KUALA LUMPUR: Pelakon, Diana Danielle, 31, menegaskan perkongsiannya tentang pengalaman dipukul bekas kekasih ketika berusia 17 tahun dalam program Sembang Studio bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak.
Sebaliknya, pelakon filem Hanyut itu berkata, dia berbuat demikian sekadar berkongsi pengalaman, selain memberi pengajaran dan diambil iktibar oleh penonton yang mengikuti saluran YouTube tersebut.
“Itu bukan pendedahan, sebaliknya perkongsian. Saya seronok bercerita, bahkan perkara ini pernah saya ceritakan 10 tahun lalu.
“Saya cuma mahu kongsikan pengalaman, bukan berniat mengungkit kisah lama. Tiada langsung niat untuk menjatuhkan atau bergaduh dengan orang lain,” katanya ketika ditemui pada pelancaran koleksi Rizman Ruzaini Cruise di ibu kota, petang tadi.
Diana, baru-baru ini meraih perhatian ramai selepas mendedahkan pengalaman dipukul bekas kekasih yang identitinya dirahsiakan.
Dalam perkongsian program yang dikendalikan Amelia Henderson itu, Diana memberitahu, pernah dikasari sehingga bengkak pada bahagian tengkuk. Selepas kejadian itu, Diana mengambil keputusan untuk keluar daripada hubungan toksik tersebut.
Diana mendirikan rumah tangga bersama pelakon Farid Kamil pada 2012. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad dan Nur Aurora.