16 Baris raikan bakat baharu hip hop serantau - Utusan Malaysia

16 Baris raikan bakat baharu hip hop serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program pencarian bakat baharu hip hop, 16 Baris kembali dengan musim ketiga menjanjikan lebih banyak aksi hebat, berbanding musim terdahulu.

Masih mengekalkan format sama, pencetus idea rancangan tersebut, Joe Flizzow berkata, musim terbaharu ini menampilkan lebih banyak rentak dan muzik hip hop hasil sumbangan penerbit yang bersaing.

“Dengan begitu banyak bakat baharu, setiap peserta mempunyai potensi untuk menjadi bintang hip hop. 

“Peminat juga dapat mengikuti perkembangan bakat serantau seperti Thailand, Filipina, Singapura, dan Indonesia. Kami sangat gembira dengan penyertaan yang merentasi rantau,” kata Joe.

Menampilkan ramai bakat serantau dan antarabangsa, generasi baru penyanyi rap ini membuktikan kebolehan mereka dengan menyampaikan lirik hip hop dalam aneka bahasa serta dialek.

“Itulah naratif sebenar 16 Baris, ia lebih besar daripada hip hop sendiri. Ia sebenarnya bertujuan menyatukan dan menghidupkan lagi komuniti ini, pada masa sama memperkenalkan bakat baharu yang ada,” jelas Joe.

Joe turut menegaskan, program itu memberi peluang kepada semua tanpa mengira jantina, bangsa dan warna kulit kerana setiap orang berhak dihormati secara saksama .

“Sejarah muzik telah membuktikan wanita merupakan antara penyanyi rap paling hebat dalam industri dan menjadi ikon seperti Lauryn Hill, Missy Elliot serta ramai lagi,” tambah Joe.

Joe juga berharap 16 Baris akan terus memberi inspirasi kepada semua yang menyimpan harapan untuk terus berusaha dan memperhebat bakat mereka.

“Kami menerima banyak penyertaan daripada ramai orang. Maaf kami tidak dapat menyelitkan semuanya, tetapi saya harap mereka yang tidak terpilih akan terus berusaha kerana musim keempat bakal muncul. 

“Kami gembira dapat kembali setelah berehat seketika gara-gara pandemik dan sebagainya,” kata Joe.

Program itu turut menampilkan sutradara hip hop tersohor, Shahrin Bahar yang pernah menghasilkan video muzik hebat seperti Ciao, Veto dan terbaharu lagu tular, Swipe.

Konsert 16 Baris pada 2018 telah dihadiri 5,000 peminat, sekali gus mencatat sebagai konsert hip hop terbesar di negara ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN