Kali terakhir Jula Juli Bintang 7 dipentaskan adalah sekitar hampir dua dekad lalu oleh Kumpulan Bangsawan Sri, Universiti Sains Malaysia (USM) di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kisah Melayu klasik itu bagaimanapun akan kembali dipersembahkan, kali ini di pentas berprestij, Istana Budaya (IB) pada 29 dan 30 Oktober ini.
Teater muzikal arahan Zaifri Husin itu menampilkan barisan pelakon seperti Shiha Zikir, Ezad Lazim, Fiza Thomas, Joey Daud, Idris Brown dan ramai lagi.
Berbaki kurang tiga minggu, kru produksi termasuk pengarah, pelakon serta penari sedang berhempas-pulas menjalani latihan intensif setiap hari bagi memastikan teater itu dijayakan dengan sebaiknya.
Kata Zafri, tempoh persiapan singkat bukan alasan untuk pementasan ini dibuat secara sambil lewa.
Katanya, semua tenaga produksi yang terlibat akan memberikan yang terbaik untuk pementasan itu nanti.
“Pementasan ini bukan tangkap muat, malah kami yakin dapat menghasilkan persembahan yang membanggakan. Latihan, termasuk tarian, vokal dan teknikal sudah dimulakan lebih awal.
“Zafri Husin adalah satu jenama, tentu sekali saya khuatir kalau mutu hasil kerja saya dipersoalkan sekiranya pementasan ini dibuat asal boleh.
“Begitu juga pelakon yang membintangi pementasan ini, kebanyakan mereka mempunyai reputasi tersendiri. Jadi, kami akan berikan sehabis baik nanti,” katanya.
Mengulas tentang keistimewaan pementasan ini, Zafri memaklumkan, Jula Juli Bintang 7 dipentaskan secara muzikal dengan menampilkan penyanyi yang mempunyai kebolehan tersendiri.
“Banyak aspek mengagumkan yang boleh kita tonjolkan apabila formatnya diubah kepada muzikal. Artis yang dipilih pula bersesuaian kerana berkemampuan menyanyi dalam pementasan muzikal.
“Saya percaya kebolehan nyanyian mereka menjadi tarikan kepada penonton untuk datang menyaksikan pementasan ini,” ujarnya.
Meskipun mempersembahkan karya klasik dalam bentuk muzikal, Zafrul berkata, dia mengekalkan keaslian Jula Juli Bintang 7 tanpa mengubah sedikitpun jalan ceritanya.
“Penceritaan asal kami kekalkan, cuma ia disuntik nilai tambah untuk membuatkan pementasan ini menjadi lebih menarik. Penambahan yang dibuat bagaimanapun, tidak menukar jalan cerita,” tegasnya.
Tiket Jula Juli Bintang 7 boleh dibeli menerusi laman sesawang www.istanabudaya.gov.my pada harga RM60, RM80, RM110 dan RM250.
APA KATA PELAKON:
Shiha Zikir:
“Ini kali pertama saya menyertai teater. Jadi, saya sangat berbesar hati dan bersyukur apabila diberi peluang bersama nama hebat. Saya juga minta tunjuk ajar mereka untuk memantapkan lagi persembahan.
“Kami akan beri komitmen 100 peratus kerana tidak mahu penonton pulang hampa. Saya percaya, penonton tidak akan puas dan mahu menonton lagi.”
Ezad Lazim:
“Kalau ikutkan, memang saya aktif berlakon teater bangsawan. Tetapi, saya tidak sangka ditawarkan IB untuk terlibat dalam pementasan ini. Kebetulan berkelapangan, jadi saya bersetuju untuk terlibat sama.
“Ini pengalaman baru kerana dapat bekerjasama dengan IB. Pada masa sama, elemen teknikal dalam teater ini seperti seni hologram merupakan sesuatu yang baru dan saya teruja untuk melihat hasil keseluruhan persembahan nanti.”
Fiza Thomas:
“Saya gian untuk berlakon teater, tambahan pula sudah dua tahun tidak beraksi di pentas. Apabila ditawarkan, saya terus bersetuju tanpa bertanya mengenai bayaran dan watak yang ditawarkan.
“Saya anggap rezeki apabila dapat berlakon bersama Shiha dan Ezad di bawah arahan Zafri. Ia juga pengubat kerinduan saya yang sudah lama tidak beraksi di atas pentas teater.”










