Tawaran harga murah serendah RM40 di samping perkhidmatan ke rumah merupakan antara helah pendandan kecantikan bagi menjerat golongan muda mendapatkan rawatan pergigian ‘palsu’.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati tawaran itu tidak dibuat secara sembunyi-sembunyi, sebaliknya diiklankan secara terbuka di media sosial termasuk TikTok.
Malah, ada di antaranya yang turut menggunakan kata-kata pujukan seperti tidak sakit atau tanpa paksaan bagi memastikan perkhidmatan itu laris.
Harga promosi RM40 yang dikenakan itu hanya bagi satu bahagian sama ada atas atau bawah, manakala untuk kedua-duanya pula bernilai RM75.
Walaupun harga berkenaan tidak masuk akal, iklan dibuat rata-rata doktor gigi ‘palsu’ di laman sosial tetap mendapat sambutan.
Seolah-olah tiada sebarang rasa curiga orang ramai terhadap kaedah rawatan, peralatan dan tahap kepakaran pendandan kecantikan berkenaan.
Seorang doktor gigi ‘palsu’ dari Kelantan menerusi akaun TikTok miliknya menawarkan harga 40 kali ganda lebih murah bagi pemasangan pendakap gigi berbanding kos sebenar sebanyak yang dianggarkan RM4,000.
Katanya, bayaran sebanyak RM100 yang dikenakan itu merangkumi pemasangan pendakap gigi untuk bahagian atas dan bawah.
Salah satu iklannya mendapat 2,711 tanda suka di samping 98 komen yang bertanya untuk memasang pendakap gigi ditawarkannya itu.
Lebih mengejutkan, ada warganet dari negeri lain termasuk Terengganu, Johor, Perak, Selangor, Kedah, Perlis dan Sarawak yang berharap perkhidmatan berkenaan dapat diperluaskan ke tempat mereka.
Pelajar sekolah menengah jadi doktor gigi palsu
USIA baru menginjak belasan tahun, namun golongan pelajar sekolah menengah di negara ini didakwa aktif menjadi doktor gigi ‘palsu’ dan memperdaya orang ramai.
Lebih merisaukan, doktor gigi muda tanpa tauliah itu langsung tidak memiliki sebarang asas dalam bidang pergigian di sebalik rawatan yang disediakan mereka itu.
Ada di antaranya hanya menuntut ilmu melalui internet atau kursus pendek yang ditawarkan oleh individu yang juga tidak bertauliah.
Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Noormi Othman berkata, selain pelajar sekolah menengah, pengamal pergigian palsu turut terdiri terdiri daripada individu biasa berusia dalam lingkungan 30-an.
Katanya, sebanyak 82 peratus atau 601 aduan berkaitan pengamal pergigian palsu diterima dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sejak 2017.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 54 aduan direkodkan pada 2017 diikuti 119 aduan (2018), 137 aduan (2019), 129 aduan (2020), 89 aduan (2021) dan 73 (2022).
“Sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, sebanyak 73 daripada keseluruhan 88 aduan diterima, adalah membabitkan kegiatan pengamal pergigian palsu.
“Situasi ini amat membimbangkan kerana masih ramai individu tidak bertauliah yang menawarkan rawatan pergigian. Malah kita menjangkakan bilangan aduan akan terus bertambah,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Beliau mengulas mengenai kegiatan doktor gigi ‘palsu’ yang makin berleluasa menerusi tawaran harga murah yang diiklankan secara terbuka di media sosial.
Pendakap gigi palsu boleh mengundang risiko terhadap susunan dan kesihatan gigi, termasuk meragut nyawa kerana mengandungi bahan terlarang.
Di negara ini, hanya doktor pakar yang boleh melakukan rawatan pergigian dan mana-mana pengamal haram boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pergigian 2018 (Akta 804).
Seksyen 62(1) Akta 804 memperuntukkan larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan di bawah Akta 804.
Di bawah Seksyen 62(3) akta sama, mana-mana individu yang melanggar peruntukan subseksyen 62(1) akta itu dan disabitkan melakukan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Sejak akta itu berkuatkuasa pada 1 Januari lalu, seorang pesalah dihadapkan ke muka pengadilan iaitu seorang warga Indonesia.
‘Rawatan pergigian hanya boleh dilakukan oleh pegawai bertauliah’
PENDANDAN kecantikan tidak sepatutnya diberikan kepercayaan untuk menjalankan prosedur pergigian seperti memasang pendakap gigi, pemutihan dan venir.
Dekan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Seow Liang Lin berkata, rawatan pergigian yang ditawarkan oleh pusat kecantikan menjadi pilihan golongan muda barangkali disebabkan oleh faktor keselesaan yang menjadi penarik utama.
“Kebanyakan pelanggan mempunyai hubungan baik dengan pendandan kecantikan mereka, jadi secara tidak langsung rawatan pergigian turut dimasukkan sebagai sebahagian pakej kecantikan.
“Namun, sebab utama yang membolehkan perkhidmatan pergigian penuh tipu daya ini terus-menerus ditawarkan adalah kerana masyarakat kurang kesedaran terhadap kesan jangka panjang, di samping tertarik dengan tawaran penyelesaian yang mudah dan cepat serta promosi jualan yang meyakinkan,” katanya.
Liang Lin berkata, penggunaan set gigi yang tidak dibuat khas untuk pemakainya dengan hanya menggunakan dawai boleh menyebabkan risiko gigi reput, masalah gusi dan lain-lain.
Katanya, langkah mudah untuk mengetahui kesahihan doktor gigi ialah dengan melihat Sijil Perakuan Pengamalan Tahunan (APC) yang dipamerkan di klinik.
Menurutnya, semua doktor gigi perlu berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia dan setiap klinik yang beroperasi secara sah diwajibkan memperbaharui APC setiap tahun
“Jika tiada sijil atau ia tidak diperbaharui, anda tidak berada di klinik yang betul.
“Anda juga perlu memerhatikan lokasi di mana khidmat pergigian ditawarkan, premis mestilah di sebuah klinik dan bukannya gerai di tepi jalan, bilik hotel atau di salun kecantikan,” katanya.
Tegas Liang Lin, kegagalan berjumpa doktor gigi bertauliah bagi mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kerosakan gigi dan gusi yang tidak dapat dipulihkan, sekali gus mengundang penyesalan pada kemudian hari.









