Didik penonton hargai naskhah berat – Nadia Aqilah - Utusan Malaysia

Didik penonton hargai naskhah berat – Nadia Aqilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Dunia Hong Kong yang berlangsung Oktober lalu, pujian wajar diberikan kepada wanita berusia 38 tahun ini.

Umum tahu, bukan mudah untuk meraih pengiktirafan dari luar dan ia hanya akan menjadi kenyataan sekiranya pelakon itu memiliki bakat istimewa.

Itu yang berlaku pada pelakon, Nadia Aqilah. Dia antara contoh pelakon wanita yang mempunyai potensi luar biasa dan sentiasa bersungguh-sungguh menzahirkan watak yang diamanahkan

Semua itu diterjemahkan ikhlas dari sudut hatinya. Dia mengakui, tidak pernah bercita-cita mahu merangkul sebarang anugerah dan lebih fokus untuk mempamerkan mutu lakonan yang mengesankan dan sampai ke jiwa penonton.

Namun, untuk mencapai hasrat tersebut, Nadia berkata, dia mengambil pendekatan dengan memilih naskhah untuk dijayakan bagi memastikan penonton tidak bosan dengan sajian watak hampir sama.

“Mungkin ada yang perasan, saya selalu dikatakan lebih sesuai membawa watak berat. Terus-terang, saya memang suka dengan karakter begitu. Tetapi, sebagai pelakon, saya sedar perlu mempelbagaikan warna watak, jadi saya sedikit memilih.

“Sebenarnya, dari satu sisi, bagus juga kalau memilih. Ia membuatkan penampilan saya di mata penonton berbeza. Rasanya lebih baik begitu,” katanya.

Berkongsi lanjut, anak jati Johor itu berkata, filem terbaru lakonannya, Eva turut memberinya ruang untuk menyerlahkan sisi berbeza sebagai pelakon, meskipun sekali lagi beraksi dalam naskhah berat.

“Melakonkan watak wanita yang mengalami gangguan split personality, Eva adalah antara naskhah berat dan susah untuk saya bawakan. Sayai pernah hampir menolak untuk menjayakan watak itu.

“Berminggu-minggu juga saya berfikir sebelum memberikan kata persetujuan. Itupun selepas berulang kali membaca skrip dan mendengar penjelasan mendalam daripada pengarah serta penerbit. Mereka benar-benar mahu saya menjayakan filem ini demi mesej yang ingin disampaikan.

“Selepas berfikir panjang, saya akhirnya bersetuju apabila ramai yang memberikan kepercayaan. Mereka mahu saya juga merealisasikan watak ini, meskipun saya pernah mencadangkan kepada pihak produksi supaya mencari pelakon lain,” katanya.

Beri masa

Ditanya adakah dia yakin penonton mudah menerima naskhah berat di layar perak, dalam nada tenang Nadia menjawab, mereka perlu diberikan masa.

Katanya, keba­nyakan penggemar filem Melayu masih belum terbuka untuk menerima naskhah berat, namun minat itu perlahan-lahan bercambah dengan kehadiran platform seperti Netflix dan Amazon Prime.

“Perkara begini memang akan mengambil masa sedikit. Saya pernah cakap pada penerbit, tidak perlu stress memikirkan sama ada filem ini akan box office atau tidak kerana apa yang penting, mesej yang diketengahkan sampai.

“Penonton kita tidak seperti audiens luar yang lebih terbuka dengan isu berat, contohnya berkaitan kesihatan mental yang turut diangkat dalam Eva.

“Mungkin penonton kita sudah terbiasa dengan sajian naskhah ringkas dan tidak perlu banyak berfikir. Namun, tidak salah kalau kita dedahkan dan didik penonton dari sekarang,” katanya.

Pun begitu, kata Nadia, dia memuji usaha beberapa produksi tempatan yang semakin berani menggerakkan kempen kesedaran tentang sesuatu isu menerusi nakshah garapan mereka.

“Kita boleh nampak percubaan itu dan penonton juga sudah mula menerima naskhah berat. Tetapi, proses itu mengambil masa.

“Saya percaya, kalau stesen televisyen kita lebih berani ketengahkan produksi seperti ini, meskipun menerusi naskhah ringan, penggiat industri kreatif kita juga bersedia menyajikan pengisian baharu dan berbeza.

“Saya benar-benar berharap landskap dan gaya tontonan serta penghasilan filem dan drama tempatan mampu mencapai tahap lebih bagus, berbanding sekarang,” katanya.

Eva diterbitkan D’Alpha Legacy Sdn. Bhd. (M) dan mendapat garapan mantap sutradara, Suhaiza Aziz. Selain Nadia Aqilah, filem ini turut dibintangi Nadia Brian, Shamsul Danish, Datuk Jalaludin Hassan, Tony Eusoff, Hasnol Rahmat, Sheera Iskandar, Jay Iswazir, Azrel Ismail dan Zain Ruffedge.

Eva yang menjalani penggambaran selama 15 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada Februari lalu bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 26 Januari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN