DKD RM350,000 menanti dua pemenang utama ASA 2022 - Utusan Malaysia

DKD RM350,000 menanti dua pemenang utama ASA 2022

ANNUAR pada majlis pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di Kompleks K-KOMM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Selepas enam tahun menyepi, penganjuran Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA) kembali untuk mewarnai industri seni tanah air selepas kali terakhir diadakan pada 2016.

Bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 29 dan 30 Oktober ini, ASA 2022 membawakan  tema Kemuncak Kecemerlangan, seiring dengan penganjuran anugerah yang memasuki usia 50 tahun pada tahun ini.

Diadakan bagi menghargai pemain industri untuk merancakkan landskap industri kreatif, ASA 2022 mempertandingkan 72 kategori iaitu 43 kategori untuk TV dan 22 kategori untuk radio, selain turut menyediakan Anugerah Khas Juri serta Tokoh Anugerah Seri Angkasa.

Menteri Komunikasi & Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata sebanyak 1,586 pencalonan telah diterima dan akan diadili 55 juri serta dua juruaudit.

“Beberapa tahun tidak dilaksanakan, ternyata pemain industri menantikan acara ini. Kali ini, pencalonan dibuat atas talian dan menerima sambutan luar biasa.

“Sebanyak 1,586 pencalonan diterima dan ia mencatat rekod penyertaan tertinggi setakat ini. Daripada jumlah itu, 1,035 pencalonan membabitkan kategori televisyen, radio (276) dan media baharu (43).

“Pemenang bukan sahaja membawa pulang trofi, malah buat julung kali menerima hadiah wang tunai bagi setiap kategori.

“Antara perubahan besar dilakukan adalah pemenang kategori utama iaitu Drama Terbaik menerima Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM200,000, manakala kategori Dokumentari Terbaik pula menerima RM150,000,” katanya pada majlis pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di Kompleks K-KOMM, di sini, hari ini.

Annuar juga mengharapkan, acara kemuncak tersebut akan menjadi lebih berprestij seperti festival antarabangsa dengan kehadiran penggiat seni bergaya mewah di karpet merah.

“Saya berharap ASA 2022 akan dihadiri oleh barisan tokoh dan pemain industri. Saya akan memastikan ASA 2022 diadakan setaraf dengan Festival Filem Cannes. Saya mohon penganjur menyusun lebih rapi mengenai etika pemakaian dan kehadiran ke sesi karpet merah.

“Tiada yang akan naik kereta kecil, semuanya  diatur naik kereta mewah,” katanya memaklumkan malam kemuncak akan dirasmikan  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Buat julung kalinya juga, ASA 2022 turut memperkenalkan lima kategori Media Baharu iaitu Drama Pendek Menerusi YouTube Rasmi Terbaik, Sketsa Pendek Menerusi YouTube Rasmi Terbaik, Video Klip Hiburan Menerusi YouTube Rasmi Terbaik, Pesanan Khidmat Masyarakat Menerusi YouTube Rasmi Terbaik dan Drama Bersiri Menerusi YouTube Rasmi Terbaik.

ASA yang mulai dianjurkan pada tahun 1972 merupakan pengiktirafan kerajaan dalam memartabatkan penggiat seni dan karyawan industri kreatif tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya