Norman Hakim temui kunci bahagia - Utusan Malaysia

Norman Hakim temui kunci bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perjalanan hidup pelakon terkenal, Norman Hakim yang melalui pelbagai fasa barangkali boleh dijadikan inspirasi dan pengajaran, terutama bagi pasangan suami isteri yang sedang mencari erti kebahagiaan sebenar.

Empunya nama sebenar, Mohamed Nurhakim Zaidon ini bagaikan tidak percaya dengan apa yang dikecapinya bersama isteri, Memey Suhaiza dan bekas isteri, Abby Abadi setelah melalui jatuh bangun kehidupan.

Berkongsi pandangan mengenai perkara itu, Norman berkata, dia tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan perasaan syukur ke hadrat Ilahi yang menghadiahkan kemanisan ketika usianya meniti angka 40-an.

“Semua orang tahu perjalanan cerita saya, sejak pergolakan rumah tangga dengan Abby yang berakhir dengan perceraian.

“Saya kemudian berumah tangga dengan Memey, namun berdepan pelbagai tohmahan serta kecaman masyarakat. Alhamdulillah, berkat kesabaran, akhirnya saya, Memey dan Abby serta keluarga besar kami temui kebahagiaan yang dicari.

“Proses yang saya jalani bersama mereka membuatkan saya menangis kerana terlalu bersyukur.

“Kami pernah menempuh badai, ribut taufan, tsunami dan puting beliung, akhirnya Allah SWT kurniakan kemanisan selepas lama kami bertahan,” kongsinya.

Tambah Norman, dia sebenarnya berterima kasih kepada pengalaman hidup, sama ada yang buruk atau manis. Baginya, jalan kehidupan yang ditempuh banyak mengajar dan menjadi asbab kepada kebahagiaan yang dikecapi hari ini.

“Perrjalanan hidup saya membawa kepada destinasi yang saya idam-idamkan. Semua yang berlaku sebenarnya mengajar saya untuk menjadi manusia yang lebih baik.

“Kini saya faham, semua yang berlaku ada sebabnya. Saya sedar, ujian yang datang sebelum ini sebenarnya mendekatkan saya kepada Tuhan. Mungkin kalau semua ini tidak berlaku, saya tidak terlintas untuk mengerjakan solat sunat dan mendalami al-Quran.

“Kita manusia dan tidak akan sempurna. Iman kita berbolak-balik. Oleh yang demikian, berbaliklah kepada agama sebab itu fitrah kita,” katanya.

Risau angka perceraian meningkat

“Kalau boleh, jangan ambil penceraian sebagai jalan penyelesaian.”

Itu saranan Norman kepada pasangan suami isteri yang kini diambang perpisahan ekoran masalah rumah tangga.

Kata Norman, sebagai seorang yang pernah melalui fasa itu, dia menyarankan suami isteri melakukan sehabis baik untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.

“Saya difahamkan sebanyak 18,000 kes perceraian direkodkan di Selangor, tahun ini. Angka ini memang membimbangkan.

“Justeru, ada pihak yang meminta saya kongsikan pengalaman kepada umum untuk memberi kesedaran tentang kesan perceraian dan sebagainya.

“Sebenarnya, saya agak keberatan kerana ia bukan usaha saya seorang, sebaliknya melibatkan peranan setiap anggota dalam keluarga, termasuk isteri dan bekas isteri.

“Ahli keluarga saya juga memainkan peranan masing-masing dalam menjaga hubungan antara satu sama lain,” kongsinya.

Konsisten jalani rutin ibadah

Pada awalnya, Norman keberatan memenuhi permintaan wartawan untuk berkongsi amalan mencapai kehidupan harmoni dan bahagia. Setelah difahamkan ia sekadar perkongsian untuk kebaikan bersama, Norman bersetuju memenuhi permintaan itu.

Kata Norman, tiada jawapan lain kecuali mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Katanya, itu kunci dan rahsia kebahagiaan hidup,

“Dahulu, keseronokan beribadah hanya saya rasai ketika Ramadan. Habis Ramadan atau pulang dari umrah, saya tertanya-tanya kenapa kemanisan itu hilang?

“Saya mencari dan banyakkan berdoa. Saya mulakan dengan sekecil-kecil usaha seperti solat sunat Tahajud dan Witir. Kalau tertinggal, saya rasa ada yang kurang dalam hidup. Perlahan-lahan saya tadabur dan bertadarus al-Quran, sekurang-kurangnya empat muka surat setiap hari.

“Saya konsisten dengan rutin tersebut setiap awal pagi kerana ia menjadi penentu kepada jam seterusnya dalam kehidupan,” kongsinya.

Kata Norman lagi, ibadah yang konsisten dilakukan itu membentuk hati yang tenang dan rasa cinta serta kasih kepada umat Islam lain.

“Saya risau bagaimana kematian saya nanti, jadi saya cuma mahu berkasih sayang dan elakkan daripada bermusuh dengan orang lain. Apabila kita konsisten amalkan perkara itu, kita sampaikan pula kepada anak-anak.

“Niat saya berkongsi semua ini bukan untuk mengajar orang lain, sebaliknya mahu menyerbarkan kebaikan.

“Saya juga bermula dengan mendengar perkara yang baik daripada orang lain,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×