STATUS sebagai anak pelakon dan pelawak terkenal Indonesia, Sule bukan tiket untuk penyanyi, Rizky Febian menempah nama dengan mudah dalam industri seni di negara kelahirannya.
Penghibur asal Bandung ini seboleh-bolehnya tidak mahu dibayangi populariti bapanya yang juga selebriti senior terkenal dan dihormati di Indonesia.
Bercakap tentang perkara itu, empunya nama sebenar Rizky Febian Adriansyah Sutisna itu mengakui, dia bekerja keras agar tidak dilabel menumpang populariti bapa.
“Lebih empat tahun saya cuba mengelak daripada terus dibayangi populariti bapa.
“Banyak yang saya lakukan antaranya tidak terlalu mendedahkan diri, banyak nyanyikan lagu cover dan sebagainya.
“Saya gembira kerana peminat Malaysia mengenali saya sebagai Rizky Febian,” katanya.
Penyanyi berusia 24 tahun itu tidak menafikan, dia bangga dilahirkan sebagai anak kepada bintang legenda yang banyak berjasa kepada industri hiburan Indonesia.
Katanya, kejayaan yang dikecapinya hari ini terhasil berkat doa bapanya yang sentiasa menyokong perjalanan seninya sedari dulu.
“Apabila saya menyatakan tidak mahu menumpang populariti bapa bukan bermaksud saya tidak selesa dikenali sebagai anaknya.
“Apa yang saya miliki hari ini adalah berkat doa orang tua. Saya bangga apabila ada peminat di Malaysia yang bertanyakan tentang beliau,” jelasnya.
Malaysia istimewa di hati Rizky
Sambutan memberangsangkan terhadap konsert sulungnya di negara ini, minggu lalu membuktikan Rizky memiliki penggemar yang ramai di Malaysia.
Rizky memberitahu, negara ini istimewa di hatinya kerana peminat sentiasa menyokong, meskipun namanya tidak sepopular penyanyi Indonesia lain.
“Saya terharu kerana peminat di Malaysia menyokong kerjaya seni saya sehingga ke hari ini. Mereka teruja ketika diberitakan tentang kedatangan saya untuk menjayakan konsert di sini.
“Ketika usia 13 tahun, saya pernah datang ke sini mempromosikan lagu duet bersama Aisyah Aziz, Indah Pada Waktunya. Ketika itu saya berpeluang berpeluang mengunjungi stesen televisyen dan radio tempatan.
“Saya gembira setiap kali berpeluang ke sini,” katanya.
Kata Rizky lagi, peluang mengadakan konsert di Malaysia adalah momen berharga dan cukup bermakna buat dirinya.
“Konsert ini sangat istimewa kerana ahli keluarga turut terbang dari Indonesia untuk memberikan sokongan.
“Sebelum ini, mereka tidak berkesempatan menonton mana-mana konsert saya di Indonesia, kerana sibuk” kongsinya.
Fokus siapkan album
Menjawab tentang perancangan masa depan, Rizky memaklumkan, dia memberi tumpuan untuk album kedua yang bakal dipasarkan tahun depan.
“Saya sedang menyiapkan album kedua yang sebelum ini tertangguh hampir tiga tahun gara-gara pandemik.
“Sebelum ini, saya tidak berkesempatan menyiapkannya kerana sibuk menghiburkan masyarakat ketika Indonesia parah berdepan penularan Covid-19.
“Saya sempat menghasilkan beberapa lagu seperti Cuek, Makna Cinta dan Mantra Cinta. Saya terlupa ada album yang perlu disiapkan.
“Jadi, saya akan memberi tumpuan menyiapkan album selain projek besar lain pada tahun hadapan,” katanya.
Intai peluang kerjasama
Bercakap soal perancangan bekerjasama dengan penyanyi Malaysia, Rizky tidak menafikan menyimpan keinginan tersebut.
“Ada beberapa artis baru negara ini yang berjaya mencipta nama di Indonesia. Antaranya penyanyi lagu Casablanca, Naufal Azrin dan Nuha Bahrin.
“Saya terbuka untuk berkolaborasi kerana ia membuatkan muzik kita lebih berkembang.
“Tetapi, saya juga perlu memikirkan tentang artis Malaysia yang sesuai untuk diajak berkolaborasi bersama. Kita lihat bagaimana nanti,” kongsinya.











