Cinta lokasi? Jangan susahkan orang lain – Ummi Nazeera - Utusan Malaysia

Cinta lokasi? Jangan susahkan orang lain – Ummi Nazeera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini, terma cinta lokasi menjadi buah mulut ramai. Ramai yang tertanya-tanya bagaimana cinta lokasi itu benar-benar boleh terjadi, sedangkan tanggungjawab pelakon adalah menzahirkan watak yang diamanahkan.

Tidakkah itu akan memberi impak terhadap kerja penggambaran? Ketika bahagia memeluk diri, mudah untuk mencapai keserasian. Tetapi bagaimana pula andai bercakaran, bukankah itu mengundang masalah?

Bagi pelakon berkaliber, Ummi Nazeera, cinta lokasi tidak akan terjadi sekiranya seseorang pelakon mampu mengawal emosi ketika penggambaran.

“Saya faham, cinta lokasi memang terjadi. Saya pernah melalui zaman muda remaja, ada perasaan ingin mengenali seseorang lebih rapat. Tetapi, nasihat saya, jangan ada cinta lokasi. Itu akan mengacau orang lain di set.

“Kalau bergaduh sehingga batal penggambaran, tidakkah itu menyusahkan ramai pihak? Soal perasaan memang kita tidak boleh halang.

“Tetapi, tunggulah sehingga habis penggambaran, baru mulakan langkah. Lainlah kalau kita bijak dan boleh kawal perasaan apabila terjadi sesuatu isu. Jangan susahkan orang lain,” katanya.

Pernah melalui situasi itu, jelas Ummi, perkelahian antara dua sejoli yang berlaku di set penggambaran tidak hanya akan mengganggu mood dan karakter pelakon lain, malah turut menyusahkan semua kru produksi.

“Saya pernah berada di set penggambaran dan tiba-tiba, dua pelakon bergaduh hingga penggambaran tidak dapat diteruskan. Bermain dengan perasaan ini bahaya,” katanya.

Berbicara soal kerjaya, jelas duta kepada jenama produk Muslimah mampu milik By Chefiza (BCF), ketika ini dia dalam fasa berehat selepas membawakan beberapa karakter berat, tahun lalu.

Naskhah popular seperti Risik Pada Hati dan Rindu Kasih yang mencetuskan fenomena, tahun lalu memberi impak besar kepada kerjaya Ummi.

“Saya bakal memasuki set drama baharu, tetapi buat masa ini, saya berehat dahulu. Saya tidak mahu terus menerus membawakan watak berat.

“Sepatutnya saya mula penggambaran Ramadan nanti, tetapi saya tunda dahulu kerana takut tidak dapat memberikan yang terbaik. Saya kena berehat untuk ‘hilangkan’ karakter terdahulu dan masuk kelas lakonan semula.

“Kejayaan sesebuah drama bukan terletak di bahu saya semata-mata. Proses pra dan pascaproduksi juga memainkan peranan penting. Skrip, suntingan dan pengarahan. Itu semua elemen yang membantu kejayaan sesebuah naskhah,” ujarnya.

KELAS LAKONAN

Terbit persoalan, ketika usia kerjaya seninya sudah mencecah 15 tahun, mengapa Ummi masih mengambil kelas lakonan? Tidakkah pujian menggunung peminat sudah membuktikan bakat dan kemampuannya?

“Hadiah terindah bagi anak seni adalah penghargaan peminat. Apabila mereka menghargai watak dan lakonan saya, itu bukti cinta sejati. Mereka tidak mengharapkan apa-apa selain bakat saya.

“Untuk memastikan perkara itu terjadi, saya perlu masuk kelas. Saya kena mendalami dan mencari warna serta perspektif berbeza untuk sesebuah watak. Saya belum cukup senior, masih perlu masuk kelas untuk warnai karakter.

“Saya suka memasuki kelas bersama Fatimah Abu Bakar. Di situ, saya belajar banyak ilmu dan teknik baharu. Kita juga berbincang bagaimana membe­zakan setiap karakter. Itu penting supaya persembahan tidak mendatar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN