BERGELAR anak seni bukan perkara mudah. Setiap gerak-geri diperhati, malah kata-kata juga boleh dimanipulasi hingga mencetuskan kontroversi yang kadang-kadang entah dari mana puncanya.
Apatah lagi, keterbukaan ruangan komen di media sosial membuatkan segelintir warganet dengan mudah melontarkan pendapat yang kadang-kadang membawa pahit daripada manis. Itu realiti yang harus ditelan.
Bagi pelakon berkaliber, Fasha Sandha, isu fizikalnya dipersenda yang pernah dilalui sedikit masa lalu benar-benar meninggalkan kesan.
Mengakui malu dengan kecaman yang dilontarkan, Fasha bagaimanapun, menukar kesedihan itu dengan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk dia menurunkan berat badan.
“Ketika itu, saya nampak bulat, mungkin kerana kuat makan. Apabila orang body shaming, saya sedih sangat. Orang cakap saya hamil, sedangkan tidak. Memang sedih, tetapi apa yang saya lalui itu juga menjadi penguat semangat.
“Saya cabar diri untuk turunkan berat badan. Malah, demi drama baharu, saya bersedia mengurangkan lagi berat badan. Memang saya bersenam gila-gila, selain menjaga pemakanan. Itu rutin saya untuk kuruskan badan.
“Agak susah sebab genetik saya memang berbadan besar. Mental kena betul-betul kuat, terutama dalam menjaga pemakanan. Itu yang susah. Tetapi, saya perlu kurangkan lapan kilogram lagi sebelum mula penggambaran drama baharu,” ujarnya.
Ditanya adakah suaminya, pelakon Aidil Aziz pernah bersuara tentang berat badannya, Fasha yang popular dengan drama Rampas Cintaku itu menggelengkan kepala seraya menjawab:
“Dia sangat menyokong, malah tidak kisah sama ada saya kurus atau gemuk. Tetapi, saya sendiri rasa rendah diri. Selain fikir soal kesihatan, saya perlu kurangkan berat badan mengikut kesesuaian watak.
“Aidil ada menyuarakan hasrat untuk tambah zuriat. Insya-Allah, tahun ini kami merancang kerana itu juga doa saya ketika menunaikan umrah, baru-baru ini. Dia minta kalau ada rezeki, mahu anak lelaki.
“Biarpun sibuk dengan kerjaya, kami akan tetap memberikan perhatian kepada keluarga. Sibuk bagaimana sekalipun, mesti ada hari untuk anak-anak,” katanya.
SERPIHAN SAYANG
Bakal tampil dalam Serpihan Sayang yang menghiasi slot Samarinda di TV3, kongsi Fasha, drama tersebut menuntut emosi dan mencabar dirinya membawakan watak wanita yang mengalami postpartum depression atau kemurungan selepas bersalin.
Selain berdepan banyak babak mencabar, watak wanita meroyan selepas kematian anaknya itu juga menuntut Fasha untuk kerap bertukar emosi sehingga mengundang tekanan akibat kepenatan.
“Karakter ini berubah-ubah dalam sekelip mata. Lebih mencabar apabila pengarahnya, Amor Rizan tidak memberi kebebasan kepada pelakon mencorakkan watak itu mengikut pemahaman sendiri.
“Dia mahu kita buat apa yang telah tertulis. Itu cara dia, sebagai pelakon saya kena ikut dan hormat. Kita mungkin ada bayangan lain sewaktu membaca skrip, tetapi Amor ada pandangannya sendiri.
“Memang penat ketika penggambaran. Tertekan pun ada. Saya selalu tertanya-tanya apakah saya sudah memberikan yang terbaik. Tetapi, Amor tahu apa yang dia mahukan,” ujarnya.
Biarpun sudah lebih 17 tahun dalam dunia lakonan, demi mendapatkan penghayatan dan memberikan hasil lakonan terbaik, ibu tiga anak ini sanggup berhabis wang ringgit memasuki kelas lakonan.
“Setiap pelakon akan sentiasa mencari kelemahannya. Memburu ilmu memang tidak akan ada hadnya. Saya berguru dengan pelakon hebat, Fauziah Nawi. Saya tidak kisah berhabis wang ringgit, asalkan dapat memberikan hasil terbaik.
“Saya masih ambil kelas lakonan walaupun sudah hampir 20 tahun berlakon. Menuntut ilmu tidak akan habis kerana ada sahaja kelemahan yang kita tidak nampak,” jelas pelakon Dendam Seorang Isteri ini.










