Wings ‘tutup kedai’ dengan Naga Kramat? - Utusan Malaysia

Wings ‘tutup kedai’ dengan Naga Kramat?

WINGS berhasrat berehat selepas menjayakan konsert Naga Kramat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI peminat tegar muzik rock dan kumpulan legenda Wings, usah biarkan diri dalam penyesalan sekiranya tidak meraih peluang membeli tiket konsert Naga Kramat yang akan diadakan pada 22 Oktober ini.

Ini kerana, konsert yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu bakal menyaksikan kemunculan terakhir mereka sebelum Wings ‘menutup kedai’. Bagaimanapun, jangan salah faham.

Apa yang dimaksudkan kumpulan ini adalah mereka mahu berehat seketika daripada menjayakan aktiviti persembahan sehingga Aidilfitri tahun hadapan selepas kerap beraksi di pentas demi menghiburkan peminat.

Perkara itu diakui vokalisnya, Datuk Awie, yang menyifatkan 2022 sebagai tahun sibuk bagi kumpulan yang sudah menjengah usia 37 tahun itu. Penerimaan itu membuktikan Wings tetap ampuh dan karya mereka masih dihargai.

Malah, kata Awie, sambutan peminat terhadap konsert Naga Kramat juga sangat luar biasa apabila setakat ini, sudah 90 peratus tiket habis dijual.

“Tiada kata yang mampu dipanjatkan, selain syukur Alhamdulillah atas sokongan yang diberikan peminat. Ini berita yang menggembirakan dan saya tahu, Allah sedang menduga kami supaya lebih berhati-hati dan sentiasa ingat Dia.

“Ini juga pesanan buat kami agar tidak lupa diri. Apapun sekarang adalah masa untuk kami bersungguh-sungguh menjaga kesihatan dan silaturrahim dengan penyokong Wings yang tidak pernah jemu memberikan sokongan,” katanya.

TUNAI UMRAH
Awie sempat bercanda mengenai situasi setiap kali Wings mengadakan persembahan apabila peminat menyerbu bagaikan tiada hari esok.

“Kami pun risau, adakah ini petanda yang baik atau tidak lama lagi Wings akan ‘habis’? (gurau). Apapun, insya-Allah, kami akan berikan yang terbaik dan cuba selesaikan agenda sepanjang Oktober ini.

“Ini kerana, November ini saya dan anggota lain akan berangkat ke Mekah bagi menunaikan umrah bersama-sama. Itu panggilan Allah. Dia memberikan rezeki lebih, ini masa terbaik untuk kami berlima pergi,” katanya.

Tambah penyanyi berusia 53 tahun ini, selepas selesai menunaikan umrah, dia dan rakan-rakan seperjuangan membuat keputusan untuk berehat bagi mengumpulkan semula tenaga.

“Saya tidak boleh buat persembahan lagi kerana terlalu banyak show sekarang. Mungkin ini masa terbaik untuk berehat seketika daripada aktiviti seni.

“Lagipun, sudah terlalu banyak artis yang membuat konsert. Kami tidak mahu berlumba-lumba hingga mengacau penjualan tiket mereka.

“Hanya selepas sambutan Aidilfitri nanti, baru kami akan fikir dan rangka semula perjalanan seni. Semua ini sekadar perancangan. Kita tidak tahu, sepanjang tempoh itu mungkin ada tawaran yang bagus.

“Mungkin kami ambil satu atau dua persembahan. Untuk perancangan tahun depan, kami mahu jelajah masuk kampung dan Felda untuk menghiburkan peminat pelbagai peringkat dengan harga tiket bersesuaian,” katanya.

MASUK KAMPUNG
Untuk tujuan tersebut, Awie berkata, mereka mengalu-alukan pembabitan mana-mana pihak yang sudi menjadi penaja.

“Seronok sebenarnya masuk kampung dan pedalaman. Kami juga bermula dari situ. Dulu, kami pernah buat persembahan dalam ladang kelapa sawit.

“Tidak kisahlah hanya dewan yang boleh memuatkan sekitar 1,000 penonton, kami tetap akan beraksi menghiburkan mereka. Kami mahu semangat itu,”katanya.

KONSERT F1 DI SINGAPURA
Turut diberi peluang menjayakan konsert sempena perlumbaan Formula 1 Grand Prix Singapura 2022 pada 30 September lalu, Awie berkata, mereka terharu dengan sambutan luar biasa peminat di sana.

“Tidak sangka kehadiran kami masih dihargai, malah tenaga diberikan penonton memberikan kami semangat untuk mempamerkan persembahan yang terbaik.

“Beraksi bersama nama besar antarabangsa merupakan pencapaian terbaik Wings sepanjang 37 tahun dalam industri muzik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN