Bella Dowana tepis kontroversi - Utusan Malaysia

Bella Dowana tepis kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Bella Dowana mungkin masih asing dalam kalangan peminat industri hiburan.

Hakikatnya, pelakon manis ini sudah lama bertapak dalam bidang seni sejak usia enam tahun lagi.

Kata Bella, dia tidak kecewa sekiranya dianggap tidak popular atau kurang dikenali. Anak kelahiran Ipoh, Perak ini percaya rezeki tidak pernah salah alamat dan populariti akan hadir selepas berusaha keras.

“Mungkin belum rezeki saya untuk menerima tawaran berlakon drama yang betul-betul boleh melonjakkan nama sebagai pelakon. Peluang itu belum ada. Ia bukan soal salah pilih karya atau sebagainya.

“Saya menganggap belum ada rezeki, namun tidak kecewa apabila masih ramai tidak kenal saya,” katanya.

Kata Bella, dia tidak pernah berputus asa untuk mencipta nama, meskipun terpaksa melalui jalan panjang.

“Saya amat percaya kepada rezeki. Ada pelakon cepat naik dan terus popular dengan hanya satu drama atau filem. Itu rezeki mereka.

“Saya tidak tahu apa yang Allah akan berikan selepas ini. Saya hanya bergerak mengikut arus,” ujarnya.

Disoal tentang kontroversi, kata Bella, dia tidak akan mencipta cerita sensasi untuk popular.

Katanya, seboleh mungkin dia mahu mengelak daripada terpalit cerita negatif untuk menaikkan nama dalam industri.

“Saya tidak mahu kontroversi dan kalau boleh cuba mengelak daripada melaluinya. Saya harap nama bersih sampai bila-bila.

“Setakat ini, tidak ada cerita negatif tentang saya, Alhamdulillah. Lebih baik jangan ada kontroversi kerana ia hanya membawa lebih banyak keburukan,” jelasnya.

Tidak menolak tuah

Bella atau nama sebenarnya, Qystinna Istajibilla Dowana Halim mengakui, sebelum ini tidak bersedia melakonkan watak melibatkan percintaan.

Katanya, baru sekarang dia terbuka untuk memainkan watak tersebut sementelah menganjak usia 20 tahun.

“Sebelum ini, memang ada pihak produksi yang tawarkan saya watak sedemikian. Tetapi, saya tolak sebab umur masih belasan tahun.

“Bukan saya menolak tuah, tetapi rasanya saya tidak gembira melakonkan watak tidak bersesuaian usia.

“Tetapi, tahun ini usia saya sudah memasuki 20 tahun. Jadi, saya sudah bersedia untuk membawakan watak sebegitu,” katanya.

Gangguan seksual di set penggambaran

Bella mendedahkan, dia pernah berdepan gangguan seksual secara lisan di set penggambaran.

Katanya, gangguan tersebut dilakukan bebe­rapa kru, mem­buatkan dia tidak selesa dan berasa kurang sela­mat.

“Saya tahu, mereka bercakap mengenai sosok tubuh saya. Namun, saya buat tidak tahu sahaja, asalkan tidak keterlaluan. Kalau berlebihan, saya tidak akan biarkan,” tegasnya.

Rahsiakan identiti teman lelaki

Disoal tentang teman lelaki, pelakon drama Cemburu Seorang Perempuan ini mengakui, sudah berpunya, namun enggan mendedahkan secara terperinci siapa insan istimewa di hatinya.

Kata Bella, dia lebih selesa merahsiakan hal tersebut dan mengikut nasihat ibunya agar tidak berkongsi perihal peribadi di media sosial.

“Iya, saya sedang berkawan dengan seseorang. Dia bukan orang industri dan kami mengenali satu sama lain sejak lima tahun lalu.

“Dia tidak pernah menghalang saya menjadi pelakon. Ini periuk nasi saya. Tapi, saya akan cuba elak babak berpegangan tangan untuk menjaga perasaan si dia.

“Ibu nasihatkan saya agar tidak kongsi hal ini di media sosial. Untuk kebaikan, saya ikut cakap ibu,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN