Melly Goeslaw ziarah pusara P Ramlee, Saloma - Utusan Malaysia

Melly Goeslaw ziarah pusara P Ramlee, Saloma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw, mengakui telah lama mengagumi Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, malah menyifatkan beliau sebagai genius muzik.

Meskipun tidak mengenali arwah secara dekat, Melly berkata, kisah hidup dan karya yang dihasilkan Allahyarham banyak memberinya inspirasi untuk menghadirkan sentuhan bermutu buat penggemar muzik.

“Rasa kagum terhadap Allahyarham membuatkan saya berfikir panjang. Saya ingin mendapat rakan yang sejiwa dengan keinginan dalam merangka konsep dan segala-galanya.

“Saya terlalu kagum dengan karyanya yang genius, begitu juga kisah hidupnya yang memberi inspirasi dalam bermuzik.

“Justeru, sebaik tiba di Kuala Lumpur, saya dan suami terus menziarahi pusaranya dan Allahyarham Puan Sri Saloma. Kami juga berkesempatan bertemu cucu Saloma.

“Meskipun tidak pernah kenal secara langsung, kami mempunyai tenaga yang sama dalam menghasilkan karya supaya kelak dikenang sebagai sesuatu yang indah dalam kehidupan,” katanya.

Melly berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagramnya, semalam.

Dalam hantaran sama, Melly berkata, sejak 10 tahun lalu, banyak penganjur cuba mengundangnya untuk mengadakan persembahan di negara ini.

“Sudah lebih 10 tahun saya dan suami tidak ke Kuala Lumpur. Sebelum ini, banyak pihak yang ‘meminang’ saya untuk mengadakan konsert di sini.

“Akhirnya, menjelang penghujung tahun ini, saya menerima pinangan daripada Iman Tang dan Icon Entertainment untuk membuat konsert di Kuala Lumpur, awal tahun depan,” katanya.

Melly, 48, yang juga isteri kepada komposer terkenal Indonesia, Anto Hoed memulakan kerjaya nyanyian bersama kumpulan Potret pada 1995.

Dia bagaimanapun, memilih untuk bergerak solo pada 1999, seterusnya mencetus fenomena menerusi lagu seperti Jika, Gantung, Ku Bahagia dan Ada Apa Dengan Cinta.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.