TIDAK lengkap sekiranya trend fesyen tidak sealiran dengan solekan. Trend solekan pada 2022 memperlihatkan warna lembut seperti gaya make up no make up dan skincare, bagaimana pula trend 2023?
Menurut jurusolek profesional dan usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa, ramalan solekan 2023 sentuhannya akan lebih ke arah nude, earth colour, mengikut warna kulit dan tidak berwarna-warni, terutama pembayang mata yang akan banyak menggunakan warna brown dan smoky brown.
“Jika kita lihat pada 2022, solekan lebih kepada warna lembut ala make up no make up. Kulit pula seperti tidak memakai foundation atau solekan tebal. Bibir juga dengan warna natural seperti pink lembut seakan-akan warna kulit asal, lebih glowing dan terarah kepada penjagaan kulit sihat.
“Untuk trend 2023 akan lebih kepada warna tanah, coklat dan nude brown. Bibir yang dioles dengan warna pink juga akan dicampur dengan warna brown supaya tidak terlalu menonjol. Tidak bermain dengan banyak warna dan hanya mengikut warna kulit,” katanya.
Namun, ujar jurusolek artis (MUA) dengan nama sebenar, Abdul Al Halim Mohd. Al Fadzil ini, sentuhan dengan permainan shimmer atau glitter halus juga sudah menjadi pilihan untuk majlis nikah dan sanding yang disuaikan dengan busana pengantin.
“Warna glitter akan menjadi trend pada 2023. Bukan glitter yang terlalu menonjol, tetapi sentuhan shimmering yang membuatkan solekan nampak mewah, tidak keterlaluan dan tidak mengubah struktur wajah berlebih-lebihan. Solekan seperti ini membuatkan wajah seseorang itu tampak lebih mahal,” katanya.
Bagi solekan kening pula, Alha berkata, trend 2023 masih menggunakan teknik yang sama seperti 2022 iaitu mengambil pengaruh dari Thailand dengan gaya bushy dan natural.
“Kening tidak akan diukir dan hanya disikat menggunakan wax. Penggunaan framing kening yang sharp dan gelap tidak lagi menjadi trend. Kini stail ‘layang-layang’ dan minimalis sahaja untuk efek natural membuatkan seseorang itu kelihatan seperti tidak bersolek dan wajah juga tidak berubah disebabkan mekap.
“Teknik dan warna natural digunakan ini menghasilkan kecantikan daripada wajah asal, bukan disebabkan solekan. Namun, kita serlahkan kecantikan sedia ada itu untuk tampak lebih cantik, manis, ayu dan segar secara semula jadi,” katanya.
TIDAK KETERLALUAN
Kongsi Alha, penggunaan foundation juga tidak terlalu tebal dan cerah daripada warna kulit. Kata beliau, elak untuk mengikut stail Arab atau Asia Barat dan Indonesia bagi 2023 yang sering menggunakan foundation tebal.
“Pemilihan foundation juga terarah kepada warna kulit. Ramai yang sudah tahu membuat pemilihan foundation bersesuaian dengan kulit. Sebagai jurusolek, kita perlu tahu bila untuk menggunakan foundation lebih cerah mengikut kesesuaian suasana majlis. Warna hijab dan busana turut mempengaruhi menaikkan seri pengantin. Contohnya, mencerahkan sedikit solekan daripada kulit asal akan membantu pengantin lebih menyerlah.
“Perlu lihat juga tempat majlis. Jika majlis dalam khemah dan gelap, permainan cahaya mempengaruhi. Kalau dilakukan di taman, foundation tidak perlu terlalu cerah dan putih, memadai ikut warna kulit sendiri.
“Manakala, dewan yang gelap dan kurang pencahayaan pula, kita perlu serlahkan sedikit warna asas untuk lebih cerah. Untuk nikah, pilih solekan natural dan ketika bersanding, kita naikkan satu tona untuk tonjolkan solekan. Tetapi, masih natural dan tidak tebal atau keterlaluan,” katanya teknik mencerahkan atau menaikkan tona bedak asas hanya sesuai untuk warna kulit sederhana dan cerah.
Tambah beliau, teknik contour untuk 2023 pula lebih kepada natural dan shading yang tidak terlalu menonjol.
Kata Alha, meskipun lambakan peralatan solekan akan digunakan bagi memudahkan dan menjimatkan masa bersolek, sentuhan jurusolek profesional masih menggunakan teknik manual iaitu jari-jemari.
“Solekan biasanya mengikut kondisi kulit seseorang. MUA mempunyai teknik dan identiti tersendiri dalam menata rias. Peralatan yang biasa akan digunakan seperti berus, beauty blender dan sponge. Walaupun muncul peralatan baharu (untuk memudahkan solekan) tetapi tetap sukar untuk menyelesaikan atau beri impak kepada solekan,” katanya.
Beliau menambah, trend fesyen dan busana pengantin kini tidak sarat dengan labuci, permata mahupun kristal dan rekaannya lebih ke arah potongan yang terletak, eksklusif, ringkas dan mahal. Material juga tidak menggunakan renda yang sarat.
“Jika busana agak simple dan eksklusif, kebanyakan jurusolek akan ‘menangkan’ atau lebih menonjolkan solekan untuk menaikkan seri wajah, tetapi sedap mata memandang dan tidak keterlaluan,” katanya.










