Kebimbangan menulis atau lebih dikenali sebagai writing anxiety sering membelenggu golongan kanak-kanak sehingga membuatkan mereka sukar menulis esei atau karangan panjang.
Mengenal pasti permasalahan itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ibrahim, Tan Shi Min membangunkan Wheel of Learning ( roda pembelajaran) .
Penghasilan inovasi pembelajaran itu bertujuan menarik minat murid untuk menjana idea di samping mempelajari kosa kata beraras tinggi untuk diterapkan dalam penulisan mereka.
Kata Shi Min, kebanyakan murid yang terkandas dalam penulisan esei berbentuk cerita adalah disebabkan kekurangan kosa kata dan idea.
“Saya mendapat inspirasi daripada Roda Emosi Glenn Trigg (Glenn Trigg’s Emotions Wheel) semasa sedang mencari idea untuk merancang satu kelas penulisan esei berunsurkan cerita.
“Apabila saya menunjukkan ‘roda’ tersebut kepada penyelia praktikum, Jenny Kwong, dia mencadangkan saya untuk membuat satu alat bantu mengajar (ABM) berdasarkan roda ini,” jelasnya.
Bercerita lanjut, Shin Min berkata, dia seterusnya merancang untuk menghasilkan satu ABM bersaiz besar seperti dalam rancangan Roda Impian (Wheel of Fortune) bagi menarik perhatian pelajar.
“Pada hari tersebut, saya pergi membeli berpuluh-puluh kad manila pelbagai warna.
“Saya menggunakan sepenuhnya hujung minggu untuk mengukur dan memotong kad manila tersebut membentuk ‘Roda Impian’ saya untuk mengajar,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, katanya, pemerhatian awal mendapati murid mempunyai lebih banyak idea dan mampu menerapkan lebih banyak kosa kata beraras tinggi dalam esei selepas inovasi dijalankan.
Murid juga bukan sahaja lebih berkeyakinan, malah seronok dapat belajar secara kolaborasi bersama rakan-rakan menggunakan inovasi berkenaan.
“Mereka juga dapat mengingati kosa kata dengan lebih berkesan apabila membuat nota dalam bentuk roda berwarna dalam buku latihan.
“Ini membolehkan semua murid kelas saya lulus dengan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020. Salah seorang murid cemerlang yang mendapat keputusan A bagi semua pelajaran pada asalnya mendapat B dalam peperiksaan sekolah. Dia bagaimanapun, berjaya meraih A untuk Bahasa Inggeris dalam SPM 2020,” ujarnya lagi.
Tambahnya, pelajar cemerlang itu kini melanjutkan pelajaran dalam bidang farmasi di sebuah universiti awam tempatan.
Ia merupakan pencapaian sangat bermakna bagi seorang murid yang berasal dari sekolah luar bandar.
Digitalisasi
Tegasnya lagi, pandemik Covid-19 telah mempercepatkan proses menuju Revolusi Industri 4.0. Justeru, inovasi seumpama ini wajar didigitalisasikan untuk tujuan sebar luas dan pembelajaran atas talian.
Oleh itu, dia kini dalam perancangan untuk mendigitalisasikan inovasi ini supaya ia dapat disebar luas untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pendidik dan murid.
“Saya berharap inovasi ini dapat membantu lebih banyak pendidik dan murid dalam penulisan esei, bukan sahaja dalam Bahasa Inggeris, malah bahasa lain selepas ia didigitalisasikan.
“Di samping itu, saya juga berharap untuk memperluaskan penggunaan muzik dan ‘roda’ ini dalam pengurusan emosi kerana ia kemahiran yang amat penting bagi murid-murid zaman ini, “ katanya lagi.
Perkembangan fasa
Perlaksanaan inovasi berkenaan dibahagikan kepada tiga peringkat.
Peringkat pertama, murid mempelajari sinonim dan peribahasa untuk enam perasaan, iaitu gembira, sedih, gementar, terkejut, marah dan malu.
Pada peringkat kedua, mereka menjana idea untuk penulisan cerita berdasarkan enam perasaan tersebut.
Mereka perlu memikirkan soalan berikut untuk membantu menjana idea:
Apakah kejadian yang berlaku yang menyebabkan mereka berasa gembira , sedih, gementar, terkejut dan marah?
Pada peringkat ketiga, mereka perlu menggunakan sinonim dan peribahasa untuk enam perasaan serta idea peristiwa yang dijana dalam penulisan esei.









