fbpx

Cemburu? Saya tak selalu pun teman suami di set – Zizi Kirana

ZIZI KIrana bersama suaminya, Yusuf Bahrin.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zizi Kirana, pelik dengan desas-desus mengatakan dia terlalu cemburu apabila didakwa sering dilihat menemani suaminya, Yusuf Bahrin di set penggambaran.

Zizi, 37, berkata sejak mendirikan rumah tangga, setahun lalu, hanya sesekali dia menemani Yusuf kerana tidak mahu kehadirannya mengganggu komitmen suaminya di lokasi penggambaran.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara ini timbul kerana bukan selalu saya teman Yusuf di set penggambaran. Sesekali itu adalah, tetapi tidak selalu kerana saya juga ada kerja yang perlu diselesaikan.

“Jika ada kelapangan dan tiada apa-apa urusan, saya akan ikut suami. Itupun kalau dia pelawa saya temankan. Memang kami saling menemani jika tidak terikat dengan apa-apa tugasan.

“Kalau Yusuf tidak ada penggambaran, dia akan temankan saya ke tempat persembahan. Sementara masih berdua, kami banyakkan masa bersama-sama, tetapi bukan sebab cemburu…” kata Zizi ketika ditemui pada majlis Astro Showcase Party di Menara Kuala Lumpur, malam tadi.

Penyanyi lagu Eh dan Pijak itu berkata, dia hairan apabila perkara itu diperbesar-besarkan memandangkan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan, apatah lagi mengganggu proses kerja suaminya di set penggambaran.

“Nak kata ada orang dengki, tidak boleh juga. Mungkin pihak yang sampaikan perkara ini mahu berborak dengan orang lain, tetapi tiada topik untuk dibincangkan. Jadi, dia bercakap mengenai kami.

“Saya pun tahu batas kerana saya dan Yusuf sudah sedia faham kerjaya masing-masing. Lagipun, orang yang saya temankan itu suami sendiri. Takkan itu menjadi kesalahan?,” katanya.

Ditanya mengenai kehidupan berumah tangga, Zizi mengakui, tidak mudah menggalas tangggungjawab sebagai isteri.

“Tidak semudah seperti selalu saya dengar. Apabila menjadi isteri, sudah tentu kena taat pada suami. Maklum sajalah, sebelum ini, kita sudah terbiasa hidup sendiri.

“Apa-apa saya kena rujuk dengan Yusuf.  Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah dan saya masih mencuba serta berusaha menjadi isteri yang mentaati suami. Kita masih belajar,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk memiliki zuriat, Zizi mengakui, bersedia memperlahankan aktiviti seni bermula pada tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui Yusuf.

Jelasnya, sepanjang 2022, jadual mereka padat dan barangkali itu menjadi antara punca mengapa masih belum dikurniakan cahaya mata.

“Kita cuma mampu merancang, tetapi Allah SWT Maha Mengetahui. Saya dan Yusuf akan cuba susun dengan baik perancangan untuk mendapatkan zuriat, tahun depan.

“Kami berdua juga mengharapkan doa semua pihak dan moga impian kami dipermudahkan-Nya,” katanya.

Zizi mendirikan rumah tangga dengan Yusuf pada 19 September tahun lalu selepas dua bulan mengenali hati budi masing-masing.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN