Drama inspirasi kisah hidup Siti Nordiana - Utusan Malaysia

Drama inspirasi kisah hidup Siti Nordiana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik pencapaian yang diraihnya sepanjang dua dekad mengabdikan diri sebagai anak seni, banyak pengalaman jatuh bangun dilalui penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias.

Dalam senyuman, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, pernah berdepan detik sukar yang menuntut semangat dan kekuatan luar biasa untuk kembali bangkit mengejar cita-citanya.

Pengalaman itu pernah diceritakan Nana dalam biografi, Life Goes On untuk memberi inspirasi kepada peminat yang melalui pengalaman serupa.

Terbaru, naskhah itu digarap semula pengarah Hashim Rejab dalam bentuk drama bersiri, Aku Seorang Perempuan yang menemui penonton di TV9 sejak 19 November lalu.

Bagi Nana, drama itu membawa erti yang besar buat dirinya apabila penonton berpeluang menyingkap sebahagian perjalanan kisah hidupnya menerusi watak Siti Nor Aisya yang dilakonkan Atikah Suhaime.

Kata Nana, drama terbitan Brotherhood Studio dan Inisiatif Seni Kreatif itu melalui sedikit olahan dari sudut jalan cerita dan watak untuk menyuntik elemen dramatik bagi mencantikkan produksi tersebut.

“Drama ini tidak menterjemahkan 100 peratus perjalanan kisah hidup saya. Namun, ia masih berkisar mengenai perjalanan saya membina kerjaya, bermula dari zaman kanak-kanak, memasuki alam persekolahan hingga mencipta nama sebagai penyanyi.

“Saya berharap drama ini dapat memberi semangat dan panduan kepada wanita di luar sana dalam meniti arus kehidupan yang penuh mencabar,” katanya.

Nana berkata, dia tidak gusar dengan persepsi segelintir pihak yang mungkin menganggap dia seakan-akan membuka kisah silamnya menerusi drama tersebut.

Dia juga menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pengarah untuk menggarap jalan cerita mengikut kreativitinya bagi disesuaikan dengan kehendak penonton.

“Pastinya akan ada babak yang ditambah dan digarap semula pengarah untuk menjadikan jalan cerita drama ini lebih menarik. Bagi saya, itu adalah karya seni.

“Saya faham penonton tentu tidak selesa menonton produksi yang mendatar saja. Mesti jalan ceritanya ada naik dan turun.

“Saya yakin penonton faham dengan babak yang digarap semula untuk menjadikan drama ini lebih seronok ditonton,” katanya.

ATIKAH LEBIH BERHATI-HATI

Sementara itu, Atikah Suhaimie yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak Siti Nor Aisya, mengakui tidak mudah untuk menggerakkan karakter tersebut.

Apatah lagi, katanya, watak yang dilakonkan itu masih hidup dan bukan fiksyen.

“Saya agak tertekan untuk membawakan watak Siti Nor Aisya. Nana mempunyai ramai peminat dan saya harus berhati-hati membawakan watak itu kerana bimbang apa yang diterjemahkan tidak sama dengan peribadi sebenar penyanyi itu.

“Saya juga perlu mengelak daripada tidak timbul reaksi negatif, apatah lagi, Nana adalah penyanyi yang disegani,” katanya.

Selain itu, kata pelakon berusia 31 tahun ini, watak tersebut juga memberi cabaran apabila perlu menjayakan babak dengan kanak-kanak, termasuk bayi berusia tiga bulan.

“Saya perlu belajar bagaimana memegang bayi, selain bercakap dengan kanak-kanak berusia tiga tahun yang menjadi anak saya. Ia sesuatu yang baru buat saya.

“Lebih mencabar apabila saya perlu melembutkan percakapan, selain belajar bagaimana menjaga mood kanak-kanak,” katanya.

Selain Atikah, drama bersiri itu turut dibintangi Fezrul Khan, Adriana Adnan, Hafidz Roshdi dan ramai lagi.

SINOPSIS:

Mengisahkan Siti Nor Aisya, seorang penyanyi muda yang sedang mengecapi populariti dan mempunyai ramai peminat yang menjadi sokongan kuat dalam kerjayanya.

Dia bertemu cinta dengan seorang pelakon popular, Fareez dan mereka mendirikan rumah tangga atas dasar cinta. Bagi Siti Nor Aisya, dia sanggup mengorbankan kerjayanya yang sedang berada di puncak kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga.

Adriana pula ialah seorang pelakon yang berkawan baik dengan Fareez. Adriana mempunyai masalah dengan kekasihnya dan sering menemui Fareez untuk meluahkan perasaan.

Hubungan mereka menjadi semakin akrab dan ia mula menimbulkan perasaan tidak senang di hati Siti Nor Aisya. Mahligai cinta yang dibina mereka mula goyah dan diduga.

Akhirnya, Siti Nor Aisya diceraikan ketika anak mereka masih kecil. Ketika dia perlu bangkit dan mencari kekuatan untuk menyara anak kecilnya, Siti Nor Aisya diuji lagi dengan kehilangan teman baik sejak kecil iaitu Hakim (Hafidz Roshdi) yang juga teman seperjuangannya dalam bidang nyanyian. Bagaimanakah Siti Nor Aisya mencari kekuatan dalam hidup untuk terus berjuang?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN