PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana tidak dapat melupakan kepayahan membesarkan anak lelakinya, Muhammad Rayyan Nakhaie Mohd. Faizal sendirian, terutama ketika namanya pudar daripada industri seni.
Kongsi Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, dia terpaksa meninggalkan anaknya di bawah jagaan ibunya apabila perlu keluar mencari rezeki dengan berniaga dari awal pagi hingga lewat malam.
“Saya tidak boleh lupa pengalaman dan kesukaran membesarkan Rayyan. Saya dahulu berniaga kerana tawaran show tidak banyak. Ketika itu, sayalah emak dan saya juga bapa kepada Rayyan.
“Keadaan pada masa itu sangat mencabar, terutama apabila memikirkan bagaimana mahu membahagikan masa. Balik berniaga sudah lewat malam, esok pagi kena hantar Rayyan ke sekolah.
“Saya terpaksa tinggalkan dia untuk dijaga mak. Bila teringat semua kenangan itu, saya sedih sangat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, jelas Nana, dia tidak pernah menyesali apatah lagi, menyifatkan kesukaran dilalui sebagai kegagalan. Baginya, semua itu adalah pengalaman yang menjadikan dia lebih matang berdepan cabaran.
“Alhamdulillah, semua itu kenangan dan pembelajaran dalam hidup saya. Semua kita pasti ada waktu sukar dalam hidup. Tetapi, saya bersyukur, belum pernah sampai tahap kemurungan.
“Momen sedih itu ada, namun itulah kehidupan. Setiap kita ada ujian tersendiri. Semua itu saya jadikan inspirasi untuk berjaya dan memperbaiki diri.
“Saya tidak pernah menyesali jalan hidup kerana Tuhan sudah susun yang terbaik untuk kita,” ujarnya yang baru melancarkan single Menyantun Kasih.