Sebagai orang Islam kita mengimani bahawa hukum syarak adalah di bawah bidang kuasa Allah SWT. Allah ialah al Hakim, Pemilik dan Pembuat hukum yang wajib ditaati, manakala manusia mukallaf digelar al mahkum alaih, orang yang menerima perintah untuk dilaksanakan.
Adapun perbuatan yang menjadi perintah Allah disebut al mahkum fihi atau al mahkum bihi. Tiga komponen penting inilah yang menjadi asas sesuatu hukum.
Sejak dahulu telah wujud pandangan yang cuba menjauhkan masyarakat daripada hadis dan sunnah menggunakan naratif ketulenan hadis tidak dapat dipastikan dengan jelas berbanding al-Quran.
Masyarakat ditakutkan dengan kewujudan hadis palsu dan hadis daif. Kesannya wujud kelompok Muslim yang hanya pro al-Quran dan menolak hadis. Pegangan ini sangat bahaya dan menjadi ancaman kepada akidah dan sistem perundangan hukum syarak.
Bagaimana seorang Islam boleh menjadi mukmin yang sebenar jika ia menolak al-sunnah? Al-sunnah mempunyai kedudukan yang amat tinggi dalam sumber hukum.
Apabila berbicara soal hukum syarak, perkara utama di fikiran kita ialah apakah sumber hukum syarak? Dari manakah hukum syarak ini dikeluarkan? Apakah peranan Nabi SAW dan apa pula peranan ulama? Adakah Nabi SAW dan para ulama berkuasa menentu dan membuat hukum?
Sumber hukum pertama yang disepakati semua ulama ialah al-Quran dan al-sunnah pula adalah sumber kedua. Walau bagaimanapun Imam Shafie meletakkan al-Quran dan al-sunnah sebagai sumber pertama hukum syarak.
Ini kerana sunnah atau hadis yang dikategorikan sebagai mutawatir dan hadis sahih mempunyai kedudukan yang sama dengan al-Quran kerana kedua-duanya bersumberkan wahyu.
Hadis Rasulullah yang mempunyai elemen perundangan adalah jelas datang daripada Allah sebagaimana firman Allah SWT: Tidaklah ia (Rasulullah) bercakap mengikut hawa nafsunya. Tidak lain ia kecuali wahyu yang diturunkan. (al-Najm: 3-4)
Ayat ini menafikan tohmahan sesetengah orientalis bahawa agama ini dicipta dan ditafsirkan sesuka hati oleh Nabi SAW dan para ulama.
Malah mereka cuba memburukkan kedudukan hadis dengan mencampur-adukkan hadis sahih dan hadis palsu. Kewujudan hadis palsu menjadi alasan sesetengah golongan untuk menolak hadis secara total yang sebenarnya adalah satu malapetaka besar dalam sistem perundangan Islam.
Syariat tidak boleh dipisahkan dengan hadis dan sunnah. Hadis dan sunnah mempunyai peranan sangat besar dalam perundangan Islam.
Dalam sebuah hadis ketika Rasulullah SAW mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman, baginda telah bertanya kepadanya; “Dengan apa engkau akan berhukum?” Muaz menjawab; “Dengan kitab Allah”.
Rasulullah bertanya lagi: “Jika tidak terdapat di dalamnya (kitab Allah)?”. Muaz menjawab; “Dengan sunnah Rasulullah.”
Rasulullah bertanya lagi: “Jika tidak terdapat di dalamnya (sunnah)?” Maka Muaz pun menjawab; “Maka aku akan menggunakan pendapat aku (ijtihad)”.
Hadis ini adalah contoh bagaimana para sahabat meyakini bahawa hadis dan sunnah Rasulullah mempunyai kedudukan yang sangat tinggi sebagai sumber hukum.
Pensyariatan solat di dalam al-Quran disebut dengan jelas dalam surah al-Baqarah yang bermaksud; Tunaikan solat dan keuarkanlah zakat.
Namun perincian tentang tatacara, rukun, syarat, perkara yang membatalkan dan halangan solat dijelaskan dalam hadis seperti mana mafhum hadis al Bukhari; “Solatlah kamu seperti mana aku solat”.
Oleh itu, bagaimana orang Islam boleh solat secara sempurna dan lengkap jika tidak merujuk kepada hadis?
Begitu juga hukum syarak yang lain menunjukkan betapa besar peranan hadis menerang, menjelas, memperkukuh dan memperteguhkan hukum yang dibawa oleh al-Quran.
Antara contoh hukum waris faraid yang boleh diberikan sama ada anak lelaki atau anak perempuan dalam surah an-Nisa’ iaitu: Bagi anak-anak lelaki itu dua bahagian berbanding satu bahagian anak perempuan. (al-Nisa’: 11)
Namun pewarisan boleh terhalang jika anak-anak si mati merupakan pembunuh ayah atau ibunya dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “tidak akan mewarisi seorang pembunuh”.
Hadis ini menjelaskan walaupun seseorang itu berhak mendapat pewarisan atau apa jua sebab hubungan dengan si mati, ia akan terhalang dengan sebab ia membunuh si mati.
Namun, proses pembuatan hukum tidak semata-mata bergantung kepada dalil al-Quran dan sunnah. Maka di sinilah peranan ulama mufassir al-Quran dan ahli hadis untuk menganalisis dan mempertimbangkan setiap hadis yang ada sebelum sesuatu hukum syarak dikeluarkan.
Ada ayat al-Quran dan hadis yang diturunkan khas untuk sesuatu keadaan, ada dalil yang dimansuhkan dan ada dalil yang memerlukan pentafsiran daripada dalil yang lain.
Sebagai umat Islam, kita haruslah berhati-hati dalam mengeluarkan hukum syarak sekiranya kita bukan kalangan mereka yang selayaknya. Proses istinbat hukum adalah suatu proses yang sukar dan memakan masa dan tidak hanya bersandarkan kepada sepotong ayat al-Quran atau hadis semata-mata.
Sikap keterujaan mahu mengamalkan sunnah harus berasaskan kefahaman dan ilmu yang jelas bukan terburu-buru. Memahami dalil secara eksplisit tanpa merujuk kepada tafsiran ulama sering menyebabkan manusia menjadi ekstrem dalam menghukum. Akhirnya membawa kepada perbalahan yang tidak berkesudahan.
Dalam usaha kita mengajar dan mengajak manusia mengembalikan kepercayaan kepada hadis dan sunnah, kita juga harus berwaspada dengan golongan yang menggunakan hadis palsu untuk kepentingan hawa nafsu mereka.
Hadis palsu atau hadis yang direka-reka bukanlah hadis. Ia adalah kepalsuan yang nyata disandarkan kepada Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW menyatakan: Barangsiapa yang sengaja membohongi atas namaku, maka telah tersedia tempatnya di neraka.










