Saujana optimis tarik peminat, saingi Blackpink - Utusan Malaysia

Saujana optimis tarik peminat, saingi Blackpink

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN masih berbaki lebih sebulan, kumpulan Saujana yakin tiket konsert mereka yang akan dianjurkan pada 5 Mac depan bakal mendapat sambutan, terutama hasil sokongan jitu peminat nasyid.

Pengarah Projek Konsert Saujana 25 Tahun, Ahmad Zuhaidi Abd. Aziz berkata, pelbagai perancangan sudah lama disusun, malah idea untuk konsert tersebut juga tercetus sejak lima tahun lalu.

Katanya, dia optimis peminat nasyid akan membanjiri Zepp Kuala Lumpur, walaupun sehari sebelum itu, dua konsert besar iaitu kumpulan K-pop, Blackpink dan Konsert Bulan Bintang bakal berlangsung.

“Kami kekal positif sebab kelompok peminat Saujana berbeza. Kebanyakan peminat Saujana berusia 35 tahun ke atas dan rata-rata sudah berkeluarga. Demografi peminat nasyid dan K-pop juga berbeza.

“Apa yang penting, kami akan memastikan promosi konsert seperti di radio dan media sosial berjalan baik. Kami juga bertambah yakin dengan sokongan alumni Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) dan peminat akan membantu jualan tiket,” katanya.

Zuhaidi merupakan antara ahli Saujana yang masih bergerak aktif bersama Suffian Amrin dan Azalinor Abdul Rahman. Kumpulan yang terkenal dengan lagu malar segar, Sepohon Kayu ini turut dibarisi empat ahli asal iaitu Dr. Khairul Idzwan (Idzu Baharin), Dr. Faizul Hizal Ghazali, Mohd. Hakimi Harun dan Wan Najran Wan Noh.

Saujana bakal menampilkan konsep persembahan unik menerusi gabungan lagu ketuhanan dengan irama tradisional, hasil kolaborasi dengan Orkestra Tradisional Malaysia.

Konsert itu turut menampilkan artis undangan seperti Nazrey Johani, kumpulan Awla, Andika dan Ustaz Nabil.

KONSEP SEGAR, UNIK

Mengulas lanjut, Zuhaidi berkata, mereka bakal menampilkan konsep persembahan yang segar dan unik serta berupaya menarik minat tidak hanya penggemar nasyid, bahkan peminat muzik Melayu.

Jelasnya, peluang bekerjasama dengan orkestra yang dipimpin Yazid Zakaria adalah penghormatan besar buat Saujana.

“Kami bersyukur mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Samirah Hambali atau Kak Sam yang berpengalaman luas menganjurkan konsert dan acara berskala besar.

“Kak Sam juga antara individu bertanggungjawab membawa kami ke dalam industri muzik, dua dekad lalu,” katanya.

Sementara itu, Suffian yang bertindak sebagai Pengarah Kreatif berkata, pihaknya terpanggil untuk menganjurkan konsert melalui Dana Kandungan Digital (DKD) selepas melihat kejayaan kumpulan nasyid lain seperti Rabbani, Inteam dan UNIC.

“Asalnya, kami merancang untuk membuat persembahan berskala kecil seperti majlis minum petang, tetapi hikmah pandemik Covid-19 dan persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah mencetuskan konsert ini.

“Kami juga sangat bersyukur kerana mendapat DKD yang sangat membantu anak seni untuk bergiat lebih aktif. Alhamdulillah, inilah masanya untuk kami gabungkan semua ahli lama sejak Saujana ditubuhkan, 25 tahun lalu,” katanya.

TAK ASING TEMPAT DUDUK

Meskipun tercetus persoalan apakah penganjur bakal mengasingkan tempat duduk antara penonton lelaki dan wanita, Zuhaidi berkata, pihaknya tidak mahu terlalu rigid dalam perkara itu.

Ini kerana, katanya, sukar bagi penganjur berbuat demikian kerana kebanyakan penonton yang hadir terdiri daripada mereka yang sudah berkeluarga.

“Kami tidak asingkan tempat duduk sebab ada suami yang datang bersama isteri dan keluarga. Penonton yang datang juga pastinya matang dalam menjaga batasan ketika berhibur.

“Tempat duduk diasingkan mengikut zon berdasarkan jualan tiket yang bermula dari RM109, RM161, RM213 dan RM265. Jualan tiket sudah dibuka di www.ticket2u.com.my,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN