Pada usia 25 tahun, band terkenal Indonesia, Padi Reborn membuktikan mereka mampu terus menyinar sehingga ke hari ini.
Perkara itu bukan mudah untuk dilakukan, malah menuntut kesabaran, toleransi dan persefahaman yang tinggi.
Dalam satu temu bual secara maya, baru-baru ini, vokalisnya, Fadly berkongsi pendapat tentang rahsia kumpulan yang mula dikenali pada 1997 itu kekal bertahan sampai sekarang.
“Kami ibarat adik-beradik, bukan sekadar anggota dalam sebuah kumpulan. Dalam berkarya, perkara itu menjadi hal yang sangat penting.
“Apabila hubungan bertukar menjadi pertalian keluarga, apa juga cabaran, perlu diharungi bersama.
“Alhamdulillah, 25 tahun ini menjadi hikmah dan penguat kepada Padi Reborn untuk terus hidup,” katanya.
Berkongsi pandangan tentang hal sama, gitaris, Ari memaklumkan ego adalah punca perpecahan yang perlu dielakkan dalam sesebuah band.
Justeru, katanya, anggota Padi Reborn sentiasa mencari kesefahaman demi meleraikan sebarang perselisihan.
“Kami pernah bergaduh sesama anggota. Tahan ego bukan mudah untuk dilakukan, tetapi itu yang kami perlukan.
“Kami harus jaga perkara itu agar kumpulan ini dapat terus wujud 25 tahun ke depan. Kuncinya? Komitmen dan cinta,” ujarnya.
Kekal relevan
Kata Fadly, selain bertahan, mereka juga perlu memastikan muzik yang diperjuangkan kekal relevan seiring peredaran zaman.
Dia yakin, kelainan dan keistimewaan muzik yang dibawakan akan terus diterima baik Sahabat Padi (peminat) yang sejak 25 tahun lalu menyokong perjuangan mereka.
“Kami yakin, muzik kami akan terus diterima. Sejak awal, kami teroka kepelbagaian (muzik) untuk memastikan kami kekal relevan.
“Kami kena percaya diri, perjalanan band ini akan mampu kami teruskan selain berharap muzik Padi Reborn diterima generasi akan datang,” katanya.
Fadly juga yakin dengan kekuatan Padi Reborn yang saban tahun sering menampilkan kelainan dalam karya yang mereka hasilkan.
“Ari sering bereksperimentasi dengan bunyi-bunyian unik menerusi petikan gitarnya. Itulah kekuatan padi.
“Keunikan muzik kami menjadikan kumpulan ini diterima pendengar zaman sekarang,” ujarnya.
Rindu Malaysia
Kerinduan Ari, Fadly, Yoyo, Rindra dan Piyu terhadap Malaysia bakal terubat menerusi konsert 25 Tahun Padi Reborn yang akan diadakan pada 3 Disember depan di Zepp Kuala Lumpur.
Kata Ari, keterujaan bertemu peminat di Malaysia sudah mula dirasakan setelah perancangan ke negara ini lama tertangguh kerana pandemik.
“Kami rindu Malaysia dan tidak sabar untuk bertemu Sahabat Padi di sana. Sambutan yang kami terima setiap kali kedatangan kami ke Malaysia amat baik sekali.
“Banyak kenangan indah tercipta sepanjang kami di sana,” katanya.
Dalam pada itu, pemain gitar Padi Reborn, Piyu memaklumkan konsert istimewa itu bakal diserikan dengan kemunculan penyanyi legenda, Datuk Sheila Majid.
Katanya, penyanyi Sinaran itu dipilih kerana populariti dan status legenda yang dibawa penghibur tersebut.
“Kami mahu berkongsi pentas dengan penyanyi legenda dari Malaysia dan kebetulan, kami juga merupakan peminat Sheila. Lagu nyanyiannya popular dan masih diminati di Indonesia.
“Kami pernah berkongsi pentas, termasuk menjayakan program televisyen bersama-sama.
“Kali ini, Sheila dan Padi akan berkolaborasi sekali lagi, membawakan lagu popular kami,” katanya.











