Tahun 2022 bakal melabuhkan tirai beberapa hari sahaja lagi.
Jika dilihat kembali seleksi dekorasi kediaman yang telah dibawakan sepanjang tahun ini, elemen moden antara yang menjadi pilihan ramai dalam menata rias kediaman.
Malah, menurut Pengasas Adha Interior Design Studio, Adil Hakim Mohamad Jamal, pengaruh modenisasi dalam ruangan memberi impak kepada pemilihan warna yang cenderung kepada warna asas.
Antaranya warna hitam, putih, kelabu dan sedikit warna tambahan seperti coklat dan sentuhan rona kayu.
Namun, katanya, dia menjangkakan trend itu bakal mengalami perubahan pada 2023.
“Untuk 2023, saya menjangkakan warna terang dan cerah seperti kuning air (beige), hijau pistachio dan penggunaan warna berat untuk tumpuan setempat seperti gabungan merah baldu dan coklat.
“Warna primer seperti kuning air menjadi pilihan untuk menaikkan suasana semula jadi di mana kita serasi dengan unsur natural dan lebih dekat dengan dunia luar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, bagi pemihan warna berat pula perlu ada sedikit penekanan warna supaya ruangan tidak kelihatan terlalu mendatar dan bertujuan mengimbangi semula keseluruhan ruang.
Tema semula jadi
Bercakap mengenai tema pilihan pula, kata Adil, kecenderungan dapat dilihat kepada gabungan unsur semula jadi dengan sentuhan moden iaitu tema Organik Moden.
Mengulas lanjut, katanya, tema berkenaan berkait rapat dengan unsur luar, landskap dan moderasi.
“Mengambil inspirasi daripada gaya reka bentuk Minimalism, Mid-Century Moden dan Boho, gaya Organik Moden adalah mengenai reka bentuk ruang mentah dan halus yang diadun dengan unsur, bentuk dan warna organik secara halus dengan latar belakang kesederhanaan yang canggih serta moden.
“Suasana organik yang diilhamkan oleh alam semula jadi dan elemen seni bina mengimbangi garisan yang bersih, membolehkan tumpuan pada bahagian menarik dipaparkan untuk menambahkan kemesraan,” jelasnya lagi.
Tambahnya, tema berkenaan menjurus kepada konsep minimalis, sekali gus menjadikan ia sebagai tema yang menjadi trend pada tahun depan.
Perabot pilihan
Mengenai pemilihan perabot, katanya yang juga Pengasas Donz Cabinet dan Carpentry, pemilihan perabot berasaskan kayu dan rotan menjadi padanan terbaik dengan warna semula jadi.
“Seperti yang kita maklum, produk berasaskan kayu mempunyai nilai estatik lebih tinggi seiring dengan nilai harganya.
“Sudah tentu ramai yang teruja seperti yang kita lihat di aplikasi TikTok dan lain-lain menunjukkan pengaruh produk kayu menjadi tular dan mendapat tumpuan tertinggi,” ujarnya lagi yang turut menyediakan khidmat rekaan dalaman terkini dan menyelesaikan masalah berkaitan pembinaan.
Jelasnya, perabot dipecahkan kepada dua jenis iaitu produk siap dan tempahan.
Perabot tempahan seperti dapur tidak semestinya menggunakan kayu asli, sebaliknya penggunaan laminate berlatarkan kayu menjadi pilihan sebagai alternatif bagi mendapatkan sentuhan yang serupa.
“Ramalan mengenai kemelesetan ekonomi tahun depan menjadi bualan pereka dalaman dan arkitek. Ia menjadi cabaran kepada kami dalam merealisasikan ruangan berlandaskan bajet setiap klien.
“Adalah menjadi tugas pereka dalaman memberikan yang terbaik kepada klien untuk sentiasa berasa teruja dengan tema yang diidamkan,” katanya mengulas mengenai kemelesetan ekonomi yang dijangka turut mempengaruhi dekorasi kediaman tahun depan.
Berkongsikan sedikit tips bagi peminat dekorasi kediaman, katanya, mengikuti trend tidak semestinya perlu berbelanja besar bagi mendapatkan hasil yang sempurna.
Paling penting adalah sentiasa meletakkan garis panduan dan bajet supaya tidak membazir atau berbelanja di tempat tidak perlu.
Pendekatan minimal adalah kaedah terbaik yang boleh diamalkan bagi mengelakkan pemilik tertekan untuk menyusun atur kediaman.










