Relazzlah Malaysia ubah persepsi terhadap komediri - Utusan Malaysia

Relazzlah Malaysia ubah persepsi terhadap komediri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN sebuah tragedi hitam, isu jenaka tidak sensitif dan melampaui batas pernah dipersembahkan oleh seorang individu di Crack House Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Jun lalu, tidak mudah dilupakan banyak pihak.

Insiden itu telah menyebabkan gelombang salah faham dan kebencian mula menerpa, terutama bagi mereka yang masih asing dengan komediri atau stand up comedy.

Meskipun pernah mencuba meleraikan dan menjernihkan perdebatan ramai mengenai perbezaan komediri dengan jenaka lain, pelawak dan pengacara terkemuka, Harith Iskander Musa, 56, percaya sesuatu harus dilakukan bagi membuang pandangan skeptikal sesetengah masyarakat terhadap cabang seni itu.

Dia yang pernah menyandang gelaran The Funniest Person in The World pada 2016 mengakui, masih ramai yang tidak terbuka dengan persembahan komediri dan pemahaman ini perlu diperbetulkan.

“Seperti yang pernah saya katakan, isu dan ‘drama’ yang menimpa Crack House tidak memperlihatkan saya menyokong tindakan individu tersebut. Disebabkan apa yang terjadi, ia memberi impak kepada orang lain dan banyak persembahan komediri tidak dapat berlangsung.

“Sudahlah sebelum itu ramai yang terjejas disebabkan pandemik. Apabila isu itu tercetus, saya bersama penggiat komediri lain turut terkena tempiasnya.

“Malah, kebelakangan ini, masyarakat sudah mula meletakkan sempadan tertentu mengenai persembahan jenaka. Dalam hal ini, kami sebagai pelawak perlu memberikan apa yang penonton mahukan,” katanya.

Menurut Harith, rakyat Malaysia suka mendengar persembahan ringan dan bergelak ketawa.

Namun, pada masa sama, terlalu banyak perkara yang mencetuskan polemik dan sensitif untuk diperkatakan.

“Disebabkan itu, saya cuba meleraikan ketegangan ini dengan menganjurkan sebuah persembahan berskala besar diberi nama Relazzlah Malaysia. Saya mahu penonton dan orang ramai datang untuk mendengar jenaka semata-mata dan relaks.

“Saya mahu orang ramai faham, apa yang kami persembahkan semata-mata jenaka. Tiada niat untuk mengancam atau menyakiti sesiapa. Semua pelawak tahu perkara ini dan kita semua cuma mahu berhibur,” katanya.

Replikasi Lawak Ke Der

Berkongsi lanjut mengenai penganjuran Relazzlah Malaysia, kata Harith, persembahan itu akan menampilkan tiga lagi pelawak tempatan yang beraksi dalam segmen dan slot masing-masing.

Memilih Brian Tan, Mad Sabah dan Prakash Daniel, Harith mengakui, dia mempunyai sebab tersendiri apabila meletakkan mereka sebagai barisan pelawak pada persembahan tersebut.

“Saya tahu, bukan senang untuk buat konsert. Apa yang saya boleh janjikan, Relazzlah Malaysia akan mengingatkan penonton kepada program Lawak Ke Der yang pernah dipentaskan di Istana Budaya (IB).

“Agak lama juga kita tidak ada persembahan berskala besar seperti ini. Saya pilih ketiga-tiga pelawak ini kerana sudah lama mengenali mereka, selain sering tampil membuat persembahan di The Jokes Factory.

“Mereka ada cara tersendiri dalam melontarkan jenaka. Mungkin juga kebetulan apabila persembahan ini menampilkan pelawak Melayu, India dan Cina. Jadi, persembahan ini nampak muhibah,” katanya.

Selain itu, kata Harith, dia juga berhasrat menjadikan Relazzlah Malaysia sebagai persembahan komediri terbaik.

Namun, dari segi kandungan persembahan, dia tidak mengongkong dan memberi kebebasan kepada setiap pelawak dalam mengendalikan segmen masing-masing.

“Masing-masing diberi masa sekitar setengah jam untuk membuat persembahan. Kandungan jenaka tidak saya hadkan, terpulang kepada kreativiti mereka untuk sampaikan apa sahaja topik.

“Ada juga yang bertanya, adakah kandungan jenaka akan menyentuh mengenai isu Pilihan Raya Umum (PRU). Saya tidak boleh berkata, ia tidak akan ada. Cuma, ia tidak akan menjadi topik utama,” katanya.

Harith pada masa sama, memberi jaminan setiap pelawak tetap akan menjaga batas ketika membuat persembahan di pentas kelak.

Relazzlah Malaysia akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 26 November ini. Tiket berharga antara RM188 hingga RM388 boleh ditempah dengan melayari laman sesawang: https://thejokefactory.sales.ticketsearch.com/sales/salesevent/90709 atau WhatsApp: +6013-390 7165.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×