Afdlin, Nik merupakan sutradara yang berani melawan arus stereotaip filem Melayu.
“Dia pengarah yang bagus dan saya suka cara pemikirannya yang lari daripada kebiasaan.
“Kita harus puji kesungguhannya menampilkan kelainan dan tidak stereotaip.
“Kita kena beri peluang dan sokong pengarah seperti beliau. Ramai lagi yang berbakat dan perlu diberi peluang,” ujarnya.
Input sendiri, realisasi visi pengarah – Beto
Penangguhan proses penggambaran selama enam bulan akibat pandemik membuatkan pelakon utama Imaginur, Beto Kusyairy menolak sebarang tawaran berlakon sepanjang tempoh tersebut.
“Dalam tempoh enam bulan, saya pegang watak Zuhal dan tidak mahu hilang fokus kalau terima tawaran lain.
“Sebenarnya, berkurung di rumah sedikit sebanyak membantu saya memegang watak itu dengan baik dan memudahkan ketika penggambaran bermula selepas aktiviti tersebut dibenarkan semula oleh kerajaan,” katanya.
Kata Beto, dia lega kerana berpeluang memberi input sendiri untuk mencipta karakter Zuhal. Bagaimanapun tambahnya, proses tersebut juga melibatkan pandangan dan idea pengarah serta penulis skrip.
“Seperti yang dikatakan Nik, kami bekerja secara kolaboratif dan memberikan input masing-masing untuk menghidupkan watak.
“Apa yang penting, kami perlu realisasikan visi pengarah untuk setiap watak dan warnakannya bersama-sama,” ujarnya.
Disoal tentang kerjasama dengan Diana Danielle yang membawa watak Nur, Beto mengakui, amat mengagumi kehebatan persembahan pelakon itu.
“Ini projek kedua melibatkan kami. Saya kagum dengan dia dari setiap segi. Pilihan dan tingkah laku, Diana sebenarnya pelakon yang hebat.
“Diana faham watak dan setiap babak yang melibatkannya. Dia serap emosi Zuhal dengan berkesan dan kembalikan dengan baik.
“Saya beruntung dapat bekerjasama dengannya dan juga pelakon lain. Itu antara faktor yang membuatkan saya setuju untuk berlakon filem ini,” jelasnya.
Ambil masa faham watak – Nadiya Nisaa
Membawa watak Isma, pelakon, Nadiya Nisaa banyak menghabiskan masa untuk memahami dan mendalami watak berkenaan.
“Saya letakkan usaha walaupun tidak membawa watak utama. Bagi saya, watak Isma perlu dipersembahkan dengan baik.
“Saya luangkan banyak masa untuk memahami Isma. Banyak membaca skrip, duduk dengan Nik dan Redza membincangkan tentang tuntutan watak ini,” ujarnya.
Kata Nadiya, dia tertarik dengan jalan cerita Imaginur yang disifatkannya unik dan mempunyai kelainan.
“Kita sedia maklum, garapan Nik dan keunikan cerita dalam setiap filem arahannya.
“Bagi saya, filem ini mengisi cita rasa penonton kerana ada elemen pop corn movie. Cuma, ia sedikit tricky dan jalan ceritanya juga tidak straightforward.
“Kita tahu Nik tidak akan tinggalkan penonton dengan persoalan. Dia akan sediakan jawapan pada akhir cerita. Saya rasa cerita ini bagus, ada masalah dan kenal pasti isu tersebut di samping mencari jalan penyelesaian,” tambahnya.










