“Tiket ke syurga bukan hanya dengan ibadah individu seperti puasa, solat, zikir, sebaliknya melibatkan ibadah sosial seperti membantu orang yang dilanda bencana alam!”
Islam adalah agama dermawan (filontrafi) yang sentiasa cakna orang susah. Baginda Rasulullah SAW pernah menguji tahap kecaknaan sahabatnya dengan sabda yang bermaksud: “Siapa antara kalian yang berpuasa hari ini?” Abu Bakar menjawab: “Saya!” Nabi bertanya lagi: “Siapa antara kalian yang sudah mengiringi jenazah (ke kubur) hari ini?” Abu Bakar menjawab: “Saya!” Nabi bertanya lagi: “Siapa antara kalian yang sudah memberi makan kepada orang miskin hari ini?” Abu Bakar menjawab: “Saya!” Nabi bertanya lagi: “Siapa antara kalian yang sudah menziarahi orang sakit hari ini?” Abu Bakar pun menjawab lagi: “Saya!” Nabi berkata: “Tidaklah terkumpul pada seseorang semua perbuatan itu melainkan dia akan dimasukkan. (Sahih Muslim, 1707).
Nisbah satu ibadah khusus iaitu puasa berbanding tiga khidmat sosial dalam hadis ini secara tidak langsung menunjukkan rupa Islam sebenar yang sentiasa memperjuangkan aspek kedermawanan atau kerja kebajikan.
Dalam hadis lain, skop sedekah diulas secara luas dan terbuka. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud; Senyumanmu pada wajah saudaramu adalah suatu sedekah untukmu, menyuruh yang baik serta mencegah yang mungkar juga sedekah untukmu, menunjuk jalan kepada lelaki yang tersesat juga sedekah untukmu, engkau melihat (memimpin) bagi pihak orang yang rabun (buta) juga sedekah untukmu, engkau membuang batu, duri dan tulang di jalanan juga sedekah untukmu, engkau menuang air dari timbamu ke dalam timba saudaramu juga sedekah untukmu. (Sunan al-Tirmidzi, 1879).
Selain itu, Allah juga menggabungkan definisi kebaikan dalam berbagai cabangnya meliputi akidah, ritual ibadah, akhlak dan khidmat sosial.
Ia dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Bukanlah kebajikan itu terbatas hanya pada (tindakan) kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu merangkumi berimannya seseorang kepada Allah, hari akhirat, para malaikat, segala Kitab, dan semua Nabi. (Ia juga melibatkan tindakan) seseorang yang menderma harta yang disayanginya – kepada kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba abdi…(al-Baqarah: 177)
Baginda SAW sebelum dilantik sebagai Rasulullah sudah lama menjiwai semangat dermawan ini. Kita dapat lihat buktinya dalam pujukan Khadijah r.ha kepada baginda setelah baginda pulang ketakutan kerana dipeluk erat Jibril dalam peristiwa wahyu pertama:
Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: (Rasulullah SAW pulang penuh ketakutan) berkata: “Selimutkan aku, selimutkan aku.” Setelah ketakutannya beransur hilang Baginda berkata kepada Khadijah: “Aduhai! Apa yang telah terjadi padaku ini?” Baginda lantas menceritakan pengalaman ajaibnya itu seraya berkata: “Aku risau sesuatu yang buruk akan berlaku padaku.” Khadijah lantas memujuk: “Tidak begitu (Usah risau). Allah tak akan menghinamu selamanya. Demi Allah kamu adalah seorang yang benar-benar menyambung hubungan keluarga, bercakap benar, memikul kesusahan orang, membantu orang yang miskin (tiada berharta), memuliakan tetamu dan membantu pelaksanaan kebenaran. (Sahih Muslim, 231).
Gempa bumi dahsyat yang melanda dua negara umat Islam, Turkiye dan Syria sangat meruntun jiwa. Bagi orang beriman, bencana ini turut menyebabkan mereka terasa perit dan deritanya.
Ia digambarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Perumpamaan orang beriman dalam cinta, kasing sayang dan lemah lembut sesama mereka seperti satu jasad. Apabila satu anggota berasa sakit, seluruh anggota badan turut berasa sakit sehingga menyebabkan ia berjaga malam dan demam. (Sahih Muslim, 4685).
Jika bukan seakidah sekalipun, umat Islam tetap perlu cakna membantu semua manusia tanpa mengira agama atau bangsa kerana semua manusia berasal dari ayah bonda yang satu. Allah membenarkan kita berbuat baik kepada bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.
Ia dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang (bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. (al-Mumtahanah: 8)
Bertitik tolak daripada semangat itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melancarkan tabung bantuan gempa Turkiye dan Syria. Tambahan pula ramai alumni UIAM berasal dari dua negara ini. Bantuan akan disalurkan kepada Duta Besar Turkiye di Malaysia yang juga Ahli Lembaga Gabenor UIAM, Emir Salim Yuksel.
Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian bermula 8 hingga 27 Februari 2023. Bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank Muamalat nombor 1407 000000 4716 (UIAM Operating Account) dengan rujukan sumbangan 4Turkiye & Syria.
Yakinlah, bantuan ini bakal berganti nilainya. Boleh jadi ia berganti pahala, keamanan, kesejahteraan, keharmonian dan sebagainya. Ia dijamin sendiri oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang jemu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki. (Saba’: 39)
Untuk itu, marilah kita doakan keselamatan dan kesejahteraan mangsa yang diuji bencana ini. Kepada yang sudah dijemput Allah, doakan mereka beroleh pahala mati syahid.
Ia sebagaimana janji Nabi SAW yang bermaksud: “Ada tujuh jenis mati syahid lagi selain gugur berjuang pada jalan Allah. (Mereka adalah) orang yang mati kerana penyakit taun, orang yang mati lemas, orang yang mati kerana sakit paru-paru, orang yang mati kerana penyakit dalam perut, orang yang mati terbakar (semuanya) dikira mati syahid. Begitu juga orang yang mati ditimpa sesuatu (bangunan atau hentaman kenderaan) dan wanita yang mati melahirkan anak juga dikira mati syahid. (Sunan Abu Daud hadis no 2704).










