Rasa, jiwa berbeza Ramli Sarip - Utusan Malaysia

Rasa, jiwa berbeza Ramli Sarip

ALUNAN vokal Ramli masih berbisa menerusi pilihan lagu yang menyentuh emosi penonton.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYEMPUR­NAKAN penganjuran konsert yang diberi nama Cinta Di Sebalik Musim 2022 (CDSM 2022) di Kuala Lumpur hujung minggu lalu, Datuk Ramli Sarip ternyata masih kekal dengan bisanya sebagai otai dalam bidang seni suara.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan, Zepp Kuala Lumpur, merupakan lokasi keempat penganjuran siri konsert jelajah CDSM2022 yang terlebih dahulu mengambil tempat di Johor Bahru, Melaka dan Perak.

Dihadiri 700 penonton, intimasi layangan muzik satu malam di Zepp KL bagaimanapun tidak mengganggu konsentrasi penyanyi senior ini walaupun rata-rata mengetahui, ia boleh dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih ramai peminat.

Ini kerana ruang di lokasi itu, boleh menampung sekurang-kurangnya 2,000 hingga ke 3,000 penonton dalam satu masa.

Pun begitu, sudah namanya otai, persembahan harus diteruskan, waima berapa sekali pun jumlah penonton yang hadir. Apa yang penting, energi yang sama harus diberikan, tidak kira sedikit atau ramai peminat yang datang menyokong.

Berkongsi mengenai persembahannya itu, Ramli yang ditemui usai konsert memberitahu, dia terharu dengan sambutan yang diberikan peminat dan kerana itu, dia berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap persembahannya.

“Setiap lokasi konsert yang dirancang memiliki ‘rasa’ persembahan yang berbeza.

“Ada lagu yang saya sampaikan sama, tetapi ada juga di antara seleksi lagu itu tidak saya nyanyikan di setiap lokasi.

“Saya mahu beri nuansa lagu yang tidak semuanya ‘keras’. Ada lagu moderate dan mempunyai jiwa dalam muzik serta lagu mencerminkan kedewasaan.

“Lagu seperti Cinta Di Sebalik Rasa dan Ronggeng Rakyat antara judul yang bersifat dewasa bagi saya,” katanya.

Kata Ramli, dia akur mungkin sesetengah peminat mahukan hanya lagu hits dipersembahkan dalam konsert tersebut.

Namun, baginya pengisian konsert kali ini lebih kepada usaha memperkenalkan lagu baharu yang dimuatkan dalam album Rasa.

“Kebanyakan persembahan sebelum ini orang sudah tahu lagu yang akan dipersembahkan. Tidak dinafikan, lagu itu bersifat malar segar. Tetapi kali ini saya mahu peminat tahu lagu baharu pula.

“Lagu yang mungkin tidak akan dapat didengar di stesen radio. Entah mengapa, radio sukar nak mainkan lagu baharu saya ini. Walaupun memberikan cabaran, saya cuba untuk melalui semua ini dengan berlapang dada,” katanya.

Selain itu, kata Ramli, dia juga teruja untuk menemui peminat di beberapa lokasi lain, meskipun negara sedang berdepan musim pilihan raya.

Memasang fikiran positif, Ramli, 70, menyerahkan kepada peminat kerana pilihan raya dan konsert adalah dua perkara berbeza.

“Sekali pun jadual persembahan bertembung dengan tarikh pilihan raya, kalau ada yang mahu menonton persembahan, mereka akan sokong. Saya tidak fikir ia akan mengganggu perjalanan konsert.
“Namun, ada juga yang fikir penganjuran konsert seperti tidak kena masa kerana Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir. Bagi saya, tidak mengapa, ia satu sejarah. Sama seperti kita melalui pandemik.

“Ketika album Rasa dirakamkan, dunia tiba-tiba dilanda pandemik. Saya sampai tidak tahu bila mahu melancarkan album itu. Apabila selesai, kita akan melalui PRU pula. Tidak mengapa, kita jalan saja. Saya anggap ia sebagai perjalanan dan kenangan yang indah,” katanya.

Lagu-lagu nostalgia

Konsert CDSM 2022 menyaksikan barisan pemuzik hebat mengiringi persembahan Ramli yang memukau penonton seisi dewan.

Mereka dibarisi pemuzik berpengalaman daripada Soul Journey yang diketuai Rozario (keyboard), Ritz (gitar), Addy (gitar), Din Safari (bes), Tom Annuar (dram) dan Mohar (seruling).

Ramli menyampaikan 16 lagu daripada album solo dan album bersama Sweet Charity seperti Sentosa Di Kubah Hayat, Sejuta Wajah, Hilang Gelap Terbitlah Terang, Panah Beracun, Kekasihku dan Dunia Perlumbaan.

Tidak cuma itu, lagu seperti Irama Kasih, Batu, Keliru, Jikalau Berkasih, Cinta Di Sebalik Musim, Adam & Hawa, Ronggeng Rakyat, Ribut, Musibah dan medley Kamelia/Teratai turut dialunkan.

Konsert itu turut menampilkan persembahan Lefthanded bersama Datuk Nash sebagai vokalis dan pemain gitar, Man Kidal.

Mereka mempersembahkan lagu popular Lefhanded seperti Debunga Wangi, Ku Di Halaman Rindu, Seruan dan Keadilan.

Kuala Lumpur adalah antara lokasi konsert jelajah yang bermula di Johor Bahru pada 7 Oktober lalu, disusuli Melaka (14 Oktober) dan Perak (22 Oktober).

Selepas ini, konsert itu akan menjelajah Kelantan (5 dan 6 November), Sabah (12 November), Sarawak (20 November) dan berakhir di Singapura pada 17 Disember.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN