‘Bayar setimpal, jangan aniaya pelakon lama’ - Utusan Malaysia

‘Bayar setimpal, jangan aniaya pelakon lama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU bayaran tidak setimpal kekal menjadi kegusaran nombor satu pelakon veteran tanah air. Bagai tidak dipedulikan, masalah ini masih belum menemui titik penyelesaian sehingga hari ini.

Pelakon veteran, Tukiman Radion terkilan dengan penerbit dan stesen televisyen (TV) yang mengambil kesempatan dengan memberikan bayaran terlalu rendah terhadap kerja pelakon veteran.

Beliau selaku Presiden Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) berkata, ramai pelakon veteran meluahkan kesedihan kerana diperlakukan sedemikan.

“Ada yang dibayar RM100 sehari. Itu bukan gaji, sebaliknya layak dianggap token sahaja. Sangat tidak munasabah.

“Pelakon veteran juga sama macam pelakon baharu, ‘disidai’ di lokasi penggambaran, menunggu berjam-jam dan berlakon sehingga awal pagi. Lokasi penggambaran pula bukan semua berdekatan, ada di luar kawasan.

“Tolonglah. Saya menyeru pihak penerbit dan stesen TV, berilah bayaran setimpal berdasarkan pengalaman, jumlah babak dan kualiti lakonan. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” luahnya kepada Utusan Malaysia.

Tukiman juga kecewa apabila pihak produksi atau stesen TV mengambil endah tak endah isu bayaran yang semakin lama, semakin rendah.

Katanya, isu ini bagai tidak berpenghujung dan dipandang sebelah mata pihak berkaitan.

“Saya buntu, tidak tahu kepada siapa lagi isu ini harus kami adukan. Bawa kepada kementerian sudah, begitu juga ke pihak media. Tiada lagi tempat untuk kami meluahkan.

“Jadi, saya memohon pihak berkaitan supaya kaji semula bayaran untuk pelakon veteran. Bayarlah dengan setimpal, jangan aniaya mereka,” katanya.

Tukiman juga berharap pihak terbabit membuka lebih banyak peluang kepada pelakon veteran untuk berlakon dalam drama dan filem.

“Janganlah ambil pelakon sama berulang kali. Berilah peluang kepada orang lain juga kerana ramai pelakon veteran masih boleh berlakon.

“Tolong jangan ambil pelakon muda untuk bawa watak tua. Penerbit boleh mengambil pelakon veteran mengisi watak tersebut.

“Dalam PKAVM ada lebih 300 ahli. Mereka masih bertenaga dan perlu bekerja untuk menyara hidup. Jangan sia-siakan bakat selagi mereka masih ada,” katanya lagi.

Mereka sepatutnya kita hargai – Ayu Puteh

Timbalan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Ayu Puteh menyeru penerbit dan stesen TV supaya berlaku adil dengan memberikan bayaran setimpal terhadap hasil kerja pelakon veteran.

Kata Ayu, mereka mempunyai nilai yang tinggi dalam industri dan selayaknya dibayar bersesuaian pengalaman.

“Mungkin ada penerbit yang hanya melihat pengikut di media sosial, sekali gus memandang artis veteran sebelah mata. Pada saya, itu persepsi yang salah.

“Artis veteran membawa impak yang besar dalam sesebuah naskhah. Mereka artis sebenar kerana sudah lama berlakon. Jadi, tidak wajar mereka dibayar rendah.

“Kenapa ada pihak tergamak membayar mereka rendah? Mereka sepatutnya kita junjung,” tegasnya.

Kata Ayu lagi, penerbit perlu prihatin dan bertoleransi dengan nasib artis veteran yang tidak sebaik pelakon baharu dan popular.

“Ada di antara artis veteran terdesak, terpaksa bersetuju dengan kadar bayaran yang diberikan kerana mereka perlu melunaskan sewa tempat tinggal, makan minum dan sebagainya. Sebagai penerbit, saya simpati dengan keadaan mereka.

“Kita tidak mampu bayar mereka seperti kadar bayaran artis lama di Hollywood. Tetapi, kita kena berlaku adil, jangan bayar dengan kadar yang ibarat menghina mereka.

“Kepada penerbit filem dan drama, guna kuasa dan kewarasan kita untuk membantu artis veteran. Berlaku adil kepada mereka. Kita patut malu kerana letak harga rendah kepada mereka,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN