Bukan mudah berganti hati – Amylea - Utusan Malaysia

Bukan mudah berganti hati – Amylea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERAT untuk dia memulakan bicara. Apatah lagi untuk bercakap soal hati dan perasaan setelah melalui fasa putus cinta yang baginya, cukup sukar ditempuhi.

Namun, bagi Amylea Azizan, mencari pengganti bukan keutamaannya. Dia hanya mahu memberi fokus kepada kerjaya seni dan kehidupan sendiri kerana baginya, itu lebih membahagiakan.

“Sebenarnya, banyak kali juga orang bertanya soal hati. Jawapan saya tetap sama iaitu masih sendiri. Mungkin tiada siapa mahu cuba kenal. Saya juga memilih untuk terus berada dalam zon selesa ini.

“Saya tidak terikat dengan sesiapa dan bebas lakukan apa yang saya suka. Saya bahagia dengan cara ini. Apabila ada kelapangan, saya habiskan masa dengan ibu, keluarga atau kawan-kawan. Itu sudah cukup membuatkan saya sibuk.

“Saya tidak fikir ada yang takut untuk kenal, cuma mungkin belum masanya. Tuhan akan temukan saya dengan jodoh pilihan apabila tiba waktunya. Tidak perlu saya terlalu mencari dan mendesak,” katanya.

Adakah sebenarnya, penyanyi Kendati ini masih trauma dengan apa yang terjadi? Kisah putus tunang dengan komposer, Farouk Roman memberi kesan besar kepada dirinya. Adakah itu juga punca dia sukar berganti hati?

“Trauma? Sedikit sebanyak itu benar. Saya tidak mahu memulakan hubungan baharu hanya kerana ingin mengubat kekecewaan. Perkara tentang hubungan cukup rumit. Mungkin juga saya masih sayang hubungan lama.

“Saya bukan wanita yang suka bersosial. Mungkin itu yang membuatkan ramai sukar mendekati saya. Tetapi, saya tahu, umur semakin meningkat. Cuma, tidak tahu bila hadirnya cinta.

“Apabila sayang seseorang, saya akan berikan sepenuh hati. Jadi, bukan senang untuk saya buka ‘buku baharu’. Memori 12 tahun bersama bukan sesuatu yang mudah untuk saya padam,” kongsinya.

BERLAKON? NANTI DULU

Mengalih cerita ke soal kerjaya, ramai tertanya-tanya adakah komposer lagu ‘galau’ ini mula serius untuk berlakon? Apatah lagi, wataknya dalam Dendam Seorang Isteri memberi impak berbeza terhadap peminat.

Atau apakah berlakon hanya cabang yang sengaja diceburi untuk menguji bakat sendiri?

“Memang ada yang memberikan tawaran, tetapi saya bukan pelakon. Cuma, sesekali saya terima, tetapi itupun bersebab. Saya lebih selesa di balik tabir sebagai pengarah muzik dan banyak bekerja dengan syarikat produksi, Radius One.

“Mereka sudah macam keluarga dan hubungan kami sangat akrab. Saya lebih suka bekerja dalam bidang muzik. Banyak lagi yang perlu saya belajar dan buktikan. Kalau berlakon, nanti kelam kabut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN