Dina Nadzir berani ambil risiko - Utusan Malaysia

Dina Nadzir berani ambil risiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAIK sahaja mengumumkan untuk menyertai program hiburan, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), penyanyi bersuara lantang, Dina Nadzir tidak lagi menoleh ke belakang.

Dia maklum, penglibatannya dalam program tersebut menjadi isyarat dia benar-benar menyayangi kerjaya sebagai penyanyi dan mula merancang sesuatu untuk membina semula hala tuju nyanyiannya.

Apatah lagi, langkah anak kelahiran Johor Bahru itu ke dalam dunia seni sejak 18 tahun lalu dilakar dengan membawa gelaran naib juara Malaysia Idol musim pertama.

Penat lelah dalam memberikan yang terbaik pada setiap konsert GV9 membuktikan Dina benar-benar berusaha untuk kembali menyinar, sekali gus menolak persepsi liar dia lebih selesa sebagai penyampai radio hingga melupakan dunia nyanyian.

“Kalau saya tidak serius, saya tidak akan sertai GV9 dan ambil risiko setiap minggu. Hampir setiap konsert GV9 saya sahut cabaran, mempersembahkan genre lain dengan kepayahan yang berbeza.

“Saya bukan penyanyi yang menerima banyak peluang untuk naik ke atas pentas berbanding artis lain. Disebabkan itu, saya tidak sia-siakan dan berikan sepenuh hati untuk GV9,” kata Dina.

Tambah penyanyi ini lagi, dia tidak meletakkan kemenangan sebagai matlamat apabila menyertai pertandingan tersebut. Sebaliknya, empunya nama sebenar Faradina Mohd. Nadzir itu hanya mahu mengubat kerinduan menyanyi di atas pentas dan menghiburkan.

“Niat saya adalah untuk membuat persembahan. Tidak kisah menang atau kalah, saya cuma mahu menghiburkan orang.

“Team saya tahu kepenatan saya setiap kali selesai persembahan. Malah, saya terpaksa menolak untuk ditemu bual disebabkan terlalu penat.

“Itu membuktikan saya benar-benar serius untuk kembali menyinar dalam dunia nyanyian. Bahkan, saya sudah merancang dengan salah seorang peserta GV9 untuk bekerjasama selepas ini,” tambahnya.

TERIMA KRITIKAN

Konsert GV9 minggu kelapan menyaksikan Dina mendapat markah tercorot dan nyaris tersingkir selepas gagal menambat hati juri ketika mempersembahkan lagu Hijau yang dipopularkan Datuk Zainal Abidin.

Katanya, dia langsung tidak berkecil hati, malah menyambut baik kritikan dan komen pedas Datuk Ramli MS terhadap persembahannya.

“Sebagai penyanyi, saya kena terima. Kalau tidak macam mana kita nak belajar. Hubungan saya dan Tok Ram baik. Saya tidak terasa hati dengan komen yang dilontarkan,” katanya.

Tambah Dina lagi, dia akur banyak kelemahan dalam persembahannya pada malam itu. Justeru, dia sedia menerima kritikan untuk memperbaiki mutu persembahannya.

“Ketika membuat persembahan secara langsung, banyak kesilapan boleh berlaku. Ia berbeza ketika sesi raptai kerana saya lebih fokus kepada nyanyian.

“Ketika persembahan sebenar, banyak perkara perlu difikirkan seperti audiens, lagu, juri, giliran, muzik, keadaan fizikal dan sebagainya,” katanya.

Dina juga menegaskan, dia tidak pernah menggunakan alasan dijangkiti Covid-19, baru-baru ini apabila gagal mempamerkan persembahan terbaik.

“Saya tidak pernah bercerita tentang perkara ini. Cuma, Datuk Syafinaz Selamat ada menyentuh mengenainya ketika memberikan komen.

“Saya ada maklumkan pernah dijangkiti Covid-19, tetapi saya tidak menjadikan ia sebagai alasan apabila gagal mempamerkan persembahan mengesankan,” tegasnya.

Menjawab perasaannya apabila terselamat daripada penyingkiran, Dina mengakui lega. Namun, ujarnya dia memang bersedia untuk pulang memandangkan persembahan yang ditunjukkan agak kurang memuaskan.

“Selepas mendengar komen Tok Ram, saya sudah bersedia untuk balik ke rumah.

“Adat pertandingan, apabila mendapat markah terendah, tandanya kita akan keluar. Saya sudah akur.

“Namun, saya bersyukur, orang nampak juga siapa Dina Nadzir walaupun sudah 18 tahun dalam industri. Masih ada yang suruh saya berjuang dan perkara itu sangat menyentuh hati,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×