Daddyku Gangster angkat tema aksi, kekeluargaan - Utusan Malaysia

Daddyku Gangster angkat tema aksi, kekeluargaan

FAIZAL Hussein dan Zul Huzaimy teraju utama Daddyku Gangster.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKAN filem berunsurkan gangsterisme mencetus minat pengasas D’Ayu Pictures Sdn. Bhd, Datuk Rosmarayu Mokhtar untuk turut menerbitkan karya yang mengetengahkan konsep serupa.

Bagaimanapun, filem yang diberi judul Daddyku Gangster itu tampil sedikit berbeza apabila mengangkat tema kekeluargaan dan kasih sayang.

Kata Rosmarayu, beliau yakin, kemantapan jalan cerita yang digarap pengarah Ismail Bob Hashim dalam filem aksi komedi itu mampu membawa penonton ke pawagam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Idea menghasilkan filem ini tercetus daripada pengalaman melihat kanak-kanak terbiar selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.

“Saya menjadikan elemen kekeluargaan dan aksi dalam filem Fast And Furious 8 sebagai inspirasi untuk menghasilkan Daddyku Gangster,” katanya.

Berkongsi lanjut, Rosmarayu berkata keistimewaan filem tersebut juga terletak pada barisan pelakon seperti Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Jay Iswazir, Adeline Tsen, Vanidah Imran dan ramai lagi.

“Filem ini sesuai ditonton semua lapisan masyarakat kerana konsep aksi komedinya yang membuatkan naskhah ini tidak kelihatan ganas.“Saya harap penonton akan datang ke pawagam kerana jalan ceritanya sangat menghiburkan,” ujarnya.

Sementara itu, Daddyku Gangster juga signifikan dan istimewa buat Ismail kerana ia merupakan filem ke-20 arahannya sepanjang bergelar sutradara.

Katanya, dia membawa kelainan dalam produksi ini apabila mengetengahkan Zul Huzaimy sebagai pelakon utama.

“Sesiapa yang mengikuti lakonan Zul tentunya tahu dia seorang pelakon hebat yang sering memainkan peranan antagonis.

“Tetapi, untuk filem ini, saya ubah dengan menjadikan dia hero. Ternyata, dia berjaya menghidupkan watak tersebut dengan cemerlang,” ujarnya.

Ray bukan watak ‘gelap’

Pelakon hebat, Zul Huzaimy mengakui cukup seronok membawakan watak Ray dalam filem tersebut, meskipun pernah memainkan peranan hampir sama.

“Filem ini bukan naskhah pertama yang menampilkan saya sebagai hero.

“Cuma, untuk watak Ray, saya terapkan pengalaman ketika menjayakan filem seperti Impak Maksima, Langgar dan banyak lagi untuk menghidupkan karakter.

“Ray bukan watak gelap, meskipun dia seorang gangster. Dia bukan kaki gaduh, pembunuh atau penjenayah. Cuma, cintanya terhadap sukan permotoran menebal,” katanya.

Kata Zul, kebolehan berjenaka memberikannya kelebihan untuk membawakan karakter Ray dengan baik.

“Genre komedi adalah forte saya. Tetapi, filem ini komedinya tidak terlalu berat dan lebih bersifat comic relief,” katanya lagi.

Zul juga memaklumkan, dia gembira dapat bekerjasama dengan pelakon yang merupakan sahabat akrabnya di luar set.

Katanya, silaturahim yang terjalin memudahkan mereka mencipta keserasian ketika berlakon bersama-sama.

“Selain Aidil yang baru saya kenal menerusi filem ini, saya bersahabat baik dengan Faizal, Jay, Zalif Sidek, Ridzuan Hashim dan ramai lagi.

“Pertalian antara kami sudah ada sebelum masuk ke set penggambaran. Kerja bertambah seronok kerana dapat berlakon dengan kawan-kawan,” ceritanya.

Faizal Hussein lebih selektif

Berpengalaman berlakon lebih 50 filem, darah seni yang sudah lebih lima dekad mengalir membuatkan Faizal Hussein semakin selektif memilih tawaran.

Bukan meninggi diri mahupun berlagak hebat, tetapi pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 menerusi filem Bunohan itu mahukan karya yang benar-benar menguji bakat seninya.

“Sejak menang anugerah, saya lebih memilih watak yang susah dan mencabar. Disebabkan itu, saya jarang muncul di skrin televisyen. Kalau ada, lebih kepada watak bapa yang menjadi hero dan bukan sebagai pelakon pembantu.

“Tidak semua penerbit mampu memenuhi permintaan saya. Atas sebab itu, hanya 20 peratus sahaja tawaran yang saya terima, selebihnya terpaksa saya lupakan. Pertama, soal bayaran dan kedua adalah watak,” katanya.

Mengulas soal bayaran, pelakon senior yang masih laris itu menjelaskan, semua pelakon mementingkan perkara tersebut kerana ia merupakan sumber rezeki utama.

“Orang kaya pun mahu lebih kaya lagi. Saya biasanya tengok perkembangan, contohnya berapa kutipan sesebuah filem dapat.

“Sama juga seperti siri televisyen, sejak dahulu sudah dibayar RM40,000 ke RM45,000, sedangkan ada produksi boleh membayar RM200,000 bagi penggambaran sesebuah drama rantaian.

“Ini bermakna, stesen televisyen lain kena tambah baik kualiti dan peruntukan kepada penerbit. Mungkin kerana itu, kita selalu tengok adegan dan prop yang sama.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh salahkan karyawan sebab bajet yang terhad.

“Saya mahu tengok sampai satu masa nanti, semua produksi untuk televisyen menggunakan kamera canggih seperti dalam filem Polis Evo.

“Kebiasaannya, sesebuah drama menggunakan hanya 30 kru, tetapi untuk produksi Astro Original, ia melibatkan lebih 200 kru, belum termasuk pelakon tambahan,” jelasnya.

Menyentuh filem Daddyku Gangster, Faizal bersetuju menggalas watak Karim kerana ia memiliki kekuatan tersendiri, selain sesuai ditonton seisi keluarga.

“Kalau pernah tonton filem XX Ray, watak Karim lebih kurang sama sepert Anuar. Penghujungnya agak sedih, tetapi ada babak kelakar dan hiburan yang sesuai untuk tontonan keluarga.

“Watak jahat pula bukan serius, tetapi lebih kepada kelakar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×