Kumpul 4 tan barang kitar semula dalam tempoh 4 bulan

Kumpul 4 tan barang kitar semula dalam tempoh 4 bulan

SEORANG ahli 3R Rangers (kanan) SMK Munshi Abdullah di Batu Berendam, Melaka menyerahkan barang-barang kitar semula yang telah diasingkan kepada kakitangan SWM. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah di sini berjaya mengumpulkan 4,000 kilogram barang boleh dikitar semula sejak menyertai projek perintis 3R Rangers, Ogos lalu.

Pengetuanya, Ramli Abdullah berkata, pasukan sekolahnya yang terdiri daripada 35 pelajar turut berjaya membentuk sahsiah pelajar lain bagi memahami kepentingan aktiviti kitar semula.

“Barang-barang yang dikumpulkan akan diserahkan kepada SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) dan sekolah akan diberi mata yang boleh ditukarkan dalam bentuk kewangan. Wang yang diterima itu akan digunakan semula untuk meningkatkan lagi program ini.

“Program ini sangat memberi kesan besar kepada pihak sekolah. Kita boleh lihat sekolah lebih ceria, bersih dan cantik,” katanya pada Program Aktiviti Kitar Semula Pasukan 3R di SMK Munshi Abdullah di sini hari ini.

Dalam pada itu, SWM komited mengembangkan lagi program 3R Rangers ke seluruh negeri ini termasuk di sekolah rendah.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, pihaknya tidak meletakkan sasaran khusus, namun mana-mana sekolah yang aktif dan komited menjayakan program tersebut akan diberi keutamaan.

“Kita mendapat komitmen yang sangat tinggi daripada pihak pengurusan sekolah yang mana mereka menghargai usaha 3R Rangers kerana memberi ilmu kepada pelajar lain tentang kepentingan pengasingan di punca dan melaksanakan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle).

“Sasaran kita adalah kesemua sekolah di Melaka kerana lebih mudah disebabkan negeri yang kecil dan mendapat kerjasama yang baik daripada Jabatan Pendidikan Negeri. Kerjasama erat ini memudahkan kita melaksanakan program-program di sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya