“KALAU takut dengan risiko usah bicara tentang perjuangan.”
Kata-kata itu pernah dilaungkan sosok politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa peristiwa Reformasi 1998 sehingga menjadi tumpuan seluruh dunia.
Kalimat itu juga diulang pelakon, Farid Kamil ketika ditanya media mengenai penglibatannya dalam filem biopik berkaitan tokoh politik tersebut, Jalan Masih Panjang terbitan produksi Indonesia, Bianglala Entertainment.
Bagi Farid, ini adalah risiko perjuangannya dalam mencabar kemampuan sebenar sebagai pelakon.
Barangkali juga risiko yang pada fikirannya memberi kesan terhadap periuk nasinya, tetapi sebaliknya mungkin menjadi pembuka rezeki untuk mengukuhkan nama di pentas antarabangsa. Semua itu bergantung kepada rezeki.
“Pernah terdetik juga pelbagai perasaan apabila bersetuju menerima tawaran ini. Namun, disebabkan skrip yang dihasilkan sangat baik dan selepas menelaah keseluruhan naskhah ini, jiwa saya membuak-buak untuk melakukan yang terbaik.
“Kru produksi dari Jakarta menjalankan proses yang sangat terperinci dan kawalan kualiti terbaik. Setiap aspek dititikberatkan, malah jika tidak berpuas hati walaupun dengan perkara kecil, adegan tersebut perlu dilakukan semula.
“Selama dua bulan bersama mereka, saya dapat rasakan perbezaan budaya kerja yang sangat ketara. Kerjasama antara kualiti dan persembahan mereka sangat berbeza.
“Indonesia kalau menghasilkan filem genre biopik atau kenegaraan, pasti akan memberikan yang terbaik. Secara keseluruhannya, filem ini memberikan impak berbeza dalam perjalanan kerjaya saya,” kongsinya.
PILIHAN TERAKHIR
Pemilihan pelakon utama bagi menggalas watak Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan proses yang mudah.
Ia memakan masa bertahun-tahun kerana pencarian itu bermula selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 berakhir.
Walaupun menjadi pilihan terakhir, Farid tetap bersyukur kerana mendapat kepercayaan menggalas peranan penting yang akan menjadi tunjang menghidupkan jalan cerita.
Sekiranya dia menolak tawaran tersebut, kongsinya, pihak produksi akan memberikan tanggungjawab itu kepada pelakon dari luar negara.
“Pengarah, Viva Westi memaklumkan, memandangkan tokoh yang diketengahkan dari sini, mereka mahu watak itu dibawakan pelakon Malaysia.
“Bergandingan dengan Acha Septriasa juga sangat menakjubkan kerana kita ada tenaga pengajar yang membantu. Acha pernah belajar di Malaysia, jadi tiada masalah dari sudut pengucapan dialog,” katanya.
Ditanya cabaran ketika menerima watak tersebut, Farid berkata, dia pada mulanya tidak yakin untuk membawa naskhah berat itu.
Apatah lagi, tokoh sebenar masih hidup dan sangat terkenal di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, dia perlu bertemu dengan Anwar secara peribadi supaya dapat menguasai watak tersebut sepenuhnya.
Farid malah, sempat meminta nasihat ibunya dan menelaah skrip berulang kali sebelum bersetuju menerima tawaran filem yang dijangka tayangannya tahun depan.
“Semasa dapat skrip, saya belum buat keputusan lagi sebab mahu ibu baca dahulu. Sejam selepas itu, ibu hubungi saya dan suruh berlakon filem ini untuk tunjukkan pada dunia negara ini masih mempunyai pemimpin yang tegar dalam perjuangannya.
“Asalnya, saya beritahu kru produksi tidak mampu melakonkan watak ini. Jadi, saya minta untuk berjumpa Anwar.
“Alhamdulillah, permintaan saya dimakbulkan dan saya dapat dua kali berjumpa dengannya,” katanya.
Farid berkata, menerusi filem itu juga dia semakin cakna dengan perjalanan karier politik Anwar yang menempuh ranjau penuh berduri.
“Banyak maklumat tambahan yang saya dapat daripada pertemuan itu, terutama tentang personaliti dan perjuangannya. Ia membantu saya untuk menterjemahkan watak Anwar dengan lebih berkesan,” katanya.
Filem itu turut dibintangi Hasnul Rahmat, Firdaus Mat Joni, Piet Pagau dan Dewi Irawan.
Ia menggunakan bahasa Melayu Nusantara dan bahasa Inggeris yang minimum.
Diusahakan sejak Ogos 2011, filem itu sedang di peringkat akhir penggambaran.
Berlatarkan tahun 1993 sehingga 1998, filem berkenaan diolah daripada kisah benar dan susur galur perjuangan Anwar membanteras rasuah.
REMP-IT 2
Dalam perkembangan lain, Farid yang juga pengarah dan penerbit muncul dengan filem Remp-It 2 membawakan jalan cerita lebih matang.
Filem aksi ini sesuai ditonton pelbagai lapisan masyarakat.
Jelasnya, filem yang menjalani penggambaran pada hujung 2019 merupakan kesinambungan daripada Remp-It yang pernah mencetus fenomena pada 2006.
Walaupun terpaksa mengambil masa lebih lama untuk ditayangkan akibat serangan pandemik Covid-19, Farid bersyukur kerana naskhah terbitan FKX Film Sdn. Bhd. akhirnya menjengah pawagam bermula hari ini.
Mengulas pemilihan Ahirine Ahiruddin yang menggantikan tempat Nabila Huda sehingga menampakkan perbezaan ketara dari segi lakonan dan masih kelihatan kaku, Farid menjelaskan, keputusan terpaksa dibuat pada saat akhir disebabkan beberapa masalah teknikal.
“Sebenarnya kita sudah jalankan separuh penggambaran, tetapi akibat beberapa kesilapan teknikal dari segi tarikh, perubahan terpaksa dibuat serta-merta.
“Nabila memahami masalah ini. Ahirine asalnya adalah pelakon lagak ngeri bagi aksi motosikal. Jadi, apabila masalah itu berlaku, kita sudah ada pelakon yang sesuai untuk membawa watak Roy,” katanya.
Menurut Farid, pemilihan pelakon itu juga berdasarkan kemahiran menunggang motosikal kerana sebagai penerbit, dia tidak mahu barisan pelakon berdepan sebarang risiko.
“Sebagai penerbit, pengarah dan pelakon utama, kita hanya ada masa 55 hari untuk menjalankan penggambaran.
“Saya memang inginkan pelakon yang sudah mahir mengendalikan motosikal tanpa saya perlu risau. Itu sudah cukup untuk saya pamerkan bakat mereka dalam filem ini,” jelasnya.











