PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah yang juga calon Parlimen Port Dickson, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berharap kejayaan menggenggam ijazah Doktor Pengurusan memberi inspirasi kepada anak muda, khususnya di kawasan ditandingi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
Ahmad Idham juga berharap ilmu yang ada dapat dimanfaatkan dan diterjemahkan pelaksanaannya dalam mengurus tadbir selain mempopularkan Port Dickson sebagai bandar pelancongan yang mempunyai keunikan tersendiri.
“Penantian selama hampir tujuh tahun membuahkan hasil apabila berjaya menghabiskan penyelidikan saya untuk Ijazah Doktor di dalam bidang pengurusan.
“Saya berharap kejayaan menghabiskan penyelidikan dan menerima Ijazah Kedoktoran ini mencetus semangat untuk belajar, selain memberi inspirasi kepada anak muda, khususnya di Port Dickson melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.
“Ilmu adalah pelita yang membawa manusia keluar daripada gelap kejahilan,” katanya.
Idham menerima ijazah tersebut pada Majlis Konvokesyen ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM) 2022 yang disempurnakan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Sintok, semalam.
Pengarah filem Nyang Rapik dan Impak Maksima itu berkata, dia bergegas ke Sintok untuk persiapan akhir sebelum majlis konvokesyen sebaik sahaja selesai pengumuman calon Parlimen Port Dickson untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Walaupun jadual dan masa pergerakan sangat padat kurang daripada 24 jam, namun ia adalah tanggungjawab yang harus diterima dan dilaksanakan.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
“Buat guru, penyelia dan pendidik yang telah berkongsi ilmu dan mendidik saya selama ini, saya doakan kalian semua dikurniakan rahmat dan maghfirah-Nya,” katanya.