Terapi kurangkan gejala Covid-19 pesakit rendah sistem imun - Utusan Malaysia

Terapi kurangkan gejala Covid-19 pesakit rendah sistem imun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Vaksin telah terbukti mampu mengurang­kan risiko dan jangkitan pelbagai virus, terutama Covid-19. Namun, malangnya tidak semua orang boleh mengambil vaksin disebabkan sistem imun mereka terlalu rendah, tidak memberikan tindak balas mencukupi atau reaksi vaksin yang teruk.

Ini menyebabkan mereka berisiko tinggi dijangkiti virus Covid-19 yang masih mengancam dunia sehingga golongan ini bimbang untuk keluar rumah menjalankan aktiviti normal di tempat sesak dengan orang ramai.

Malah, sesetengah golongan pesakit kronik rendah sistem imun ini juga berisiko mengalami gejala lebih teruk sehingga boleh menyebabkan kemasukan ke hospital serta kematian akibat jangkitan virus Covid-19.

Mereka juga sebenarnya berhak dilindungi menerusi kaedah lebih selamat melawan Covid-19.

Pengarah Penyakit Berjangkit, Perkhidmatan Kesihatan Mater, Brisbane, Prof. Madya. Dr. Paul Griffin berkata, golongan yang tidak dapat bertindak balas terhadap vaksin tidak boleh dipinggirkan kerana mereka juga berhak dilindungi daripada virus ini untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Sebagai pilihan, selain vaksin bagi melindungi golongan ini adalah menerusi pemberian suntikan Antibodi Monoklonal sebagai tambahan bagi menguatkan sistem imun mereka. Antibodi itu adalah protein buatan makmal yang meniru keupayaan sistem imun dalam badan untuk melawan patogen berbahaya seperti virus.

“Antibodi ini akan disuntik di bahagian otot besar di bahagian punggung, seterusnya bertindak seperti antibodi kita sendiri yang boleh membantu menghentikan gejala teruk akibat jangkitan Covid-19.

“Ia turut berfungsi seperti sistem imun bagi melawan jangkitan virus Covid-19 dan mampu memberikan perlindungan sehingga enam bulan atau lebih lama,” katanya pada sesi meja bulat bersama media berkaitan terapi Antibodi Monoklonal, baru-baru ini.

Turut serta, Pakar Am Pediatrik dan Imunologi Klinikal dan juga Ketua Imunologi Klinikal, Jabatan Pediatrik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Madya. Dr. Adli Ali.

Antibodi adalah sistem pertahanan penting untuk melindungi tubuh daripada jangkitan virus atau kuman.

Setiap antibodi mampu mengenal antigen tertentu. Apabila tubuh terdedah dengan antigen buat kali pertama, sistem imun mengambil masa untuk bertindak balas dan menghasilkan antibodi tertentu ke atas antigen terbabit.

Golongan dengan sistem imun rendah yang memerlukan terapi Antibodi Monoklonal adalah pesakit dewasa dan kanak-kanak yang menjalani terapi penindasan imun atau imunosupresif.

Mereka biasanya menjalani rawatan seperti kanser darah, penyakit auto imun seperti rheumatoid arthritis, penyakit kulit, HIV dan individu yang menjalani pemindahan organ yang memerlukan terapi imunosupresif untuk mencegah penolakan organ yang diterima.

Dr. Paul yang juga Profesor Bersekutu, Sekolah Perubatan Universiti Queensland menambah, sebaik memasuki badan, antibodi ini bertindak dengan mencari dan melekat pada protein spike yang keluar daripada virus corona yang menyebabkan Covid-19 .

Seterusnya, ia akan menyekat keupayaan virus untuk memasuki sel dalam badan dan mengurangkan gejala akibat jangkitan.

“Kami mahu orang ramai diberikan kesedaran mengenai manfaat antibodi ini yang membolehkan mereka menjalani hidup seperti orang lain selepas pandemik Covid-19 berakhir. Berdasarkan kajian dijalankan di seluruh negara, penggunaan antibodi ini lebih 76 peratus adalah selamat.

“Virus Covid-19 tidak akan berakhir, tetapi ramai yang silap apabila menyangkakan pandemik ini sudah berlalu. Hakikatnya, virus ini masih ada dan boleh berulang kali dijangkiti. Namun, kita boleh mengurangkan kesan jangkitan Covid-19 dengan melindungi diri menerusi vaksin dan meningkatkan imun sistem. Strategi tambahan ini adalah kunci untuk menentang jangkitan,” katanya.

900,000 jalani terapi imun

Walaupun tiada data khusus, dianggarkan kira-kira 900,000 rakyat di negara ini sedang menjalani terapi penindasan imun akibat pelbagai penyakit seperti kanser darah, masalah auto imun, HIV, penyakit kulit dan sebagainya.

Dr. Adli berkata, bagi pesakit HIV saja, dianggarkan berjumlah 600 sehingga 700 orang yang menerima rawatan di HCTM, manakala penyakit rheumatoid pula lebih kurang 500 orang di mana kira-kira 300 daripada mereka menerima rawatan penindasan imun. Jumlah pesakit dijangka lebih ramai kerana penyakit rhemumatoid arthritis semakin kerap berlaku, terutama dalam kalangan orang dewasa.

“Daripada pemerhatian di klinik dan hospital kami, ramai pesakit menjalani terapi penindasan imun yang menyebabkan tahap imun mereka menjadi lemah. Jumlah pesakit lebih ramai atau berganda jika dicampur di semua hospital sekitar Lembah Klang. Bayangkan berapa ramai yang tidak dapat menerima vaksin Covid-19?

“Kanser dan penyakit auto imun turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak serta memerlukan rawatan yang menyebabkan keupayaan sistem imun mereka rendah. Penyakit mereka dikesan semasa masih kecil, tetapi sekarang ia boleh dirawat. Pemberian antibodi ini adalah sebagai penambahan antibodi sedia ada dalam tubuh yang boleh melindungi mereka untuk melawan virus Covid-19,” katanya.

Antibodi berkenaan katanya, diberikan satu dos dalam dua suntikan dan digalakkan mengambilnya setiap enam bulan untuk perlindungan lebih lama. Pesakit dengan terapi penindasan imun ini biasanya akan menjalani rawatan setiap bulan iaitu tiga hingga empat minggu sekali.

Justeru, pemberian antibodi ini dapat membantu meningkatkan tahap sistem imun mereka.

Walaupun orang ramai, terutama pesakit digalakkan menjalani gaya hidup sihat, termasuk makan makanan seimbang tetapi ia adalah langkah asas saja untuk kekal sihat.

Selain itu, mental yang sihat turut memainkan peranan penting untuk meningkatkan fungsi sistem imun.

Justeru, langkah tambahan terbaik adalah dengan mendapatkan perlindungan menerusi vaksin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×