HULU KLANG: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyuarakan kesediaan untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu tunggakan bayaran membabitkan stesen televisyen, Awesome TV dengan beberapa penerbit seperti dibangkitkan, baru-baru ini.
Pengerusi Finas, Datuk Seri Zurainah Musa yang ditemui pada sesi perbincangan bersama penerbit di Kompleks FINAS, di sini berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Awesome TV dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu terbabit.
“Pertemuan ini bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mencari jalan penyelesaian bagi semua yang terbabit. Kami akan berbincang untuk mendapatkan kata putus dan bersama-sama mencari penyelasaian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Kami akan cari kaedah penyelesaian untuk memastikan Awesome TV dapat melunaskan bayaran tertunggak mengikut kaedah atau tempoh masa yang akan ditetapkan hasil perbicangan itu nanti.
“Kami bertimbang rasa dan yakin ada jalan keluar kepada masalah ini. Kami tidak mahu masalah ini berlarutan sehingga membabitkan tindakan undang-undang,” katanya.
Yang turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Finas, Datuk A.Aida, pengasas Darkwave Pictures Sdn. Bhd., Datuk Rafiena Ezanee Ramli dan Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Ayu Puteh.
Isu tersebut timbul selepas A.Aida membangkitkan isu mengenai aduan daripada produser mengenai Awesome TV dikatakan tidak melunaskan bayaran karya yang disiarkan menerusi saluran TV tersebut.
Sementara itu, A.Aida yang juga Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PPTM) meminta ahli persatuan yang terkesan dengan isu tersebut agar bersabar dan memberi tempoh kepada Finas menyelesaikan masalah berkenaan.
“Ada dalam kalangan ahli PPTM yang merancang untuk mengambil tindakan undang-undang apabila mendakwa, kesabaran mereka teruji setelah menunggu terlalu lama, namun masih belum menerima bayaran penuh.
“Saya menasihatkan mereka agar beri tempoh kepada Finas berbincang sebelum mengambil tindakan selanjutnya. Jangan ambil keputusan drastik.
“Sebagai wakil penerbit, saya meminta pihak Awesome TV melunaskan bayaran seperti dipersetujui bersama dalam kontrak asal,” ujarnya.
Sementara itu, Ayu pula berpendapat, isu tersebut perlu disuarakan supaya penerbit yang terkesan mendapat keadilan.
“Apabila berdepan kelewatan bayaran dari stesen TV, mereka menghadapi pelbagai masalah, termasuk melunaskan bayaran pinjaman kepada bank dan melunaskan gaji kru serta pengurusan produksi,” jelasnya.