BAKAL mengadakan konsert pada 18 Mac depan, ada sejarah yang akan dilakar Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid apabila buat kali pertama beraksi dengan konsep Big Band.
Cukup teruja bercerita, Sheila berkata, konsep muzik tersebut berbeza daripada orkestra atau persembahan lain yang pernah diketengahkannya menerusi beberapa konsert sebelum ini.
Melibatkan 23 pemuzik, penyanyi bertaraf legenda ini menjelaskan, pemilihan lagu juga perlu dibuat dengan teliti memandangkan ia kali pertama dia beraksi dalam konsert berteraskan konsep unik itu.
“Big Band berbeza dengan orkestra. Itu ramai yang keliru. Konsep muziknya lebih kepada pop jazz. Saya dan pihak produksi sudah berbincang mengenai pemilihan lagu. Ia belum muktamad kerana bergantung kepada susunan pengarah muzik, Mac Chew.
“Bila bercakap tentang Big Band, skor dan susunan muzik tidak boleh lari jauh daripada sentuhan asal. Namun, semuanya masih pada peringkat awal kerana saya perlu dengar dulu sama ada sesuai atau tidak susunan muzik itu.
“Kebanyakan lagu sudah dipilih, cuma apabila susunan muzik kurang sesuai, kita perlu pertimbangkan lagu lain sebagai ganti. Jadi, persediaan sudah bermula lama walaupun konsert hanya akan berlangsung Mac nanti,” katanya.
Objektif utama bintang berusia 57 tahun ini memilih konsep tersebut adalah untuk memberi pendedahan dan pendidikan kepada peminat muzik tentang definisi sebuah konsert.
“Sekarang semua orang main hentam sahaja. Persembahan makan malam pun mereka panggil konsert. Sebenarnya, ada beberapa bentuk persembahan, sama ada berskala kecil, besar, konsert atau makan malam.
“Saya mahu peminat tahu, saya bermula sebagai penyanyi pop. Entah macam mana, saya mendapat gelaran Ratu Jazz. Saya bukan nyanyi lagu jazz semata-mata. Mungkin ketika itu, genre muzik saya berbeza.
“Tetapi, inilah pentas dan ruang untuk memberi pendidikan serta pendedahan kepada peminat mengenai muzik saya,” ujar penyanyi lagu malar segar antaranya Legenda, Ku Mohon dan Sinaran.
SATU MALAM SAHAJA
“Selalunya, untuk sebuah konsert berskala besar seperti Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 ini, saya lebih suka jika diadakan satu malam sahaja. Tiada malam kedua.”
Itu jawapan ibu kepada empat cahaya mata ini apabila ditanya adakah Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 bakal ditambah satu malam lagi jika tiket habis dijual.
Jelas Sheila lagi, dia tidak mahu bercita-cita tinggi dan khuatir jika tiket hanya habis terjual pada malam pertama sahaja.
“Mungkin untuk konsert amal, saya boleh pertimbangkan. Tetapi, tidak bagi konsert solo yang dibuat atas permintaan peminat.
“Kadang-kadang, kita tidak boleh terlalu bercita-cita tinggi. Kalau peminat mahu, mereka boleh datang pada konsert seterusnya. Buat apa anjurkan dua atau tiga malam, tetapi tiket tidak laku dijual.
“Jadi, kalau mahu tengok konsert ini, kenalah beli tiket cepat. Ada yang bila kita umum tiket sudah habis dijual, tidak percaya. Sanggup datang mahu beli tiket di lokasi konsert, tetapi akhirnya pulang dengan tangan kosong,” katanya.
Ditanya adakah dia juga bakal menjemput penyanyi dalam atau luar negara sebagai artis undangan pada malam konsert itu kelak, pemilik lapan album antaranya Warna, Legenda dan Boneka ini menggelengkan kepala.
“Bukan untuk konsert kali ini. Tidak ada penyanyi jemputan. Bukan apa, saya terpaksa menyingkirkan beberapa lagu jika ada segmen bersama artis jemputan. Bagi saya, peminat mahu datang untuk dengar lagu Sheila Majid,” katanya.
PERSEDIAAN STAMINA, MENTAL
Mengharapkan tiket konsert kali ini habis dijual seperti konsert terakhirnya pada 2017, Sheila juga harus memastikan dia bersedia dari segi stamina, mental dan suara, biarpun usianya kini mencecah hampir enam dekad.
Malah, dia juga sangat menitikberatkan penjagaan diri dan aktiviti senaman yang mampu mengekalkan stamina kerana itu harus dilakukan oleh pemuzik sebagai balasan sokongan peminat.
“Saya sangat menjaga kesihatan diri dan suara. Ini periuk nasi saya. Sebagai penyanyi, saya perlu bersedia pada setiap masa. Untuk menyanyi dengan baik, kita perlu ada stamina. Kena fit.
“Saya tidak mahu menyanyi tiga lagu sudah tercungap-cungap. Lebih-lebih lagi, saya perlu pakai kasut tinggi dengan puluhan lagu yang dipersembahkan. Itu semua memerlukan persediaan fizikal dan mental secukupnya.
“Untuk kekal dalam industri, kita perlu disiplin. Saya mengamalkan pilates dan aktiviti kardio, selain menjaga pemakanan. Itu adalah disiplin saya sebagai anak seni,” katanya yang juga aktif menyelam.
Diajukan soalan mengapa Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). menjadi pilihan lokasi konsert, Sheila berkata, dia mahu mengimbau memori konsert pertama, Warna yang diadakan di lokasi sama sekitar 1989.
“Dahulu namanya, PWTC. Di situlah lokasi pertama saya mengadakan konsert solo. Jadi, saya mahu mengimbau kenangan lebih tiga dekad lalu bersama peminat,” katanya.
Tiket Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 dijual pada harga serendah RM288 (Bronze), RM488 (Silver), RM588 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond) dan RM1,288 (VVIP). Ia boleh dibeli menerusi www.jiobuddy.asia bermula 12 Disember ini.










