Jangan buat penerbit macam pengemis - Shahrulezad - Utusan Malaysia

Jangan buat penerbit macam pengemis – Shahrulezad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA LUMPUR: Penerbit, Shahrulezad Mohameddin, menggesa pengurusan artis supaya bersikap lebih profesional dan tidak menjadikan penerbit seperti pengemis ketika berurusan mendapatkan khidmat artis mereka.

Shahrulezad berkata, pengurusan artis perlu lebih responsif dalam pengurusan kerja dan tidak menyusahkan syarikat produksi dengan sikap serta alasan yang menjejaskan urusan sesebuah penerbitan.

Pengarah drama Nur dan Takdir Yang Tertulis itu berkata, rungutannya itu bukan bertujuan untuk mencari masalah dengan mana-mana pihak, sebaliknya mengharapkan pengurusan artis lebih bertimbang rasa apabila berurusan dengan syarikat produksi.

“Saya tidak suka menggunakan media sosial untuk membangkitkan sesuatu perkara, tetapi saya sangat berharap semua pihak bersikap profesional ketika bekerja.

“Selepas memuat naik rungutan itu, ada yang meminta maaf kerana bimbang disenarai hitam. Saya bukan tiada belas ihsan, tetapi jangan susahkan kerja orang.

“Jangan jadikan penerbit macam saya ini seperti pengemis. Kami mahu berikan tawaran kerja kepada artis mereka, tetapi kalau susah sangat, sesiapapun akan menyampah untuk berurusan,” katanya.

Shahrulezad yang dihubungi Utusan Malaysia juga tidak menolak, terdapat syarikat pengurusan artis yang terpaksa disenarai hitam penerbit dan syarikat produksi kerana bersikap menjengkelkan.

“Ini adalah realiti yang dihadapi penggiat seni kreatif kita. Ada kala artis memang tiada masalah, tetapi pengurusan mereka pula banyak hal.

“Apabila perkara itu berlaku, ia memburukkan nama artis mereka sendiri. Disebabkan itu, sesetengah penerbit lebih senang berurusan terus dengan artis.

“Namun, kita menghormati pengurusan, jadi kebiasaannya kita akan tetap berurusan dengan mereka,” katanya.

Shahrulezad turut melihat, pengurusan yang mempunyai ramai artis naungan lazimnya gagal menguruskan artis mereka dengan baik dan adil.

“Saya tidak kata semua, tetapi ada syarikat pengurusan memiliki terlalu ramai artis dan tidak mampu kendalikan mereka dengan baik sehingga akhirnya menyusahkan orang lain.

“Itu belum lagi saya sentuh tentang syarikat pengurusan yang tiba-tiba ambil dan angkat pempengaruh media sosial tanpa menyelidik dulu sama ada mereka berbakat atau tidak.

“Kalau tiada bakat, tidak pula mereka dihantar ke kelas lakonan sebelum menjual ‘artis’ itu. Fikirkan, adakah perkara ini relevan untuk industri seni kita?,” katanya.

Terdahulu, Shahrulezad memuat naik hantaran di Facebook dan Instagram meluahkan kekecewaannya terhadap sikap sesetengah syarikat pengurusan artis yang menyukarkan urusan produksi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN