Duan Nago Bogho sarat nilai seni, kritikan sosial - Utusan Malaysia

Duan Nago Bogho sarat nilai seni, kritikan sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sinema tempatan terus dihangatkan dengan tayangan filem masyarakat, Duan Nago Bogho karya pengarah hebat, Sabri Yunus.

Selepas lama diperam, sejak negara berdepan pandemik, filem yang menelan kos pembikinan RM2 juta ini akhirnya menemui penonton di panggung mulai esok.

Duan Nago Bogho sarat nilai estetika apabila mengangkat seni persembahan Mak Yong sebagai medium untuk mengetengahkan pelbagai isu sosial seperti gengsterisme, kekeluargaan, budaya dan kemasyarakatan.

Sabri atau nama sebenarnya, Mohd. Sabri Yunus, 61, meminjam seni tersebut untuk mencorakkan kritikan sosial dalam filem tersebut.

“Saya tidak mahu terlalu menekankan aspek Mak Yong kerana khuatir filem ini bertukar menjadi dokumentari.

“Saya hanya pinjam seni tarian itu untuk mengupas pelbagai isu, contohnya pertembungan nilai budaya dan bangsa, keterbukaan masyarakat terhadap keseniaan dan sebagainya.

“Ini bukan cerita pasal orang Kelantan semata-mata, sebaliknya saya cuma pinjam latar negeri itu untuk mengetengahkan isu masyarakat,” katanya.

Duan Nago Bogho diperhebat dengan barisan pemain layar handalan, gabungan pelakon baru dan lama seperti Sabri sendiri, Asrulfaizal, Datuk Rosyam Nor, Angeline Tan, Jojo Goh, Sangeeta Krishnasamy dan ramai lagi.

“Saya tidak membayangkan pelakon tertentu untuk satu-satu watak. Saya akan siapkan skrip terlebih dahulu dan kemudian pilih pelakon.

“Tetapi, untuk filem ini, saya reka watak Duan semata-mata untuk Asrul.

“Watak Pok Su Ki pula tidak dicipta khusus untuk saya bawakan. Saya berlakon kerana rugi kalau orang lain membawakan watak tersebut, itu sahaja,” katanya lagi.

Sabri dilihat berjaya mengkomersialkan seni Mak Yong, meskipun beliau enggan Duan Nago Bogho dilabel sebagai filem Mak Yong.

Ditanya perkara itu, Sabri berkata, filem tersebut berhasil mengangkat Mak Yong kerana seni itu berpotensi untuk dikomersialkan dalam bentuk filem.

“Sejak dahulu lagi, pembikin akan berdepan cabaran hebat untuk menggabungkan aspek komersial dan seni dalam filem yang mereka hasilkan.

“Pada saya, Mak Yong secara sifatnya memang sesuai untuk dikomersialkan kerana ia sangat unik dan tersendiri,” jelasnya.

Turun berat untuk watak Duan – Asrulfaizal

Berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang lakonan, di samping bertahun-tahun penglibatan dalam seni Mak Yong menjadikan Mohd. Asrulfaizal Kamaruzaman, 43, pelakon paling layak membawakan watak Duan.

Benarlah seperti yang dikatakan Sabri, watak Duan sememangnya dihasilkan untuk pelakon yang menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya sambilan ini.

Asrul berkata, dia percaya dengan kredibiliti Sabri sebagai pengarah yang baginya, tidak perlu dipersoalkan.

“Kalau Sabri Yunus yang tawarkan (berlakon), saya tidak fikir lama untuk terima.

“Saya percaya dengan kemampuannya memilih pelakon yang bersesuaian dengan watak kerana dia banyak melakukan kajian awal.

“Saya tidak berlakon sepenuh masa kerana mempunyai kerjaya tetap. Kalau dapat tawaran berlakon, saya akan pertimbangkan mengikut kesesuaian masa. Tetapi, kalau Sabri yang berikan tawaran, saya akan cuba lapangkan masa,” kata Asrul yang kini berkhidmat di Universiti Malaya sebagai Pegawai Kebudayaan.

Kata Asrul, antara cabaran membawakan watak Duan adalah tuntutan fizikal yang perlu dipenuhinya.

“Sabri beri saya setahun untuk turunkan berat badan. Saya tidak ambil jalan pintas dengan makan produk pelangsing, sebaliknya hanya kawal pengambilan makanan dan amalkan jogging setiap hari.

“Demi watak ini, saya berupaya menurunkan lebih 10 kilogram (kg). Berat saya sebelum ini mencecah lebih 90 kg, namun turun kepada sekitar 80 kg,” jelasnya.

Bercakap soal kritikan terhadap filem ini apabila ditayangkan, Asrul berkata, dia mengalu-alukan pandangan masyarakat, terutama dalam aspek berkaitan seni Mak Yong untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

“Filem sebelum ini yang turut mengetengahkan Mak Yong sebagai antara subjek kandungan juga tidak lepas daripada kritikan disebabkan kesilapan fakta.

“Setiap perkara yang kita mahu filemkan perlu didahului dengan kajian mendalam. Itu yang dibuat Sabri terhadap Mak Yong.

“Jadi, saya amat mengalu-alukan sekiranya masyarakat, lebih-lebih lagi orang Kelantan mengkritik dan memberikan pandangan mereka terhadap filem ini untuk kebaikan seni Mak Yong itu sendiri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN