NEW YORK: Pelakon drama bersiri terkenal, Mighty Morphin Power Rangers, Jason David Frank meninggal dunia pada usia 49 tahun, dipercayai kerana membunuh diri.
Lapor portal AP, kematian Frank yang terkenal dengan watak Tommy Oliver (Ranger Hijau) telah diumumkan wakilnya, Justine Hunt.
“Pada waktu sukar ini, kami memohon agar orang ramai memberi ruang privasi kepada keluarga mendiang.
“Frank sayang kepada keluarga, sahabat dan peminatnya. Pemergiannya amat dirasai semua,” katanya dalam kenyataan.
Frank menjadi wajah ikonik sejak memegang watak tersebut pada 1993. Mendiang pada masa sama turut melakonkan watak ranger putih, Red Zeo, Red Turbo dan Black Dino menerusi francais popular tersebut.
Rakannya dalam siri itu, Walter Emanuel Jones, turut berkongsi berita duka itu di Instagram peribadinya.
“Sukar untuk mempercayainya, namun berehatlah David Frank. Saya sedih kehilangan anggota dari keluarga istimewa kami,” katanya.
Sepanjang kerjayanya, Frank pernah membintangi beberapa filem seperti Mighty Morphin Power Rangers: The Movie (1995), Turbo: A Power Rangers Movie (1997) dan Power Rangers: Legacy Wars – Street Fighter Showdown (2018).
Mendiang juga pernah membintangi siri Sweet Valley High (1996), selain mengisi suara untuk siri web, Transformers: Titans Return (2017).
Frank mendirikan rumah tangga dengan Shawna, pada 1994, tetapi bercerai pada 2001. Perkahwinan itu dikurniakan dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Pada 2003, Frank berkahwin pula dengan Tammie dan dikurniakan seorang anak perempuan. Namun, perkahwinan tersebut kandas pada 2022.